NOSTALGIA KANGKUNG PROKTIF

Ketika kecil, keluarga saya menternak itik, bukan menternak sebagai hobi, tetapi menternak separa komersil, saya kata separa komersil kerana ianya diusahakan sendiri tanpa ada pekerja-pekerja yang digaji sepenuh masa.  Selain itu, ketika itu tiada pinjaman TEKUN atau BANK PERTANIAN yang kini diubah namanya kepada AGRO BANK.

Itik diternak untuk telornya yang diproses menjadi telor masin.  Salah satu makanan itik adalah kangkung, saya tidak pasti bagaimana keluarga saya mengetahui kangkung sebagai makanan kepada itik.

Untungnya menternak itik pada ketika itu, yang begitu lahap dengan kangkung adalah kerana kangkung tidak perlu dibeli, hanya perlu mengambilnya secara percuma, merebus dan memberikan kepada itik sebagai makanan.  Hatta kalaulah itik boleh bercakap bahasa yang boleh saya fahami, tentulah itik-itik peliharaan keluarga saya akan mengucap ‘syukur’ dan ‘terima kasih’ tidak henti-henti.

Ketika rakyat Malaysia bergelut dengan siri kenaikan harga pasca Pilihanraya Umum ke-13, Perdana Menteri dalam satu siri ‘prihatin rakyat’ nya menempelak pihak-pihak yang menyalahkan Kerajaan kerana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.  Ironinya, Perdana Menteri ‘yang mendahulukan rakyat’ memberikan contoh harga kangkung yang turun tetapi Kerajaan tidak dipuji pula.

Maka kisah kangkung yang ditimbulkan Perdana Menteri mengembalikan nostalgia saya kepada kisah itik dan lahap kangkungnya. 

Selepas lebih lima dekad Kerajaan yang ada sekarang mentadbir negara, selepas melalui 13 pilihanraya umum, puluhan persidangan agung parti-parti yang bernaung di bawah Barisan Nasional, nampaknya cara Kerajaan menangani isu-isu semasa kelihatannya seperti pakatan pembangkang yang baru sepenggal mentadbir Selangor dan Pulau Pinang.

Apa tidaknya, ketika ditanya mengenai kemungkinan kenaikan harga tol, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa ianya akan diputuskan selepas dikaji dimakmal.  Ironinya, tidakkah Kerajaan perlu bersikap proaktif dan melakukan kajian jauh lebih awal sebelum perjanjian konsesi tol perlu dikaji.

Adakah Kerajaan seperti bermain layang-layang atau memancing reaksi rakyat sebelum melaksanakan kenaikan kadar tol.  Himpunan gerakan TURUN yang dilabel sebagai ‘bughah’ dan halal darah oleh Mufti Perak, sebenarnya adalah manifestasi kegelisahan rakyat terhadap tindak-tanduk tidak proaktif Kerajaan pada masa ini.

Lihat sahaja bagaimana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi  dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang dikhabarkan bakal menubuhkan tangki fikir ‘think tank’ bagi mengkaji kenaikan kos sara hidup rakyat.

Seperti mempersendakan rakyat, adakah KPDNKK hanya baru mahu menubuhkan tangki fikir mereka dan kenaikan saban tahun apatah lagi menjelang musim perayaan sebelum ini tidak membawa apa-apa makna kepada para Menteri dan KPDNKK.

Sepatutnya, sama ada makmal kenaikan harga tol melalui saranan Perdana Menteri mahupun tangki fikir yang diilhamkam oleh Menteri KPDNKK sepatut telah lama digerakkan sebagai satu langkah proaktif membantu rakyat menangani kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta kos hidup.

Jika Perdana Menteri dikhabarkan menyalahkan keadaan cuaca serta asas ekonomi yang berkaitan dengan permintaan dan penawaran, adakah kenaikan harga tariff elektrik baru-baru ini oleh Tenaga Nasional Berhad yang membuat keuntungan berbillion ringgit mampu membuat Perdana Menteri tidur lena. 

Atau adakah konsesi tol yang telah puluhan tahun meraih keuntungan jutaan ringgit menepati asas ekonomi skala, yang mana sepatutnya kadar tol akan menjadi berkurangan saban tahun kerana lebih ramai pengguna lebuhraya dan syarikat konsesi telah pun melepasi fasa titik pulang modal (breakeven point) dan kini memasuki fasa membuat untung.

Walauapapun dalam keadaan rakyat yang begitu gelisah dan resah, kisah kangkung Perdana Menteri, telah mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak saya dan gemulah ayah saya.  Terima kasih Perdana Menteri!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
piem suka melawak kangkung...
Tanpa Nama berkata…
malang betul mesia...
Tanpa Nama berkata…
PM anggap rakyatnya adalah itik2..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?