APABILA AYAM SABUNG DISEMBELIH!

Bagi seorang pelaga ayam, sabungnya adalah yang paling berharga, ini kerana dengan sabungnya juga ia mampu meraih kemenangan demi kemenangan.  Dengan sabungnya juga ia boleh menyebabkan kekalahan dan menyebabkan kampung tergadai.  Seperti pepatah, menang sorak kampung tergadai.

Kisah bagaimana ayam sabung dijaga sangat menarik.  Apabila melihat operasi pembanterasan pendatang asing tanpa izin beberapa ketika dulu, ada satu kisah menarik bagaimana, ayam sabung diletakkan bersebelahan tempat tidur kerana nilainya.  Walaupun dalam operasi tersebut PATI itu ditahan dan dibawa ke depoh tahanan, namun dia tetap mengusung sangkar ayam sabungnya.

Minggu lepas menjelang Muktamar PAS ke-58 pada November akan datang, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz dikhabarkan hasrat beliau supaya kerusi Timbalan Presiden disandang oleh golongan ulama.  Tiada salahnya hasrat itu, apatah lagi datangnya daripada pemimpin yang dihormati seperti Tuan Guru Nik Aziz.


Ramai yang menganggap hasrat yang disuarakan ini sebagai satu ‘isyarat’ untuk perwakilan  dalam pemilihan November nanti.  Sebagai sebuah parti yang melaungkan ‘PAS untuk semua’, sepatutnya hasrat ‘mengulamakan’ para pemimpinnya tidak menjadi keutamaan tetapi yang lebih penting ialah menilai semula peranan PAS.  Tulisan Dr. Mujahid Yusof dalam buku ‘Rejuvenasi PAS: Idea Realiti Aplikasi ke arah Aspirasi Massa” sepatutnya boleh dijadikan asas penelitian ini.


Timbalan Presiden PAS yang kini disandang oleh Mohamad Sabu yang dimenangi beliau dengan kelebihan 21 undi pada pemilihan yang lalu mengalahkan Tuan Ibrahim Tuan Man.  Kini selepas dua tahun kedudukan Mohamad Sabu tidak dianggap selesa selepas Tuan Guru Nik Aziz melahirkan hasratnya.

Walaupun kemudiannya, Tuan Guru Nik Aziz mengabsahkan bahawa kenyataan sebenarnya telah disalahtafsir oleh media.  Maka redalah sedikit isu kepimpinan daripada kalangan bukan ulama.

Peranan dan tanggungjawab seorang Timbalan selain merupakan pelengkap bagi kepimpinan tertinggi seharusnya juga dilihat sebagai tangan ‘kanan’ dan ‘kiri’ sesebuah organisasi.  Dalam PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang, Presidennya telah dilabel sebagai ulama, begitu juga Ketua Dewan Ulama, selain  Ketua Pemuda juga adalah daripada golongan ulama.

Jika Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang boleh diamanahkan untuk melaksanakan peranan ulama maka Timbalannya daripada kalangan bukan ulama juga mempunyai peranan yang sama penting misalnya sebagai penggerak massa dalam keadaan yang lebih memerlukan peranan seorang pemimpin bukan ulama misalnya ketika mengetuai demonstarasi aman atau dalam bahasa mudahnya – gurkha politik.

Bukankah peranan pemimpin seperti Mohamad Sabu lebih ketara dan menonjol dalam mengimbangi peranan ulama. 

Kini selepas dua hari berlangsungnya Ijtima Ulama PAS Kedah anjuran Majlis Syura Ulama menerima saranan  agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipilih daripada kalangan ulama yang memahami dan menguasai persoalan mengenai Islam dan realiti semasa.

Jika ini dijadikan asas dalam pemilihan Muktamar PAS  yang bakal berlangsung November nanti maka, para pemimpin seperti Timbalan Presiden PAS sekarang dan yang seangkatan dan sealiran beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada barisan kempimpinan PAS, kerana ‘saranan’ oleh golongan ulama seperti yang berlaku di Kedah.


Dr. Mujahid lewat tulisannya menyimpulkan “Kemungkinan persepsi orang ramai terhadap PAS sebagai parti orang agamawan ada kebenarannya sekaligus menghalang PAS untuk benar-benar menzahirkan dirinya sebagai parti yang merangkul semua pihak dalam slogan ‘PAS for All’ yang dilaungkan.  Ini juga menjejaskan peluangnya mendapatkan sokongan yang lebih meluas”.


Maka jika benarlah para perwakilan bakal memilih para pemimpin tertinggi mereka hanya dari kalangan ulama, maka hasrat PAS untuk semua adalah sekadar retorik.  Dengan perkembangan dunia dan realiti politik seperti sekarang, kepimpinan PAS sebenarnya memerlukan gandingan mantap gabungan daripada ulama dan bukan ulama bagi mengimbangi kepimpinan mereka.

Jika ayam sabung seperti Mohamad Sabu pun mahu disembelih apa lagi yang boleh diharapkan daripada laungan PAS Untuk Semua!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
hi hi hi..lepas ni ulama leh ketuai demonstasi aman dan jadi gurkha kot..
SIS berkata…
lebih baik ulama' yg memimpin...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?