KEBAL PAK BERAHIM!

Tidak pasti adakah kerana kebal atau perkasa, Pak Berahim yang menyeru membakar kitab injil tidak pula dikenakan sebarang hukuman.  Khabarnya tok ketua pendakwaan berpuas hati dengan niat disebalik seruan oleh Pak Berahim itu.

Namun kini banyak pihak yang mempersoalkan apakah rasional Pak Berahim tidak didakwa oleh tok ketua pendakwaan.  Hanya dua sahaja jawapan yang boleh ditemui oleh kami, rakyat jelata tanpa ilmu undang-undang.  Sama ada Pak Berahim kebal atau benar-benar perkasa.

Yalah kebal kerana berjaya melepaskan diri daripada didakwa, khabarnya atas alasan ‘mempertahankan agama Islam’.  Memang cun sungguh alasan yang diberikan oleh Menteri Nancy yang bertanggungjawab secara langsung kepada tok ketua pendakwaan.  Maka ramailah rakyat dan para pemimpin dari segenap pelusok mempertikaikan kredibiliti Menteri Nancy.

Sehingga ada yang mencemuh, dengan kata orang kampung yang daif undang-undang seperti kami.  “Buat mengaboih boreh ajo”.  Atau yang lain pula, Menteri Nancy hanya seperti budak suruhan.  Yelah hanya sekadar menyampai hasrat tok ketua pendakwaan.  Maka seperti tidak bermaknalah peranan Menteri Nancy jika sekadar membacakan kenyataan tok ketua pendakwaan.

Kini timbul pula saranan untuk menimbang semula tindakan tok ketua pendakwaan untuk tidak mendakwa Pak Berahim.

Ketika ceramah-ceramah sejak dahulu lagi sama ada pentas bergerak atau gadis-gadis genit penari Pentarama, kami sentiasa diingatkan untuk menghormati bangsa dan agama lain, apatah lagi dalam negara berbilang bangsa seperti di Malaysia.

Pernah satu ketika dahulu, ketua kampung kami, Tok Sidang Esa mengamuk dan memberi amaran keras kepada Senik anak Tok Kassim kerana memanggil Raju Tong Gas dengan panggilan ‘keling’ begitu juga Ramli anak Pak Dahlan hujung kampung kerana menggelar Yap yang menjaja ikan dengan panggilan ‘cina tongkang’.

Khabarnya Tok Sidang Esa tidak pun mendapat aduan rasmi daripada si Raju mahupun Yap, tetapi mendengar sendiri, rasa mahu dilempang sahaja Senik dan Ramli. Tetapi hanya diberi amaran keras.

Begitu juga setiap kali menjelang tayangan wayang pacak di padang sekolah, Tok Sidang Esa akan memberikan peringatan kepada seluruh anak buahnya untuk menghormati bangsa dan agama lain.  Itulah yang diulang-ulang sehingga kami anak-anak buahnya telah hafal ucapannya mengenai perpaduan.

Dalam negara seperti Malaysia, semua kita tahu bagaimana sensitifnya saranan seperti yang dilontarkan oleh Pak Berahim tempohari.  Ketika ditanya pemberita Tok Sidang Esa enggan menjawab, namun menggeleng tanda kesal.

Tidak pasti atas kapasiti apakah Pak Berahim melontarkan saranan tersebut atau adakah seperti penyanyi M. Nasir ketika mengucapkan “siapa Mahathir” ketika di penghujung tahun 80an.

Mungkin Pak Berahim juga boleh menyatakan bahawa surat khabar telah tersalah petik kenyataannya. 

Apabila telah ada lebih daripada seorang Menteri yang berpendapat bahawa kenyataan dan saranan Pak Berahim untuk membakar kita suci agama Kristian sebagai tidak sesuai khususnya dalam negara majmuk seperti Malaysia, mungkin ada kewajarannya untuk meminta kes Pak Berahim disemak semula. 

Terkini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sama taraf dengan Menteri Nancy, Tan Sri Joseph Kurup mahu kes Pak Berahim dibuka semula dan disemak.

“Saya mahu kes itu dibuka semula dan disemak untuk memastikan kesatuan dan memerangi sikap tidak bertoleransi terhadap agama.  Saya juga mahu kes ini disemak untuk meredakan kemarahan rakyat”.


Jika benar apa yang diucapkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan tindakan oleh tok ketua pendakwaan selepas ini, mungkin Pak Berahim perlu menuntut semula untuk menambah kebal dan perkasanya!

Ulasan

anep berkata…
terbaik!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?