NYANYUK, ROYAN ATAU BUANG TEBIAT?
Kenyataan Mufti Perak, Tan Sri
Harussani Zakaria mengenai rakyat yang turun berdemo dalam gerakan TURUN malam
ambang tahun baru yang lepas amat mengejutkan.
Bukan sahaja kenyataan beliau
yang menggangap rakyat yang menyertai gerakan TURUN dianggap sebagai ‘bughah’
atau pemberontak dan darah mereka sebagai ‘halal’ adalah kenyataan yang paling
tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang bahaya yang bukan sedikit.
Tidak pasti apakah ini sebenarnya
yang diucap dan dimaksudkan oleh Mufti Perak ini, atau mungkin juga kenyataan
penuh yang disingkatkan oleh media yang melaporkannya.
Sebagai seorang ilmuan dan
agamawan, tindak tanduk, percakapan, pemikiran, pandangan dan kenyataan para
Mufti sentiasa menjadi rujukan rakyat.
Adakah menjadi ‘bughah’ nya
apabila rakyat berhimpun secara aman membantah tindak tanduk Kerajaan yang
dipilih mereka apabila tersasar daripada landasan keadilan atau hanya
menumpukan kepada sesetengah kelompok rakyat berbanding rakyat majoriti.
Usaha gerakan TURUN yang
membantah kenaikan kos sara hidup, membantah kenaikan tariff elektrik,
membantah kenaikan barangan dan perkhidmatan dianggap derhaka?
Bughah kah rakyat yang membantah
secara aman segala bentuk kenaikan kos hidup dan bergelut demi kelangsungan hidup. Adakah para mufti khususnya Mufti Perak faham
dan tahu keperitan rakyat pada masa ini.
Jika agamawan seperti Mufti Perak
dengan begitu mudah mengeluarkan pandangan dan mem’bughah’kan rakyat tanpa
menyelami jerit perih mereka mengharungi hidup dan tekanan hidup daripada
kerakusan penguasa, maka rasa hormat rakyat terhadap mereka juga akan terhakis.
Adakah Mufti Perak terdesak untuk
mengeluarkan kenyataan dan mem’bughah’kan rakyat kerana desakan dan memenuhi
selera penguasanya. Anehnya para mufti
kadang-kadang dilihat mengeluarkan kenyataan berpilih-pilih seolah-olah untuk
memenuhi kehendak dan selera para penguasa.
Sebaiknya agamawan seperti Mufti
seharusnya sentiasa memberi pandangan kepada semua hal yang melibatkan umat
Islam tanpa hanya memilih isu-isu yang pro kepada penguasa. Ke manakah para mufti yang masih memegang
jawatan mengulas mengenai pembaziran, ketirisan oleh penguasa apatah lagi yang
memperlekehkan hukum-hakam Islam.
Lagak Mufti Perak memberikan
pandangan dan mem’bughah’kan rakyat yang menyertai gerakan TURUN pada malam
ambang tahun baru tempohari tidak pasti apakah tujuan dan motif sebenarnya atau
sekadar mengeluarkan pandangan memuaskan hati ‘pembayar gaji’ mereka. Jika tidak pun mungkin agaknya meroyan,
nyanyuk atau buang tebiat!
Jika mahu diikutkan pandangan
seperti itu, hatta bermandi darahlah Kuala Lumpur pada malam tahun baru dengan ‘bughah’
yang begitu ramai sehingga melebihi 10,000 rakyat!
Tulisan ini tidak meminta para Mufti
mengeluarkan pandangan yang tidak pro kepada penguasa tetapi sentiasa
mengeluarkan pandangan sama ada pro atau kontra kepada pihak berkuasa supaya
nilai sebagai agamawan sentiasa dihormati dan dijunjung rakyat.
Ulasan