SPEKULASI MH370: SIAPA KETAMNYA?
Ketika
tulisan ini dimuatnaik, misteri kehilangan pesawat MH370 telah memasuki hari
ke-24, namun tiada satu pun petanda kukuh yang boleh dikaitkan dengan
kehilangan pesawat milik MAS yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Walaupun
Perdana Menteri telah membuat kenyataan rasmi bahawa “Ini merupakan lokasi yang terpencil,
jauh dari sebarang lokasi pendaratan. Justeru itu dengan perasaan sedih dan
kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu
ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.”.
Kenyataan Perdana Menteri pada 25 Mac 2014 yang lalu, bukan
sahaja mengundang persoalan bukan sedikit.
Ini adalah kerana walaupun khabarnya disokong oleh data agensi
berkaliber seperti Immarsat dan AAIB, namun ia sebenarnya mecetuskan lebih
banyak keresahan khususnya kepada anggota keluarga mangsa.
Perdana Menteri, walaupun mengkhabarkan bahawa penerbangan
MH370 berakhir, namun tidak membuat sebarang kesimpulan yang konkrit, sama ada
ia terhempas, dirampas atau apa tindakan yang lain. Ini ditambah pula tidak ada penemuan sebarang
objek sehingga saat ini.
Ruang udara maya dan laman sosial pula dipenuhi dengan
pelbagai spekulasi, malah ditambah dengan rencah konspirasi yang pelbagai. Konspirasi pesawat dirampas, disabotaj, kegagalan teknikal antara sudut
yang disiasat setakat ini.
Kehilangan pesawat MH370 juga membuka lebih banyak ‘pekung’
mengenai aspek keselamatan yang dilihat longgar khususnya di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Apa
tidak, antaranya dua orang penumpang dalam MH370 adalah yang menggunakan
passport yang dicuri di Thailand.
Keluarga penumpang pula rata-rata yang ditemui sukar
mempercayai sebarang musibah, walaupun hal ini adalah lumrah, namun dengan
ketiadaan sebarang bukti dan petanda kukuh tentulah sukar menyakinkan bahawa
orang tersayang mereka telah tiada.
Selain daripada penumpang misteri, pesawat MH370 juga
diselubungi dengan kargo yang misteri.
Pada awalnya, dikhabarkan bahawa pesawat MH370 membawa muatan manggis,
namun selepas beberapa hari pula dikhabarkan pula ianya membawa bateri ion
lithium, seberat 200 kilogram.
Kenyataan rasmi Perdana Menteri bahawa penerbangan MH370 ‘berakhir
di sini’ sebenarnya membuka kepada lebih banyak tafsiran dan intepretasi. Beberapa hari selepas itu, pemangku Menteri
Pengangkutan pula membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri hanya menyatakan ‘berakhir
di sini’ dan bukannya mengatakan pesawat tersebut terhempas dan sebagainya.
Apabila kenyataan rasmi seperti oleh Perdana Menteri juga
diselubungi pelbagai andaian dan tanda dan mengundang intepretasi yang
pelbagai, maka media-media asing khususnya dari Barat terus sahaja mengasak
dengan teori mereka pula. Hal ini adalah
disebabkan kenyataan-kenyataan yang tidak konsisten ketika sidang akhbar, dan
juga kegagalan melayan soalan-soalan yang dikemukakan oleh wartawan khususnya
di peringkat awal.
Sungguhpun begitu mudah menuding jari kepada pihak Kerajaan
Malaysia, namun menangani krisis seperti kehilangan pesawat MH370 bukanlah
sesuatu yang mudah. Selain berusaha
mengesan dan mencari, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab moral khususnya kepada
negara-negara di mana rakyat mereka menjadi mangsa.
Walauapapun, ketika kita mendabik dada tentang Koridor Raya
Multimedia, spekulasi dan media sosial bukanlah sesuatu yang boleh
diabaikan. Memberikan respon dan jawapan
yang tergantung seperti ‘berakhir di sini’ bukanlah sesuatu yang sewajarnya.
Keluarga mangsa mungkin faham situasi yang sedang berlaku,
namun ketelusan dan konsisten dalam memberikan segala macam input dan maklumat
adalah tunjang dalam menangani krisis, supaya satu lagi krisis tidak wujud –
keyakinan!
Ulasan