ADUN KAJANG: ANTIGONIS ATAU PROTAGONIS?

Tiada ribut, tiada taufan, tiba-tiba Lee Chin Cheh, ADUN Kajang yang tidak sampai setahun meletakkan jawatan.  Lazimnya, perletakkan jawatan seorang ADUN seringkali dikaitkan kepada aspek kesihatan atau pun kesalahan yang mungkin menjejaskan kelayakannya, namun lain pula isunya pada kali ini.

Seperti juga Cikgu Lee mantan ADUN Kajang yang peramah dan mesra rakyat diketepikan, Lee Chin Cheh pula memilih untuk mengundurkan diri.  Ketika ramai yang berebut untuk bergelar Yang Berhormat, ADUN Kajang ini memilih sebaliknya.

Tentulah sukar untuk menjangkakan apa sebenarnya yang berlaku sehingga mendorong Lee Chin Cheh meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi DUN Kajang.

Sebenarnya DUN Kajang N25 adalah antara kerusi panas di Negeri Selangor.  DUN Kajang N25 adalah antara 3 DUN yang terletak dalam Parlimen P101 Hulu Langat yang dimenangi oleh calon PAS untuk kali kedua, iaitu Dr. Che Rosli Che Mat.

Menariknya ketika Pilihanraya Umum ke-13, N25 Kajang menyaksikan pertandingan enam penjuru di mana 3 calon Bebas dan 1 calon Berjasa hilang wang pertaruhan mereka.  Lee Chin Cheh, calon PKR memenangi kerusi ini mengalahkan Lee Ban Seng wakil Barisan Nasional dengan majoriti 6,824 undi berbanding calon BN yang meraih 12,747 undi.

Lee Chin Cheh yang dipilih menggantikan Cikgu Lee, yang tidak dicalonkan bagi mempertahankan kerusi N25 Kajang.   Walaupun dikhabarkan mempunyai rekod cemerlang sepanjang menjadi ADUN N25 Kajang selepas memenangi PRU ke-12 pada tahun 2008, Lee Chin Cheh di’payung terjunkan’ untuk bertanding di Kajang.

Lee Chin Cheh yang memberikan alasan “bagi mengukuhkan PKR” sebagai sebab melepaskan jawatannya, namun yang lebih nyata ianya seolah-olah menyediakan peluang bagi menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jika benarlah alasan yang dikemukan oleh Lee Chin Cheh atau lebih mesra dikenali sebagai CC Lee dalam PKR, maka sewajarnya CC Lee dinobatkan sebagai ‘hero’ kerana berkorban demi partinya.  Mungkin akan tertulis dalam sejarah politik Malaysia, bagaimana seorang wakil rakyat melepaskan dan mengosongkan kerusinya demi menguatkan partinya.

Tetapi dengan perkembangan mutakhir politik di Selangor, siapa sahaja dapat mengagak bagaimana Lee Chin Cheh menjadi ‘kambing hitam’ bagi menyelamatkan kemelut politik khususnya pertikaian di antara Azmin Ali dan Menteri Besarnya.

Pengamat politik dapat merasakan bahawa sesorang diperlukan untuk menggantikan tempat Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar, dan penggantian itu mestilah dengan cara yang lebih bermaruah.

Justeru, ruang yang diberikan oleh Lee Chin Cheh sama ada secara sukarela ataupun dipaksa akan memudahkan penggantian Menteri Besar Selangor dan dapat menutup kemelut dalaman parti tersebut.


Sama ada Lee Chin Cheh akan dikenang sebagai ‘hero’ atau ‘budak jahat’ hanya akan ditentukan oleh sejarah.  Namun risikonya tetap ada kerana jika tidak kena gayanya kerusi N25 Kajang akan dapat direbut kembali oleh Barisan Nasional dengan menjaja alasan bahawa PKR dan pembangkang membazirkan wang pembayar cukai! 

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
dua-dua bukan 'macai'..
Tanpa Nama berkata…
ni macai parti..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?