TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014, BUKAN TAHUN BARANG NAIK!

Selepas kurang 24 jam  melangkah ke Tahun Baru 2014, bahangnya tidaklah sama dengan sambutan tahun baru sebelum ini.  Khabarnya sambutan tahun baru nanti BN (baca: Barang Naik) akan meraikan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.  

Unjurannya mudah, tariff elektrik dinaikkan, kadar tol dinaikkan maka segala bahan dan perkhidmatan yang berasaskan elektrik dan pengangkutan akan turut mengalami kenaikan.  Ini adalah kesan rantaian yang mahu dinafikan oleh BN.

Menjelang esok, rakyat Malaysia akan menyambut kedatangan 2014 bukan sahaja sebagai Tahun Melawat Malaysia tetapi juga tahun kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.  Walaupun telah ada langkah penjimatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri kurang 48 jam menjelang tahun baru, namun percayalah ia tidak akan mengubah apa-apa pun.

Elaun keraian yang dikurangkan di antara 5 – 10 peratus oleh kakitangan dan juga anggota kabinet tidak membawa sebarang makna, ini kerana bilangan golongan ini tidak sampai 1 peratus pun daripada populasi rakyat negara ini.

Bermula tahun baru juga, tariff elektrik akan meningkat sebanyak  sebanyak 15 ke 17 peratus bagi setiap kilowatt sejam.

Sambutan ambang tahun baru yang lazimnya diadakan di Dataran Merdeka dan beberapa lokasi lain seperti Putrajaya khabarnya diwarnai dengan himpunan rakyat yang membantah kenaikan pelbagai barangan dan perkhidmatan yang dijadualkan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014.

PAS pula menggerakkan inisiatif menghantar nota bantahan yang ditandatangani oleh hampir 10,000 rakyat melalui laman sosial yang diwujudkan selepas kempen Bantahan Kenaikan Tarif Elektrik.  Nota bantahan ini telah diserahkan kepada pengurusan Tenaga Nasional.

11 langkah berjimat yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri bukanlah perkara-perkara yang baharu, jamuan dan penggunaan premis kerajaan untuk kursus dan seminar telah pun diperkenalkan beberapa tahun yang lalu, namun mungkin tidak sangat ditekankan kecuali kuih dua jenis dan air mineral dalam mesyuarat-mesyuarat rasmi jabatan kerajaan.

Apakah keramat sangat perjanjian konsesi tol dan penjana kuasa bebas sehingga tidak boleh dikaji semula, bukankah setiap perjanjian pada dasarnya mempunyai klausa selamat atau adakah Kerajaan cuba melindungi kroni-kroni mereka, secara tidak langsung.

Apakah Kerajaan tidak mempunyai iltizam dan kekuatan politik untuk mengkaji semula perjanjian-perjanjian ‘berat sebelah’ seperti dalam perjanjian konsesi tol dan penjana kuasa bebas?  Dengan langkah terlalu berpaut pada perjanjian konsesi, kelihatannya Kerajaan lebih berminat mendahulukan segelintir rakyat berbanding rakyat secara majoriti.

Sambutan tahun baru 2014 tidak mungkin akan sama dengan sambutan sebelum ini khususnya pasca Pilihanraya Umum ke-13 apabila janji BN untuk meningkatkan kos sara hidup, mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat seperti ‘janji dicapati’!


Selamat Tahun Baru 2014!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
tahun barang naik!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?