KERAJAAN ROBIN HOOD?

Ketika mantan Ketua Pengarang The New Straits Times, Datuk Abdul Kadir Jasin yang juga berblog di http://kadirjasin.blogspot.com menyelar tindakan Perdana Menteri berhubung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan akhir-akhir ini, ramai yang mengkritik beliau.  Malah ada dalam kalangan rakan-rakan yang mengatakan bahawa Datuk Abdul Kadir Jasin adalah suara Dr. Mahathir.

Jika diteliti selaran-selaran oleh beliau, memang ada asasnya dan adalah keterlaluan mengatakan bahawa beliau adalah suara Dr. Mahathir.  Ada pula yang mengatakan bahawa Datuk Abdul Kadir Jasin kecewa kerana tidak memperolehi sesuatu.  Pada hemat saya, itu bukanlah asas kritikan beliau terhadap kerajaan.

Jarang sekali blogger yang dikhabarkan sebagai pro kerajaan menyelar sedemikian rupa tentang tindak-tanduk Perdana Menteri sehingga ungkapan keramat hidup yang bebas daripada segala bentuk kesilapan?” digunakan.

Semalam pula, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam satu wawancara di Shah Alam mengungkapkan “Pertukaran kerajaan empat, lima kali sekali pun tidak boleh menjamin tiada kenaikan barang. Apa yang kerajaan boleh buat adalah menahan kenaikan harga terlalu mendadak. Kerajaan sekarang telah menahan kenaikan harga sekian lama.

“Tekanan berpunca daripada situasi dunia dan bukan daripada kerajaan. Jika kerajaan menekan rakyat, tanya kepada warga asing, adakah kerajaan mereka kisahkan mereka atau pun tidak. Di Malaysia semua orang nak bekerja dalam negara,”

Adakah Pengerusi PAC ini sedar bahawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah berasaskan ekonomi tetapi jika saban kali menggunakan ungkapan bahawa “harga petrol kita adalah yang terendah di rantau ini” bagi mewajarkan kenaikan ini tanpa sedar bahawa Malaysia adalah negera pengeluar petroleum berbanding negara lain di rantau ini.

Adakah kenaikan tol berasaskan ekonomi, jika ia diambil kira berasaskan ‘economies of scales’ tentulah harga tol akan menjadi berkurangan bukan semakin meningkat.  Kenaikan harga tol yang tidak dapat dibendung adalah kerana perjanjian berat sebelah yang dipertahankan oleh Kerajaan BN titik.

Jika harga minyak yang kita adalah pengeluarnya dinaikan berasaskan harga minyak dunia, maka apa manfaat rakyat negara ini menikmati hasil daripada bumi mereka sendiri.  Jika harga tol boleh dikekang dengan mengkaji semula perjanjian konsesi, mengapa perkara ini tidak dilakukan sehingga menimbulkan fitnah bahawa “kerajaan BN mempertahankan kroni-kroni mereka”.

Jika ungkapan rakyat didahulukan hanya untuk menerima sedikit imbuhan dalam BR1M namun tertekan kerana sikap kerajaan lagaknya seperti ‘Robin Hood’ yang mengitar semula penjimatan daripada ‘rasionalisasi’ subsidi untuk diagihkan sebagai bantuan BR1M, Bantuan Persekolahan, dan Baucar Buku 1 Malaysia dan lain-lain, maka ungkapan rakyat didahulukan seperti tidak begitu tepat.

Adakah bantuan-bantuan ini untuk mengabui mata rakyat yang berpendapatan rendah untuk terus menyokong Kerajaan BN.  Apakah kewajaran memberikan bantuan kepada mereka yang berpendapatan rendah jika mereka juga harus bergelut dengan segala macam kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Ungkapan Pengerusi PAC bahawa jika menukar kerajaan tidak akan mengubah apa-apa adalah kurang tepat.  Sebenarnya rakyat seperti anda dan saya bukanlah jenis yang suka menukar Kerajaan saban kali berlakunya Pilihanraya Umum, seperti sesetengah negara lain seperti India (sekadar contoh).

Namun jika Kerajaan benar-benar melaksanakan urus tadbir yang cemerlang (good governance), memastikan tidak berlaku ketirisan dalam urusan pemerolehan kerajaan, mengurangkan pembaziran seminima mungkin, rasanya tidak ada mana-mana rakyat yang memilih untuk menukar Kerajaan sesuka hati.  Tepuk dada tanyalah selera!

Sebelum itu, satu soalan kepada Pengerusi PAC, adakah Kerajaan (baca: BN) berani menaikkan harga menjelang Pilihanraya Umum ke-14? 

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
setuju bangat...
Tanpa Nama berkata…
kerasnya...
SIS berkata…
Perancangan ' Good Governance' mmg di buat..dan mcm2 lg spt 'Blue Ocean Strategy' dll.. masalahnya sikap majority pemimpin yg baling batu sembunyi tangan.. kdg2 tu kakitangan bawahan punyalah berusaha buat kertas kerja itu ini agar kerja yg dibuat utk rakyat 'telus'..tp keputusan akhir dicantas org atasan..apa mau dikata!!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?