PAKSI TAK MENYALAK KEPADA BUKIT - JAWAPAN KEPADA TULISAN MSO

Dinsman (Harakah 406, 28/10)
Paksi tak menyalak kepada bukit

Terima kasih Mohd Sayuti Omar kerana segera memberi respon kepada majlis Dialog Budaya Bersama Pimpinan PAS yang berlangsung di Hotel de Palma Shah Alam 20 Oktober. Tulisan berjudul “Paksi menyalak kepada orang yang jadi ‘bukit’” dalam blognya 22 Oktober dirujuk.

Paling menarik perhatian dalam tulisan Sayuti itu ialah ungkapannya “menyalak kepada orang yang jadi bukit”, dan “salakan kepada manusia politik yang sudah menjadi bukit”. Tentulah yang dimaksudkannya ialah para pimpinan tertinggi PAS yang hadir pada malam Dialog Budaya itu.

Apakah para pimpinan tertinggi PAS itu adalah “manusia politik yang sudah menjadi bukit”? Saya sebenarnya tidaklah pernah terfikirkan begitu. Dan saya pun tidak pernah menganggap atau memahami bahawa ucapan saya pada malam itu adalah umpama ‘salakan’ atau ‘(anjing) menyalak’.

Tetapi kalau mengikut Sayuti, nampaknya begitulah yang dimaksudkannya – bahawa para pimpinan tertinggi PAS itu sudah menjadi seperti bukit. Apa maksud orang ‘yang sudah menjadi bukit’ itu?

Rasa-rasanya tak perlulah dijelaskan lagi maksud ungkapan yang berasal dari sebuah perumpamaan atau peribahasa Melayu yang terkenal itu – “Seperti anjing menyalak bukit”. Bukit ialah sesuatu yang besar, tinggi dan teguh, dan tidak mendengar. Kalau anjing menyalak bukit, sia-sialah salakan anjing itu, kerana bukit takkan mendengar salakannya dan tak akan peduli kepadanya.

Saya tak tahu apakah betul para pimpinan tertinggi PAS yang hadir pada majlis Dialog Budaya malam itu ‘sudah menjadi bukit’ atau ‘orang yang jadi bukit’. Tetapi saya tahu dengan pasti bahawa saya yang berucap menyampaikan mesej daripada Seniman Paksi Rakyat (Paksi) kepada pimpinan tertinggi PAS malam itu – saya bukan ‘anjing menyalak bukit’.

Saya dan Paksi tidak menyalak kepada bukit, tetapi kami menyampaikan mesej budaya kepada pimpinan PAS dan kami percaya mesej kami itu didengar dan diberi perhatian oleh mereka. Samada respons dan jawapan yang diberikan oleh mereka (para pimpinan) pada malam itu menepati kehendak atau tidak, memuaskan atau tidak, itu adalah perkara lain.

Ramai orang yang memahami bahawa dalam ucapannya menggulung dialog itu antara lain pimpinan PAS menyindir saya kerana tidak pandai meminta, dan oleh sebab itu maka tidak ada permintaan yang mendapat jawapan atau penerimaan baik dari pihak pimpinan. Tulisan Sayuti juga membawa maksud yang sama.

Hanya kawan-kawan di dalam Paksi (dan mereka yang sudah biasa dengan pendekatan Paksi) sahaja yang dapat memahami maksud sebenar daripada pendekatan yang terkandung dalam ucapan saya malam itu. (Juga mereka yang sudah membaca buku Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, kerana di dalamnya terdapat penjelasan dengan contoh-contoh yang terang).

Orang sudah biasa dengan pemahaman bahawa kerja-kerja seni-budaya adalah kerja-kerja yang khas untuk orang-orang yang meminati seni sahaja, dan sejak sekian lama pihak kerajaan hanya menyediakan peruntukan ala kadar untuk mengambil hati aktivis-aktivis seni-budaya yang akan berasa puas hati apabila mereka dapat membuat aktiviti seni mereka. Dan peruntukan itu adalah dianggap sebagai ehsan sahaja daripada pihak mereka yang berkuasa, kerana mereka (pihak yang berkuasa) selalu menganggap bahawa peruntukan itu adalah hak mereka.

Sebab itulah pada malam itu pun ramai kawan-kawan berbisik kepada saya mengatakan pihak pimpinan telah memberi isyarat yang bermaksud saya “tidak pandai meminta”. Maksud mereka saya tidak sepatutnya membuat kritikan terhadap pihak pimpinan. Kalau nak minta, mintalah dengan baik. Janganlah meminta dan dalam masa yang sama melontarkan kritikan dan sindiran yang boleh memedihkan telinga mendengarnya.

Kepada mereka yang memahaminya demikian, termasuk Sayuti, saya ingin menjelaskan bahawa saya dan Paksi sebenarnya tidak meminta ehsan daripada pihak pimpinan. Dalam hal ini barangkali Paksi berbeza dengan pihak-pihak seniman, artis dan budayawan lain yang hadir dan bercakap dalam majlis tersebut.

Pendekatan Paksi ialah bahawa budayawan juga mempunyai hak dan peranannya dalam kehidupan masyarakat. Bahawa perkara atau aktiviti seni-budaya bukan semata-mata untuk memenuhi minat orang-orang seni dan budaya, tetapi mempunyai fungsi dan peranan yang penting dalam mewujudkan kehidupan masyarakat yang sihat, seimbang dan harmoni.

Orang politik jangan beranggapan mereka sahaja yang berhak membuat keputusan dalam menentukan kehidupan masyarakat. Orang seni dan budaya juga mempunyai hak yang sama pentingnya. Tanpa sumbangan orang-orang seni dan budaya, kehidupan masyarakat akan jadi pincang, seperti yang sedang berlaku sekarang.

Maka Paksi sama sekali tidaklah menyalak bukit, tetapi Paksi mengajak para pimpinan supaya memahami permasalahan masyarakat bukan semata-mata dari sudut dan perspektif politik, tetapi fahamilah juga dari sudut dan perspektif budaya. Dan Paksi menyatakan dengan sejelas-jelasnya akan kesudian untuk bekerjasama dengan Mahfuz Omar, bagi merealisasikan wawasannya mengenai ‘Kuasa Budaya Dunia”.

Yang peliknya, dan menghairankan saya, tidak seorang pun daripada beberapa orang pimpinan PAS yang bercakap pada malam itu menyentuh mengenai konsep ‘Kuasa Budaya Dunia’ yang dikemukakan oleh Mahfuz di Parlimen pada 15 Julai itu. Seolah-olah perkara itu tidak wujud pun. Sedangkan hal itulah yang menjadi fokus percakapan saya.

Apapun, sekali lagi saya berterima kasih kepada Sayuti Omar, kerana sudi mengangkat perkara budaya ini ke dalam perbincangannya. Dan kepada Mahfuz (juga Muhaimin, Ahmad Yunus dan Dr Halimah) saya berharap agar selepas selesai PRK di Sungai Limau nanti dapatlah kita duduk semula untuk melaksanakan beberapa aktiviti seni-budaya yang pernah kita bincang itu.


(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)
Share this article :
 

+ komen + 1 komen

30 Oktober 2013 10:35 PTG

Assalamualaikum, singgah dan follow di sini. Jemput ke blog saya pula ya. Terima kasih.

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger