INSTITUT JANTUNG TUN DR. MAHATHIR

Siapa yang boleh menyangkal jasa dan sumbangan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Dr. Mahathir Mohamad.  Mengambilalih tampuk kepimpinan negara pada 10 Julai 1981, Dr. Mahathir yang menggantikan Tun Hussein Onn telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum bersara pada tahun 2003.

Selama 22 tahun, pelbagai nikmat dan pembangunan dicapai termasuk juga pelbagai ‘kerosakan’ seperti yang diungkapkan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan Dr. Mahathir.

Seperti yang diungkapkan oleh seorang penyair dan aktivis teater, Dinsman yang menghasilkan ‘Puisi Panjang Untuk Mahathir’ pada tahun 1997, sikap dan kepimpinan Dr. Mahathir pada beberapa tahun awal kepimpinannya amat menyerlah.  

Walaupun kumpulan puisi ini bukanlah rakaman kekaguman kepada Dr. Mahathir namun ia masih merupakan komplimen kepada kepimpinan beliau sejak 1981.

“Betul saya puji.  Pada masa itu (Dr. Mahathir) dia memang baik dan berhak dipuji.  Kepimpinannya nampak ikhlas hendak memajukan orang Melayu.  Pada masa itu saya memang kagum dengan kebijaksanaan dan kepimpinan beliau”


Ya walau apa pun, saya salah seorang
yang mengkaguminya, mendoakan kesihatannya
mengharapkan dia terus memimpin
beberapa tahun lagi 

(Mereka bercerita tentang Mahathir)

Namun selepas kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, Dinsman  menghasilkan pula puisi “Macam Orang Gila” yang membidas kepimpinan dan menyebabkan beliau berputar 360 darjah pada ketaksuban kepada Dr. Mahathir.

Dia bukan lagi manusia biasa
Ingat dia, dia mahakuasa
Tapi rakyat tengok dia MACAM ORANG GILA

(Macam Orang Gila)

Mungkin pada ketika itu tembelang dan pembohongan Dr. Mahathir kian diperkatakan.  Bagaimana rakyat disogokkan dengan berita-berita lucah dalam akhbar, istilah ‘liwat’ menjadi bacaan dan begitu mudah diungkapkan. 

Selepas pemecatan Anwar Ibrahim, lanskap politik Malaysia sama sekali berubah, pada pilihanraya umum 1999, BN mengalami kemerosoton sokongan yang teruk.  Pada Jun 2002, ketika Perhimpunan Agung UMNO, Dr. Mahathir mengumumkan perletakan jawatan dalam Kerajaan dan parti, yang mengejutkan hampir 2000 perwakilan UMNO.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai Presiden UMNO dan semua jawatan yang dipegang oleh saya dalam parti, perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi BN dan semua jawatan dalam BN….”

Namun setelah dipujuk, Dr. Mahathir menarik balik namun menetapkan transisi kepimpinan kepada Timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas persaraannya pada penghujung Oktober 2003 daripada jawatan Perdana Menteri,  suara dan kelantangan beliau masih terus bergema, walaupun beberapa kali menjadi penghuni Institut Jantung Negara yang merupakan antara yang diasaskan oleh beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri, beliau masih lantang.

Dan semalam, mantan Menteri Penerangan dan ketua pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin yang dikenali dengan nama Zam, mahukan Dr. Mahathir kembali ke Putrajaya untuk membantu Kerajaan BN menangani isu perkauman agama dan ekonomi yang meruncing.

Saya tidak mempertikaikan kemampuan Dr. Mahathir mengemudikan negara selama 22 tahun, namun pada hemat saya, adalah lebih baik membiarkan Dr. Mahathir benar-benar bersara daripada Kerajaan dan urusan yang berkaitan dengan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengenang jasa Dr. Mahathir ada banyak caranya, namun mengingati mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-empat dengan institusi yang pernah diasaskan dan hampir kepada beliau apabila memilih untuk dirawat di dalam negara apabila ramai pemimpin berduyun-duyun memilih untuk keluar negara bagi memanjangkan talian hayat mereka.

Kepada mereka yang berhasrat untuk mahukan Dr. Mahathir membantu Kerajaan dengan peranan apa sekali pun, cukuplah, biarlah Dr. Mahathir benar-benar bersara dan abadikan nama beliau pada Institut Jantung Negara semasa beliau masih segar dan mampu menyumbang senyum.


(Nota Kaki: Tulisan ini adalah ‘bantahan halus’ terhadap usaha membawa semula Dr. Mahathir untuk membantu Kerajaan BN. Titik)

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
mantap..
Tanpa Nama berkata…
saya menyokong cadangan menamakan IJN kepada IJTDM...tatpi bukan cadangan membawa masuk ke dlm kerajaan..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?