PENGUNAAN KALIMAH ALLAH, APA SELEPAS INI?
Kecoh kini apabila mahkamah menolak penggunaan kalimah Allah
oleh mereka yang bukan Islam.
Isu ini yang dimulai pada tahun 2009, apabila Kementerian
Dalam Negeri membatalkan permit penerbitan akhbar Herald kerana menggunakan kalimah Allah untuk
rujukan tuhan. Ironinya, Herald telah
menggunakan kalimah Allah sejak tahun 1994.
Penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam
tentulah tidak menyenangkan umat Islam apabila keadaan ini akan menimbulkan
kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan toleransi kaum dan agama yang
tinggi, penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam seharusnya tidak
berlaku.
Amat mudah untuk menuding jari tentang negara-negara lain
yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam, namun lanskap
dan toleransi agama di negara lain tidak sama dengan Malaysia.
Walaupun agama Islam merupakan agama rasmi negara, namun
agama-agama lain tidak pernah dihalang untuk mempraktikkan agama mereka. Lihat sahaja bagaimana perarakan menjelang
Thaipusam diberikan atas dasar menghormati agama lain. Begitu juga tarian singa dan lain-lain ritual
keagamaan yang tidak pernah dihalang.
Walaupun Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib akan terasa ‘tempias’ daripada larangan ini namun, ianya
adalah satu langkah yang tepat bagi menghalang lebih banyak kekeliruan daripada
penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam, apatah lagi dalam
penerbitan seperti Herald yang dibaca oleh penganut kristian.
Parti-parti politik gabungan Barisan Nasional di Sabah dan
Sarawak telah pun mengkaji impak daripada keputusan mahkamah berhubung larangan
penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam.
Bukanlah sesuatu yang luar biasa, sokongan BN adalah daripada
dua negeri ini yang merupakan ‘simpanan tetap’ BN selama ini. Namun jika keputusan mahkamah ini dijadikan
alasan untuk beralih sokongan daripada BN adalah amat malang dan dangkal daya
fikir.
Larangan penggunaan kalimah Allah adalah bagi menjamin kesinambungan
keharmonian dan toleransi kaum dan agama terus dipertahan tanpa ada prasangka
tentang usaha untuk ‘kristianiasi’ atau ‘islamisasi’ oleh pengamalnya.
Kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib juga telah
banyak memberikan kelonggaran kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak apabila
mengemukakan ’10 point solution to address the Bahasa Malaysia /Indonesia Bible
and other related issues’ melalui surat bertarikh 11 April 2011.
Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak diberikan kebenaran
mengimport dan mencetak kitab mereka tanpa sebarang sekatan, malah kaum-kaum
lain seperti Kadazan Dusun, Iban dan Lun Bawang juga diberikan kebenaran untuk
mencetak dalam bahasa suku mereka.
Pendirian Kerajaan dalam menghalang penganut agama lain
menggunakan kalimah Allah tentulah sudah dijangkan implikasinya khususnya
implikasi sokongan politik namun apa yang lebih penting adalah menjamin
kesucian kalimah Allah dan mengehadkan penggunaannya dalam kalangan umat Islam
di negara ini.
Dengan keputusan mahkamah, harapnya isu kalimah Allah akan
terus dihormati dan dipatuhi demi keharmonian dan rukun hidup rakyat Malaysia,
supaya kita terus melangkah menjadi bangsa yang dikagumi khususnya dalam
pengamalan dan rasa hormat walaupun berlainan agama dan bangsa.
Agaknya inilah sebenarnya pengorbanan penganut bukan Islam
di Malaysia untuk terus menghormati dan mematuhi keputusan mahkamah dan
meneruskan hidup dalam aman dan harmoni.
Ulasan