SEPERTI KETAM …
Apabila Kerajaan yang prihatin seperti Kerajaan Malaysia
yang telah memerintah selama 56 tahun melaksanakan tanggungjawab membela rakyat yang merupakan
tradisi mereka, tentulah ramai rakyat Malaysia merasa bersyukur tinggal di bumi
bertuah ini.
Selama 56 tahun dan melalui 13 siri pilihanraya umum,
pencapaian mereka tentulah boleh dibanggakan dan dipamerkan dalam ‘Hall of Fame’. Sebut sahaja apa bidang pun, kesihatan,
pendidikan dan perumahan pencapaian mereka sangat memberangsangkan. Bukan saya mengampu atau menulis untuk
terpilih diberikan projek ataupun lantikan kepada senator kerana ‘memaklumkan
akan mendedahkan kotak rahsia’. Bukan, ini adalah realitinya.
Dengan penglibatan agensi berkaitan kerajaan seperti
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perbadanan PR1MA dan lain-lain lagi,
isu perumahan rakyat terus menjadi agenda utama Kerajaan.
Namun jika diteliti, penglibatan SPNB dan PR1MA kategori
perumahan yang dilibatkan dalam segmen harga rendah masih kecil berbanding
dengan segmen harga menengah dan tinggi.
Lihat sahaja projek-projek perumahan yang dibangunkan dan peratusan
segmen harga rendah ‘dari RM40,000’ yang ditawarkan mereka. Tiada siapa yang tahu mengapa peratusan bagi
segmen harga rendah sangat berkurangan kecuali membuat andaian bahawa segmen
ini tidak menguntungkan.
Walaupun dilaungkan bahawa Kerajaan membina ribuan rumah ‘mampu
milik’ untuk golongan berpendapatan sederhana, namun istilah ‘mampu milik’
adalah sangat subjektif.
Misalnya, dalam bulan Mac yang lalu, Perdana Menteri
mengumumkan pembinaan 80,000 rumah ‘mampu milik’ dengan 50,000 unit akan dibina
oleh PR1MA manakala pembinaan 30,000 rumah pula akan dilaksanakan di bawah
program Kementerian Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar. Sekali lagi segmen yang tertinggal dan diabaikan
adalah segmen untuk golongan berpendapatan rendah.
REHDA melalui ahli-ahlinya memang dapat memenuhi keperluan
golongan berpendapatan tinggi, namun begitu keperluan perumahan untuk golongan
berpendapatan rendah dan sederhana termasuk orang kelainan upaya (OKU), warga
emas, ibu tunggal, golongan setinggan dan miskin bandar masih belum mencukupi.
Apabila REHDA memaklumkan bahawa pembinaan rumah kos rendah adalah
segmen yang tidak menguntungkan daripada segi komersil, maka kita melihat lebih
banyak projek perumahan mewah menjadi keutamaan mereka. Ironinya kuota 30% yang ditetapkan pembinaan
rumah kos rendah hanya meliputi bagi projek perumahan bercampur dan tidak
kepada projek mewah.
Jika para pemaju lebih ghairah untuk membina projek mewah
maka dicadangkan bahawa bagi setiap unit rumah ‘mewah’ yang dibina mereka
dikenakan membayar levi katalah sebanyak RM10,000 atau 3% daripada nilai jualan
sekadar contoh yang disalurkan kepada Kerajaan untuk pembinaan rumah kos rendah
dan sederhana oleh Kerajaan.
Jika dirujuk kepada permohonan melalui Sistem Pendaftaran
Terbuka (SPT) Berkomputer yang dikendalikan oleh Kementerian Perumahan &
Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tempoh 1 Januari 2009 sehingga 30 Ogos 2009,
seramai 20, 426 orang telah mendaftar untuk memiliki rumah kos rendah di
seluruh negara. Selain itu terdapat
seramai 90,282 keluarga setingga yang masih belum dipindahkan dan ditempatkan
semula berdasarkan bancian oleh Kerajaan-kerajana negeri sehingga 30 Jun 2010.
Angka-angka ini jelas menunjukkan bagaimana keperluan
perumahan rendah masih sangat didahagakan oleh kebanyakan rakyat, dan ianya
seharusnya menjadi keutamaan.
Tidak
mustahil jika seorang berpendapatan rendah atau ibu tunggal pada bulan Mei 2013
masih akan tidak punya rumah sendiri pada Mei 2018 menjelangnya Pilihanraya
Umum ke-14 jika perumahan untuk mereka tidak menjadi keutamaan kerajaan!
Sepatutnya Kerajaan hanya harus menumpukan kepada segmen
rendah dan sederhana bagi membolehkan lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah,
jika Kerajaan pun lebih ghairah membina rumah mampu milik ‘dari RM40,000’ siapa
lagi yang boleh diharapkan untuk menyediakan rumah kepada golongan
berpendapatan rendah, OKU, ibu tunggal, warga emas, setinggan dan miskin
bandar.
Ungkapan ‘tradisi membela rakyat’ sepatutnya diterjemahkan
dalam tindakan yang lebih praktikal dan
berpijak pada realiti dan tidak hanya mengajar pemaju swasta berjalan betul dan
kerajaan sendiri seperti ketam!
Ulasan