APABILA UMNO PUN DIGELUMANGI PENGUNDI HANTU?

Tentulah seperti terkejut, selama ini sehingga Bersih menginjak tiga versi, badan yang bertanggungjawab terhadap pilihanraya menafikan terdapat pengundi hantu.   

Ketika para ahli UMNO melaksanakan tanggungjawab mereka memilih pemimpin dalam Pemilihan UMNO 2013 yang pertama kali meyaksi perubahan dan ‘transformasi’ parti terbesar yang mewakili orang Melayu timbul pula kisah ‘pengundi hantu’!

Calon Ketua Wanita Bahagian Petaling Jaya Selatan, Norkhaila Jamaluddin dikhabarkan mendakwa wujud pengundi hantu dalam pemilihan bahagian itu, apabila mempertikaikan bilangan undi yang berbeza dengan jumlah perwakilan yang hadir. 

Mungkin kita boleh menganggap ini adalah isu kecil dan ‘salah kira’ atau ‘kesilapan matematik’, namun apa yang didakwa oleh calon ini sepatutnya diberikan perhatian, apatah lagi melibatkan parti yang bermaruah seperti UMNO.

Lain pula kisah di Pasir Gudang, dimana wartawan dihalau daripada tempat mesyuarat.  Memanglah sebagai tuan rumah berhak untuk menentukan siapa yang layak untuk berada dalam tempat mesyuarat. 

Jika UMNO mahu dilihat telus melakukan proses pemilihan dan tulus dalam transformasi yang dilaungkan mereka, kehadiran wartawan sepatutnya dialu-alukan, kerana mesyuarat pemilihan UMNO tidaklah sama dengan pemilihan ‘ketua gangster’ yang dilakukan dalam senyap dan tertutup!  Namun, jika wartawan memang tidak dibenarkan dalam tempat mesyuarat, sepatutnya perkara seperti ini dimaklumkan sejak awal supaya insiden ‘dihalau’ tidak berlaku.

Pemilihan UMNO pada kali ini sebenarnya adalah ‘anjakan paradigma’ yang melibatkan pemilihan oleh ratusan ribu ahlinya berbanding hanya dua ribu lebih perwakilan sebelum ini, tentulah pada kali pertama akan berlaku pelbagai ‘kekurangan teknikal’.

Rupanya pemilihan UMNO yang dikhabarkan sebagai ‘pertandingan keluarga’ dan kesederhaanan tidaklah seperti yang digambarkan.  Realitinya, ramai ahli UMNO seperti berebut-rebut untuk menawarkan diri untuk menawarkan khidmat mereka kepada para ahli, sesuatu yang sepatutnya dilihat sebagai positif jika mereka tidak mempunyai agenda peribadi yang lain.

Sehingga pagi ini, ahli UMNO mengekalkan ‘status quo’ apabila  Datuk Seri Sharizat dan Khairy Jamaluddin terpilih semula untuk terus mengetuai sayap Wanita dan Pemuda.  Jawatan Ketua Puteri pula dimenangi oleh Mas Ermiyatie Shamsudin yang dipilih apabila Ketua Puteri sebelum ini telah melepasi garisan usia 40 tahun yang ditetapkan.

Pemilihan Khairy Jamaluddin tidaklah memeranjatkan apabila Ahli Parlimen Rembau yang juga Ketua Pemuda  terpilih dalam kabinet Perdana Menteri pasca Pilihanraya Umum ke-13, namun yang lebih memeranjatkan adalah apabila calon lain hanya mendapat undian ‘sifar’ sehingga lewat malam tadi.

Mungkin barisan pemuda dalam UMNO masih mahu mengekalkan ketua mereka, apatah lagi calon-calon yang menawarkan diri dilihat seperti ‘belum bersedia’ dan tidak pernah membarisi barisan exco pemuda sebelum menawarkan diri ke jawatan utama pergerakan pemuda.

Melihat trend sedia ada dalam pergerakan pemuda dan wanita, mungkinkah gandingan mantap trio Naib Presiden UMNO yang terdiri daripada Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein akan terus kekal memantapkan gandingan Presiden dan Timbalan Presidennya.    Apatah lagi, gandingan trio Naib Presiden sudah membuktikan komitmen mereka dalam PRU yang lepas khususnya dalam memastikan kemenangan calon-calon UMNO.

Adakah para perwakilan akan memberikan undian ‘sifar’ kepada calon-calon lain dalam pemilihan Naib Presiden sebagai menghantar isyarat yang jelas tentang ketidaksenangan mereka kepada calon-calon yang cuba mengocak ‘status quo’ yang masih mahu dikekalkan sekurang-kurangnya untuk sepenggal lagi.


Sehingga selesai pemilihan pada minggu hadapan, adalah lebih baik, kekurangan teknikal diperbaiki bagi membolehkan UMNO terus dilhatkan sebagai telus, tulus dan bertransformasi, jika tidak dikhuatiri akan dilabel pula sebagai jeritan retorik untuk sekian kalinya!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
apa nak heran..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?