BUTA ITU CINTA?
Kita
sering menonton cinta, sama ada di layar perak atau dalam realiti kehidupan
sebenar. Beberapa waktu dahulu saya
pernah terfikir untuk mengabadikan kisah cinta dari aksiom yang popular – cinta
itu buta.
Tetapi apa yang sebenarnya
mahu digambarkan adalah kisah cinta insan yang buta. Itu kisah Rashid dan Shila yang bermain dalam
fikiran saya. Kisah Rashid dan Shila
pernah saya tulis dalam entri bertarikh 11 Oktober 2012.
Cinta
itu buta adalah aksiom yang lazim digunakan, tetapi menggambarkan kisah cinta
pasangan buta bukanlah sesuatu yang mudah.
Itu intipati filem Tamil yang saya tonton pada minggu lepas.
Filem
‘Cuckoo’ (bunyi burung) bertolak daripada kisah cinta pasangan buta Tamizh dan
Sudhandhirakodi (Kodi). Dikisahkan dalam bentuk imbas kembali, Cuckoo mengisahkan
perjalanan kisah cinta pasangan ini daripada kaca mata seorang wartawan yang
pernah memaparkan kisah hidup mereka.
Tuhan
Maha Kaya, di sebalik kekurangan penglihatan, Tamizh dianugerahkan suara yang
lunak sehingga mampu memukau para penonton dengan nyanyiannya.
Cuckoo
digarap oleh pengarah pertama kali Raja Murugan yang merupakan bekas wartawan
yang menulis mengenai kisah cinta pasangan buta ketika menjadi wartawan
majalah.
Dalam
Cuckoo, kehidupan seharian dan perlakuan insan istimewa kurang penglihatan
digambarkan dengan begitu selamba namun sangat teliti. Misalnya adegan apabila si buta bertanyakan
pendapat mengenai sesorang kepada sahabatnya yang juga buta, secara sinis
sebenarnya menempelak kita yang celik.
Kisah
pasangan Tamizh dan Kodi dalam Cuckoo bermula bagaimana mereka bertemu,
bercinta dan mendapat halangan apabila Kodi yang bercita-cita menjadi seorang
guru mahu dijodohkan dengan kenalan abangnya yang mempunyai agendanya sendiri.
Manusia
rakus seperti abang Kodi yang menjadi pengawal keselamatan, kenalan abangnya
yang berhasrat mempergunakan Kodi apabila berkahwin kelak, polis yang tidak
amanah serta ahli politik yang terlibat dengan politik wang, semuanya membentuk
premis cerita yang memaksa kita menilai kemanusiaan yang semakin menipis.
Lawak dalam Cuckoo juga adalah lawak
yang biasa oleh kalangan insan istimewa yang diselitkan dengan sifat
kepura-puraan seperti juga insan celik yang lain. Dalam ertikata lain, Cuckoo tidak meminta
simpati para penontonnya kerana itu adalah realiti sebenar kehidupan.
Walaupun Cuckoo tidak dibintangi oleh para pelakon daripada kalangan mereka yang buta, namun watak utama dalam filem ini memberikan lakonan yang mantap seolah-olah kita sebenarnya sedang berdepan dengan pasangan yang buta.
Di
tangan pengarah muda Raja Murugan, Cuckoo seperti menggerakkan kamera kepada
watak-watak di dalamnya tanpa perlu pengarahan, ini kerana watak-wataknya hidup
seperti biasa dan bukannya seperti berlakon dalam filem!
Ulasan