ITBM TIDAK PERLU MENJADI POLIS MORAL

Jumaat lalu, dalam renyai hujan di rumah PENA yang telah disergamkan dengan suntikan dana RM1 juta telah berlangsung Majlis Pelancaran Buku ‘Kontal Kantil’ nukilan penulis veteran Saring Sirad atau nama penanya, Ismas Saring.

Peluncuran buku ini bukanlah agenda utama, tetapi pengisian dalam acara baca puisi bulanan saban bulan yang ditandai pada setiap Jumaat minggu pertama.  Ismas Saring bukanlah nama yang asing malah adalah wajah wajib setiap kali berlangsungnya acara sastera khususnya di Lembah Kelang lebih khusus lagi di rumah PENA.

Memanglah sangat wajar PENA meraikan tokoh seperti Ismas Saring dengan memberikan ruang untuk peluncuran koleksi karya beliau yang terpilih dalam ‘Kontal Kantil’, memandangkan pengabdian beliau terhadap sastera dan penulisan di negara kita.

Kontal Kantil nukilan Ismas Saring menghimpunkan tulisan beliau yang sekian lama tersimpan dan terselamat dari menjadi ‘bacaan’ anai-anai.  Koleksi puisi, cerpen dan naskhah drama beliau sejak tahun 60an dikumpulkan dalam sebuah buku dilancarkan oleh SN Datuk Baha Zain.

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang ditukar namanya pada malam sambutan Ulang Tahun ke-50 PENA pada 16 Disember 2011 melalui pengumuman Perdana Menteri dan suntikan RM5 juta bagi menyemarakkan ‘karya asli’ oleh penulis Malaysia khususnya penulis muda di samping perluasan mandatnya.

ITBM sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan antara yang paling agresif dan dikhabarkan pula sebagai yang sentiasa tidak rugi manakala pentadbirannya diselia oleh  Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kontal Kantil memang menepati sebagai sebuah buku malah seperti buku-buku terbitan ITBM yang lain khususnya yang didanai bagi penerbitan ‘karya asli’ yang disokong oleh PENA, kualiti penerbitannya amat menyerlah dan sangat cemerlang.  Lihat sahaja konsep yang diketengahkan lewat penerbitan yang didanai ini, kualitinya setaraf penerbitan luar negara. 

Menghimpunkan 78 puisi, 6 buah cerpen dan 1 naskhah drama beliau ‘Seruan Damai’.  Menariknya Kontal Kantil, yang membawa makna ayun atau buai kentung di surau (seperti yang dimanifestasikan di atas pentas ketika peluncuran) dihiasi gambar-gambar yang menceritakan perjalanan dan pengalaman penulisnya sejak beberapa dekad.

Himpunan karya dalam Kontal Kantil yang terselamat daripada ‘bacaan’ anai-anai sebenarnya pada saya secara peribadi adalah klasik sifatnya kerana walaupun dihasilkan beberapa dekad yang lalu, namun masih segar dan mengiang, Jambatan Kota yang dinukil pada tahun 1963 disusuli Jambatan Kota II lebih lima dekad selepas itu pada November 2012 dan kemudiannya Jambatan Kota III selepas itu masih relevan persoalannya.

Jambatan Kota pada tahun 1963 “lenggang gadis di Jambatan Kota seratus tahun mendatang langkah lesu dan longlai Sungai dan Bandar Klang bukan lagi milik bangsa hakis terbenam di dasar selut hitam air mengalir lesu”.

Selepas lima dekad Jambatan Kota II “terhakis maruah bangsa atas nama pembangunan dan kuasa menangislah wahai bangsaku dengan air mata darah yang terlepas tak akan kembali kita bakal jadi pelarian di negeri sendiri Melayu bangsa dominan hanya pada kata-kata dan slogan”. 

Keresahan terhadap nasib bangsa yang disimbolkan pada Jambatan Kota III “sebilah keris gagah membelah keagungan Bandar DiRaja hanyalah sebuah replika tanpa daulat dan kuasa”.

Walaupun Kontal Kantil adalah suara hati tanpa hipokrasi dan identiti Ismas Saring “yang tak punya apa-apa” sekurang-kurangnya ITBM, PENA dan Tuan Haji Saring Sirad  sendiri yang dilihat sebagai idola dan ikon zamannya perlu ada tanggungjawab moral bagi memastikan gambar di kulit buku dan di halaman dalamnya tidak mempamerkan sisi ‘merokok’ penulisnya.


Sungguh, saya benar-benar terganggu dengan gambar kulit dan halaman di dalamnya! Seperti yang saya ungkapkan kepada Sdr. Khair Ngadiron, teraju utama ITBM, “dalam filem Tamil pun diletakkan ‘amaran merokok membahayakan kesihatan setiap kali ada keperluan menggambarkan adegan merokok”.
Share this article :
 

+ komen + 3 komen

Tanpa Nama
5 Januari 2014 11:35 PG

sapalah sang editornya...

anep
5 Januari 2014 11:53 PG

kata seorang kawan lihat sisi positifnya, tapi fikir saya apa yang positifnya menghisap rokok!

waris
5 Januari 2014 3:09 PTG

seniman menghisap rokok lumrah..namun bila dijadikan kulit buku apa maknanya...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger