MASAM-MASAM MANIS DI SUNGAI LIMAU!

Hari ini akan berlangsung penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN N20 Sungai Limau.  Ini adalah pilihanraya kecil kedua pasca Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei lalu.  Pada 24 Julai yang lalu telah berlangsung pilihanraya kecil DUN Kuala Besut.

Dengan masa berkempen selama 12 hari, pilihanraya kecil DUN N20 Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November 2013 nanti.

Pilihanraya kecil DUN N20 Sungai Limau diadakan selepas kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak yang juga mantan Menteri Besar Kedah selepas ‘tsunami politik’ pada tahun 2008.

DUN Sungai Limau adalah ‘lubuk’ PAS, ianya dimenangi oleh Allahyarham Tan Sri Azizan sejak pertama kali menjadi calon pada tahun 1995, ketika itu dikenali sebagai DUN Sala.  Sejak itu, PAS terus memenanginya sehingga pada PRU yang lepas.

Pada Pilihanraya Kecil kali ini, BN mempertaruhkan mantan pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, khabarnya anak tempatan yang ‘tidak lupa’ turun ke sawah setiap kali pulang ke kampung halamannya.

PAS pula meletakkan calon yang 15 tahun lebih muda dari lawannya, iaitu Mohd Azam Abdul Samat yang merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerai, yang dilabel sebagai anak didik Tan Sri Azizan.

Ironinya, kedua-dua calon adalah orang ‘akademik’, seorang merupakan pensyarah kanan universiti dan seorang lagi pula adalah penolong kanan kokurikulum di sebuah sekolah agama.

Menariknya, adalah pilihanraya kecil DUN N20 Sungai Limau adalah ujian kepada Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Mukhriz Mahathir yang gagal memenangi kerusi Naib Presiden dalam pemilihan UMNO baru-baru ini.  Secara peribadi saya tidak begitu senang dengan usaha MB Kedah menawarkan diri menjadi calon Naib Presiden, dan akhirnya terpaksa akur dengan ‘status quo’ di dalam UMNO.

Walaupun undi yang diperolehi oleh Datuk Mukhriz tidak banyak berbeza daripada pemenang tempat ketiga kerusi Naib Presiden, namun pertandingan yang lebih besar adalah memastikan kerusi DUN Sungai Limau dimenangi oleh calon Barisan Nasional.

DUN N20 Sungai Limau mempunyai 27,287 pengundi berdaftar dengan pecahan undi Melayu sebanyak 93% manakalah baki 7% adalah pengundi daripada kaum Cina.  Pada pilihanraya umum yang lalu, Tan Sri Azizan memenanginya dengan majoriti undi sebanyak 2,774 dan 3,212 pada tahun 2008.

Seperti biasa akan melimpahlah janji pembangunan itu dan ini kepada warga DUN N20 Sungai Limau, dan seperti biasa pula pihak Kerajaan (baca: BN) akan mengatakan bahawa projek-projek yang dilimpahkan di sini telah lama dirancang jauh sebelum berlangsungnya pilihanraya kecil di sini, dan seperti biasa jugalah rakyat dan pengundi di sini akan termakan umpan ‘buatan’ pihak-pihak yang menawarkannya.

DUN N20 Sungai Limau yang dimenangi oleh PAS sejak 1995, bukanlah mustahil untuk direbut oleh BN, ini kerana majoriti undi yang dimenangi oleh PAS hanyalah sekitar 10%, dalam ertikata lain, BN hanya memerlukan anjakan sebanyak 7% untuk memenangi kerusi DUN N20 Sungai Limau, sekali gus menjadi kenangan manis kepada Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.


Pada 4 November nanti akan genaplah usia enam bulan pemerintahan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, akan adakah kejayaan manis sebagai Menteri Besar Kedah yang berjaya merebut ‘lubuk’ DUN N20 Sungai Limau daripada PAS atau terpaksa berkerut memikirkan apakah jawatan  yang patut ditawarkan kepada calon BN yang tewas di DUN N20 Sungai Limau dan yang lebih teruk ialah  menahan masam sindirin kegagalan di pemilihan UMNO dan sekali lagi di Sungai Limau!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ini kalilah ameno..
Tanpa Nama berkata…
eja umno pun xbetul..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?