KITA TIDAK PERNAH BELAJAR!

Saban tahun hujan akan lebat turun membawa sengsara bersamanya.  Saban tahun juga hujan lebat akan menyebabkan banjir kilat, malah tidak cukup dengan itu berlaku pula banjir lumpur.

Semalam dilaporkan banjir lumpur melanda Cameron Highland melibatkan tiga nyawa menjadi mangsanya.  Ini bukan kali pertama banjir lumpur melanda tanah tinggi tersebut.  Ianya berulang saban tahun.  Ianya bukan perkara yang baru.

Saban tahun juga para pemimpin, menteri dan Menteri Besar berlumba-lumba membuat kenyataan.  Nadanya sama menyalahkan itu dan ini.

Terkini, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan menyalahkan pembuangan sampah di Tasik Ringlet selain daripada aktiviti pertanian tidak terkawal di kawasan rizab sungai sebagai antara punca berlakunya kejadian banjir lumpur di Cameron Highland.

Jawapan skema Timbalan Menteri bukan sesuatu yang baru dan memeranjatkan.  Khabarnya beliau menyatakan bahawa laluan air keluar tersumbat akibat sampah.  Memanglah bencana yang diturunkan Allah SWT berpunca daripada pengabaian manusia terhadap alam.

Kita pun bertanya apakah bentuk penguatkuasaan oleh pihak berkuasa di Cameron Highland sehingga aktiviti pertanian di tanah tinggi itu seperti ‘tidak cukup tanah’.  Apa tidaknya sesiapa pun yang berkunjung ke Cameron Highland mampu membuat kesimpulan bagaimana aktiviti pertanian berlaku di kiri dan kanan rizab sungai.

Menteri Besar Pahang pula menyifatkan kerakusan penerokaan hutan untuk pertanian dan penempatan penduduk sebagai antara faktor kejadian banjir lumpur.   Adakah penerokaan hutan untuk pertanian mendapat ‘restu’ pihak-pihak berkenaan atau sekali lagi penguatkuasaan yang ‘lompang’ sehingga perlu ada tragedi untuk kita mengambil iktibar.

Khabarnya Menteri Besar Pahang meminta semua pihak mengambil iktibar daripada kejadian banjir lumpur yang melanda Cameron Highland.  Adakah beliau sedar bahawa kejadian banjir lumpur di kawasan tersebut adalah kerana kurangnya penguatkuasaan atau sebenarnya penceroboh-penceroboh ini mendapat ‘restu’ pihak Kerajaan.

Kini ditambah pula kenyataan bahawa bagi meredakan banjir lumpur masih memerlukan RM40 juta bagi program tebatan banjir termasuk mendalamkan Sungai Bertam.  Ini dinyatakan oleh Ahli Parlimen Cameron Highland yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Ini rupanya adalah angka yang baru, kerana pada tahun lepas juga, Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta.

Adakah saban tahun perbelanjaan luar jangka seperti ini diperlukan.  Apakah tidak ada perancangan dan penguatkuasaan kepada ‘jenayah’ pencerobohan hutan dan pertanian di rizab sungai.  Kemanakah perginya kempen ‘Cintai Sungai Kita’ yang suatu ketika dahulu.  Apakah setiap tahun, akan ada mangsa yang terkorban akibat banjir di Cameron Highland dan setiap kali pula si Ahli Parlimen akan memohon dana.

Jika hanya inilah tugas seorang Ahli Parlimen, maka tidak silap untuk menyatakan bahawa Ahli Parlimen pada masa ini sangat tidak efektif dan tidak efisyen.  Apakah tiada tindakan penguatkuasaan yang efektif atau kerana takut kehilangan undi, jika benarlah tanggapan seperti ini nampaknya kerajaan seolah-olah merestui semua bentuk ‘jenayah’ alam sekitar di Cameron Highland!  Nampaknya selepas beberapa tahun tragedi yang sama berulang, kita tidak pernah belajar mahupun mengambil iktibar.


Jika Menteri Besar yang meninjau dari udara hanya boleh menggelengkan kepala terhadap kerosakan alam yang menjadi amanahnya, apa lagi yang diharapkan daripada orang-orang lain yang berkuasa kecil pula.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
dalm akhbar hari ini, dah 14 tahun diceroboh apa yg dibuat bee end..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?