PENGUNAAN KALIMAH ALLAH, APA SELEPAS INI?

Kecoh kini apabila mahkamah menolak penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam.
 
Isu ini yang dimulai pada tahun 2009, apabila Kementerian Dalam Negeri membatalkan permit penerbitan akhbar Herald kerana menggunakan kalimah Allah untuk rujukan tuhan.  Ironinya, Herald telah menggunakan kalimah Allah sejak tahun 1994.

Penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam tentulah tidak menyenangkan umat Islam apabila keadaan ini akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.  Sebagai sebuah negara yang mengamalkan toleransi kaum dan agama yang tinggi, penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam seharusnya tidak berlaku.

Amat mudah untuk menuding jari tentang negara-negara lain yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam, namun lanskap dan toleransi agama di negara lain tidak sama dengan Malaysia.

Walaupun agama Islam merupakan agama rasmi negara, namun agama-agama lain tidak pernah dihalang untuk mempraktikkan agama mereka.  Lihat sahaja bagaimana perarakan menjelang Thaipusam diberikan atas dasar menghormati agama lain.  Begitu juga tarian singa dan lain-lain ritual keagamaan yang tidak pernah dihalang.

Walaupun Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib akan terasa ‘tempias’ daripada larangan ini namun, ianya adalah satu langkah yang tepat bagi menghalang lebih banyak kekeliruan daripada penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam, apatah lagi dalam penerbitan seperti Herald yang dibaca oleh penganut kristian.

Parti-parti politik gabungan Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak telah pun mengkaji impak daripada keputusan mahkamah berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam. 

Bukanlah sesuatu yang luar biasa, sokongan BN adalah daripada dua negeri ini yang merupakan ‘simpanan tetap’ BN selama ini.  Namun jika keputusan mahkamah ini dijadikan alasan untuk beralih sokongan daripada BN adalah amat malang dan dangkal daya fikir.

Larangan penggunaan kalimah Allah adalah bagi menjamin kesinambungan keharmonian dan toleransi kaum dan agama terus dipertahan tanpa ada prasangka tentang usaha untuk ‘kristianiasi’ atau ‘islamisasi’ oleh pengamalnya.

Kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib juga telah banyak memberikan kelonggaran kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak apabila mengemukakan ’10 point solution to address the Bahasa Malaysia /Indonesia Bible and other related issues’ melalui surat bertarikh 11 April 2011.

Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak diberikan kebenaran mengimport dan mencetak kitab mereka tanpa sebarang sekatan, malah kaum-kaum lain seperti Kadazan Dusun, Iban dan Lun Bawang juga diberikan kebenaran untuk mencetak dalam bahasa suku mereka.

Pendirian Kerajaan dalam menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah tentulah sudah dijangkan implikasinya khususnya implikasi sokongan politik namun apa yang lebih penting adalah menjamin kesucian kalimah Allah dan mengehadkan penggunaannya dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Dengan keputusan mahkamah, harapnya isu kalimah Allah akan terus dihormati dan dipatuhi demi keharmonian dan rukun hidup rakyat Malaysia, supaya kita terus melangkah menjadi bangsa yang dikagumi khususnya dalam pengamalan dan rasa hormat walaupun berlainan agama dan bangsa.


Agaknya inilah sebenarnya pengorbanan penganut bukan Islam di Malaysia untuk terus menghormati dan mematuhi keputusan mahkamah dan meneruskan hidup dalam aman dan harmoni.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
inilah bahana 1malaysia..
SIS berkata…
Allah adalah ESa..bkn mcm agama lain yg berbilang Tuhannya...amat tidak sesuai agama lain menggunakan perkataan Allah sebagai lambang tuhan mereka..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?