CUKUP, CUKUP SUDAH!

Jika kita orang biasa tidak faham bahasa maka bolehla juga dimaafkan.  Namun jika pemimpin apatah lagi yang pernah bergelar pemimpin utama negeri, jika tidak faham bahasa, maka ada dua sahaja istilahnya: syok sendiri atau meroyan!

Apabila seorang mantan ketua menteri yang telah mengetuai kerajaan negeri selama lebih sedekad dan tiba-tiba kalah dalam Pilihanraya Umum, tentulah ada sesuatu yang menyebabkan kekalahan tersebut, apatah lagi si pemimpin itu bukanlah seorang yang sombong atau tidak buat kerja.

Namun, arus perubahan dan beralih selera bukanlah sesuatu yang boleh ditentukan oleh sesiapa, apatah lagi ketentuan Allah SWT.  Ungkapan Nabi Muhammad SAW, ‘makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang’ sudah acapkali diucapkan oleh para pemimpin, malah mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir ketika mengumumkan untuk mengundurkan diri juga menggunakan ungkapan yang sama.

Selepas, kekalahan di Parlimen Bukit Katil, Datuk Seri Ali Rustam diberikan talian hayat yang baru, dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).  Menjelang pemilihan UMNO pula, beliau dilantik sebagai Senator, namun kedua-dua lantikan ini tidak membawa sebarang erti apabila ditolak dalam pemilihan UMNO baru-baru ini.

Apa yang lebih tragis adalah perwakilan UMNO di Melaka juga menolak beliau dan tidak memberikan undi kepadanya yang menawarkan diri sebagai salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO.

Amalan memberikan kerusi Senator kepada para pemimpin yang telah ditolak rakyat bukanlah sesuatu yang produktif, apakah rasional memberikan Senator, apatah lagi pemimpin itu juga telah ditolak oleh parti yang diwakilinya.

Haruslah diingat bahawa penolakan oleh rakyat bukanlah kerana tidak mengenang jasa, namun pola politik telah berubah, jika pemimpin yang dimaksudkan seorang yang bagus maka rakyat tentulah memerlukan pemimpin yang lebih bagus daripada sekarang.

Pemimpin sepatutnya belajar membaca ‘isyarat’ rakyat untuk tidak terus bermonolog menawarkan potret kepimpinan yang telah sedia ditolak oleh rakyat.

Jika pemimpin veteran seperti Datuk Seri Ali Rustam tidak dapat menggarap apa yang diisyaratkan oleh rakyat, tentulah amat malang bagi sebuah parti seperti UMNO untuk terus menagih khidmat daripada mereka.  Yang lebih malang adalah organisasi seperti PUNB yang terpaksa menerima khidmat seorang yang telah jelas ditolak rakyat untuk menjadi Pengerusi.

Dengan tidak memenagi sebarang kerusi dalam Parlimen mahupun DUN, dan lantikan sebagai Pengerusi PUNB, Datuk Seri Ali Rustam sepatutnya menolak perlantikan sebagai Senator dan menumpukan tugas-tugas beliau di PUNB. 

Jasa Datuk Seri Ali Rustam ketika memimpin Melaka adalah cukup panjang, sama panjangnya dengan ungkapan yang diperkenalkan oleh beliau – Melaka Maju Negeriku Sayang Negeri Bandar Teknologi Hijau, Melaka 751 Tahun!


Sebagai pemimpin yang yang peka tentang rakyat, Datuk Seri Ali Rustam sepatutnya mengundurkan diri daripada politik aktif, sebelum ditolak rakyat dan partinya!  

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
setuju sgt..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?