BAJET PROAKTIF?

Entah mengapa saya tidak begitu teruja dengan pembentangan bajet pada kali ini.  Ini berbeza dengan pengamatan saya pada tahun-tahun sebelumnya, atau mungkin saya telah menjangka perkara-perkara yang bakal dibentangkan.   Ini berbeza dengan bajet 2013 yang dibentangkan sebelum PRU ke-13 yang lalu, pelbagai insentif diumumkan sehingga dilabel ‘bajet PRU’.

Pembentangan bajet pada Jumaat lepas, seperti lazimnya jumaat terakhir bulan Oktober saban tahun adalah perkara yang biasa.  Yang luar biasanya adalah pembentangan kali ini adalah menjelang Pilihanraya Kecil yang kedua pasca PRU ke-13 yang bakal berlangsung pada 4 November nanti.

Seperti biasa memang terdapat banyak yang diberikan oleh Kerajaan dan mencakupi semua golongan, kakitangan awam yang seperti biasa mendapat setengah bulan gaji, golongan karyawan yang dijanjikan bantuan pengurusan dan pentadbiran bagi persatuan-persatuan yang berdaftar.

Antara lain adalah meluaskan akses internet dengan Fasa Kedua Projek Internet Berkelajuan Tinggi (HSSB) dengan kelajuan capaian internet sehingga 10Mbps, di samping pembinaan 1000 lagi menara pemancar telekomunikasi di luar bandar serta kabel dasar laut di Sabah dan Sarawak.  Rasanya eloklah pihak-pihak yang berkenaan memantau apa yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum peluasan “kelajuan internet capaian sehingga 10MBps”.

Cukai barangan dan jualan yang heboh diperkatakan sejak beberapa lama akhirnya diumumkan dalam Bajet 2014 dengan penguatkuasaan bermula 1 April 2015.  Jika dilihat di atas kertas, memanglah cukai yang disyorkan ini jauh lebih baik daripada cukai jualan sedia ada (5% dan 10%) serta cukai perkhidmatan (6%).  Jika kesemua cukai sedia ada ini dirangkumkan hanya kepada 6% GST, ianya memanglah benar-benar bermanfaat kerana nilai cukai yang perlu dibayar hanyalah 6%.

Penambahbaikan pengangkutan awam yang diletakkan di dalam Teras Keempat – Mempergiat Pembangunan Bandar dan Luar Bandar, kelihatannya hanyalah ‘iseng-iseng’ kerana tiada satu perancangan khusus mengenai pengangkutan awam selain daripada di bandar-bandar besar.  Cubalah ke Ijok atau ke pekan seperti Jugra, dan lihat pengangkutan awam yang tersedia selepas begitu lama!

Bantuan BR1M yang diteruskan dengan penambahan menjadikan nilainya sebanyak RM650 dan had gaji minima bagi melayakkan penerimaan juga ditingkatkan, namun apa yang lebih penting adalah supaya bantuan ini tidak kiralah jumlahnya haruslah sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan bukan sekadar pemberian seperti sekarang. 

Mungkin pegawai-pegawai Kementerian Kewangan harus turun padang dan ‘menyiasat’ secara rambang penerima BR1M bagi memastikan yang menerimanya adalah benar-benar layak dan tidak timbul kumpulan sesuatu kaum layak secara otomatik hanya kerana tidak mempunyai slip gaji dan bukti pendapatan.

Tindakan Kerajaan menyelitkan peruntukan RM40 juta bagi mendalam dan melebarkan Sungai Bertam di Cameron Highland adalah satu langkah proaktif dan terpuji, biarpun insiden ini hanya beberapa hari berlalu namun tindakan proaktif seperti ini jarang kita temui dalam belanjawan negara.

Ironinya dengan pemberian pelbagai ‘hand out’ kepada rakyat, atas alasan mengurangkan pesakit kencing manis, subsidi gula telah dikurangkan dan mengakibatkan kenaikan harga gula sebanyak RM0.34 sen.  Alasan yang diberikan bukanlah sesuatu yang baru namun masa untuk kenaikan harga bahan asas pengeluaran makanan seperti gula tentulah akan memberikan kesan secara tidak langsung kepada produk makanan di negara kita.


Bajet 2014 dengan tema ‘Memperteguhkan ketahanan ekonomi, memperkasa transformasi dan melaksana janji’ memang seperti menepati janji BN – Barang Naik!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
angkat2 kutuk jugak..mmg dasar menyakat..tapi suka..hi hi hi..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?