ORANG DALAM, ORANG LUAR
Kisah bagaimana masyarakat kita
lebih mengagungkan orang luar berbanding orang tempatan adalah lumrah. Jika tidak mana mungkin ada pepatah, kera di
hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Lihat sahaja bagaimana Kerajaan
di ‘kencing’ 0leh perunding luar dengan bayaran yang begitu lumayan bagi
menghasilkan konsep 1Malaysia yang akhirnya secara bawah sedar terpaksa mengaku
bahawa ia adalah cuplikan daripada kempen 1 Israel yang digunakan oleh Israel.
Ketika Perdana Menteri dalam
ura-ura menguar-uarkan satu lagi tambahan kepada konsep 1Malaysia, iaitu Endless Possibilities, pecah pula berita
bahawa ia juga adalah ciplakan daripada yang digunakan oleh Kementerian
Pelancongan Israel. Jelaslah bahawa
pakar runding yang diupah oleh Putrajaya adalah Yahudi atau berkiblatkan
Yahudi.
Apabila bekas jaguh badminton
negara yang juga jurulatih badminton kebangsaan yang bernaung di bawah
Persatuan Badminton Malaysia, membuat dakwaan bahawa BAM melayan jurulatih kebangsaan
seperti ‘pekerja kelas bawahan’, adalah tidak memeranjatkan.
Apa tidaknya, tanyalah mana-mana
jurulatih sama ada dalam sukan badminton atau bola sepak, apakah kedudukan
mereka sama dengan jurulatih asing.
Banyak insiden yang melihat bagaimana jurulatih tempatan terpinggir dan
terpaksa ‘makan hati’ kerana layanan tahap ‘diva’ kepada jurulatih asing dan
membelakangkan sumbangan mereka.
BAM yang kini diterajui oleh kepimpinan
yang baru, seolah-olah ‘menganaktirikan’ jurulatih tempatan, sehingga negara
luar seperti India memberikan peluang seluas-luasnya kepada jaguh seperti
Rashid Sidek.
Minggu lepas pula, kecoh
bagaimana Kementerian Pendidikan dikhabarkan membelanjakann lebih RM20 juta
(baca: dua puluh) juta ringgit untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan
2013-2025. Malah Menteri Pendidikan yang
juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa jumlah yang dibelanjakan
tersebut adalah ‘berpatutan bagi menyiapkan kerja selama dua tahun’.
Soalnya bukanlah nilai atau
jumlah perbelanjaan yang diberikan kepada sebuah syarikat perundingan
pengurusan am dan tidak mempunyai sebarang kepakaran dalam perundingan
pendidikan.
Sudahlah,
lupakan mengenai syarikat yang berjaya mendapat kontrak RM20 juta bagi tempoh dua
tahun untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, soalnya ke mana
pergi pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, malah mengapa tidak menggunakan
khidmat Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar (BPPDP), yang antara lain
objektifnya adalah merancang dan
mengurus aktiviti perancangan, penyelidikan dan penggubalan dasar pendidikan ke
arah pembangunan sistem pendidikan negara dan juga menghasilkan perancangan pembangunan pendidikan yang strategik,
menyeluruh dan bersepadu bagi mencapai objektif Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian
Pendidikan Malaysia dengan ribuan pegawai malah puluhan jabatan dan bahagian
tentulah boleh digembeling, malah bahagian seperti BPPDP sepatutnya diberi mandat
dan amanah untuk menghasilkan pelan pendidikan yang kononnya dikagumi oleh
negara asing.
Institusi Aminuddin
Baki, satu lagi ‘tangki fikir’ Kementerian Pendidikan Malaysia sepatutnya
diberikan amanah ini. Mungkin dengan
mengembeling usaha dalaman Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri bukan sahaja
mampu menjimatkan wang sekurang-kurangnya RM15 juta ringgit, tetapi juga
memberikan peluang kepada warga KPM untuk mencurahkan kepakaran mereka.
Adakah dengan ‘harga
berpatutan’ kepada perunding luar seperti sekarang mampu memberikan apa-apa
ilmu kepada warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Adakah warga KPM benar-benar bangga dengan
Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 -2025 yang bukan daripada ‘air tangan’
mereka.
Mungkin juga Menteri
sendiri meragui kemampuan warga KPM di bawah Kementerian yang
diterajuinya! Kalau kita sendiri tidak
menghargai orang dalaman jangan pula bermimpi atau marah-marah apabila orang
luar pula menghargai kita berbanding orang sendiri.
Maaf, saya terlambat
untuk satu perbincangan memberikan projek rundingan kepada syarikat dari luar!
Aduh.
Ulasan