TIADA ROTAN, AKAR PUN BOLEHLAH!

Malaysia ketandusan pemimpin pembangkang atau rakyat sudah benar-benar meluat kepada pemerintah sehingga apa sahaja yang disogokkan oleh pembangkang dianggap betul dan benar.  Insiden terkini adalah apabila ADUN N25 Kajang Lee Chin Cheh tanpa alasan dan kewajaran yang munasabah mengosongkan kerusi DUNnya untuk memberi laluan kepada Pilihanraya Kecil.

Bagaimana seorang ADUN yang dipilih rakyat dengan begitu sahaja memilih mengosongkan kerusinya dengan alasan “untuk menguatkan parti”, dan Kerajaan pula terpaksa membelanjakan sejumlah wang bagi melaksanakan proses demokrasinya.

Mungkin selepas ini pihak Suruhanjaya Pilihanraya harus lebih tegas terhadap pihak-pihak yang dengan ‘sengaja’ memilih untuk mengosongkan kerusi mereka tanpa alasan dan kewajaran yang munasabah.  SPR, misalnya boleh mengenakan denda kepada parti bagi menampung kos pelaksanaan pilihanraya kecil yang perlu diadakan.

ADUN N25 Kajang, Lee Chin Cheh telah mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri N25 Kajang.  Apakah kewajaran meletakkan calon seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak dapat dipastikan walaupun terdapat cakap-cakap bahawa beliau bakal menjadi MB Selangor.

Ini bukanlah kali pertama ‘laluan VIP’ disediakan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Ogos  2008, Datin Seri Wan Azizah yang merupakan Ahli Parlimen P44 Permatang Pauh mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim terpilih sebagai Ahli Parlimen.

Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri selepas penyingkiran pada tahun 1998, nampaknya tidak pernah pudar.  Walaupun diasak dengan begitu teruk, beliau mampu bangkit dan terus berusaha memberikan alternatif kepada pemilihan pemimpin di Malaysia.

Walaupun ramai yang menyelar tindakan ADUN PKR meletakkan jawatan dan membolehkan pilihanraya kecil diadakan, namun hakikatnya dalam kemelut ekonomi seperti sekarang bukanlah pilihanraya kecil ‘suka-suka’ lebih penting daripada mengurus ekonomi negara.  Jika alasan ‘menguatkan parti’ digunakan maka ada baiknya PKR dikenakan ‘denda’ bagi mendapatkan dana melaksanakan pilihanraya kecil.

Pilihanraya kecil ‘suka-suka’ oleh PKR nampaknya bakal menjadi medan juang kepada mereka kerana walaupun menang dengan majoriti lebih 6000 undi, ia tentunya tidak menjamin kemenangan mudah kepada mereka.   Perjudian mengosongkan kerusi untuk ‘menguatkan parti’ boleh juga menjadi kelebihan kepada Barisan Nasional jika mereka bijak menggunakan peluang ini sebaiknya di samping mengenalpasti calon terbaik dan bukan berasaskan perkiraaan biasa.

Rakyat sepatutnya bijak memilih calon selepas ini dan tidak melakukan kesilapan memilih calon seperti Lee Chin Cheh yang lebih mementingkan parti daripada rakyat yang diwakilinya.  Meletakkan kepentingan parti tiada salahnya namun apabila ianya melibatkan kepentingan awam, maka kesetiaan kepada parti harus dipersoalkan.

Pengundi N25 Kajang, dengan segala kewajaran dan rasional haruslah bertindak bijak dan berhati-hati supaya wakil seperti Lee Chin Cheh tidak lagi diperlukan. 

Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang khabarnya dicalonkan untuk kerusi N25 Kajang, sedang mengatur strategi dalam usaha lebih besar untuk menawan Putrajaya atau adakah beliau bakal menjadi Menteri Besar interim sebelum Pilihanraya Umum ke-14 demi menstabil dan melonjakkan pengaruh PKR di Selangor dan di peringkat kebangsaan.


Adakah cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri terpaksa dihentikan dan untuk tidak kempunan memilih untuk menjadi Menteri Besar Selangor, seperti kata pepatah tiada rotan, akar pun bolehlah!
Share this article :
 

+ komen + 1 komen

Tanpa Nama
29 Januari 2014 9:57 PG

bolehlah..boleh belah pkr...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger