SEPERTI KETAM …

Apabila Kerajaan yang prihatin seperti Kerajaan Malaysia yang telah memerintah selama 56 tahun melaksanakan tanggungjawab membela rakyat yang merupakan tradisi mereka, tentulah ramai rakyat Malaysia merasa bersyukur tinggal di bumi bertuah ini.

Selama 56 tahun dan melalui 13 siri pilihanraya umum, pencapaian mereka tentulah boleh dibanggakan dan dipamerkan dalam ‘Hall of Fame’.  Sebut sahaja apa bidang pun, kesihatan, pendidikan dan perumahan pencapaian mereka sangat memberangsangkan.  Bukan saya mengampu atau menulis untuk terpilih diberikan projek ataupun lantikan kepada senator kerana ‘memaklumkan akan mendedahkan kotak rahsia’.  Bukan,  ini adalah realitinya.

Dengan penglibatan agensi berkaitan kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perbadanan PR1MA dan lain-lain lagi, isu perumahan rakyat terus menjadi agenda utama Kerajaan.

Namun jika diteliti, penglibatan SPNB dan PR1MA kategori perumahan yang dilibatkan dalam segmen harga rendah masih kecil berbanding dengan segmen harga menengah dan tinggi.  

Lihat sahaja projek-projek perumahan yang dibangunkan dan peratusan segmen harga rendah ‘dari RM40,000’ yang ditawarkan mereka.  Tiada siapa yang tahu mengapa peratusan bagi segmen harga rendah sangat berkurangan kecuali membuat andaian bahawa segmen ini tidak menguntungkan.

Walaupun dilaungkan bahawa Kerajaan membina ribuan rumah ‘mampu milik’ untuk golongan berpendapatan sederhana, namun istilah ‘mampu milik’ adalah sangat subjektif. 

Misalnya, dalam bulan Mac yang lalu, Perdana Menteri mengumumkan pembinaan 80,000 rumah ‘mampu milik’ dengan 50,000 unit akan dibina oleh PR1MA manakala pembinaan 30,000 rumah pula akan dilaksanakan di bawah program Kementerian Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar.  Sekali lagi segmen yang tertinggal dan diabaikan adalah segmen untuk golongan berpendapatan rendah.

REHDA melalui ahli-ahlinya memang dapat memenuhi keperluan golongan berpendapatan tinggi, namun begitu keperluan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana termasuk orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, golongan setinggan dan miskin bandar masih belum mencukupi.

Apabila REHDA memaklumkan bahawa pembinaan rumah kos rendah adalah segmen yang tidak menguntungkan daripada segi komersil, maka kita melihat lebih banyak projek perumahan mewah menjadi keutamaan mereka.  Ironinya kuota 30% yang ditetapkan pembinaan rumah kos rendah hanya meliputi bagi projek perumahan bercampur dan tidak kepada projek mewah.

Jika para pemaju lebih ghairah untuk membina projek mewah maka dicadangkan bahawa bagi setiap unit rumah ‘mewah’ yang dibina mereka dikenakan membayar levi katalah sebanyak RM10,000 atau 3% daripada nilai jualan sekadar contoh yang disalurkan kepada Kerajaan untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana oleh Kerajaan.

Jika dirujuk kepada permohonan melalui Sistem Pendaftaran Terbuka (SPT) Berkomputer yang dikendalikan oleh Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tempoh 1 Januari 2009 sehingga 30 Ogos 2009, seramai 20, 426 orang telah mendaftar untuk memiliki rumah kos rendah di seluruh negara.  Selain itu terdapat seramai 90,282 keluarga setingga yang masih belum dipindahkan dan ditempatkan semula berdasarkan bancian oleh Kerajaan-kerajana negeri sehingga 30 Jun 2010.

Angka-angka ini jelas menunjukkan bagaimana keperluan perumahan rendah masih sangat didahagakan oleh kebanyakan rakyat, dan ianya seharusnya menjadi keutamaan.  

Tidak mustahil jika seorang berpendapatan rendah atau ibu tunggal pada bulan Mei 2013 masih akan tidak punya rumah sendiri pada Mei 2018 menjelangnya Pilihanraya Umum ke-14 jika perumahan untuk mereka tidak menjadi keutamaan kerajaan!

Sepatutnya Kerajaan hanya harus menumpukan kepada segmen rendah dan sederhana bagi membolehkan lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah, jika Kerajaan pun lebih ghairah membina rumah mampu milik ‘dari RM40,000’ siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menyediakan rumah kepada golongan berpendapatan rendah, OKU, ibu tunggal, warga emas, setinggan dan miskin bandar. 


Ungkapan ‘tradisi membela rakyat’ sepatutnya diterjemahkan dalam tindakan  yang lebih praktikal dan berpijak pada realiti dan tidak hanya mengajar pemaju swasta berjalan betul dan kerajaan sendiri seperti ketam!

Ulasan

haji manap berkata…
alhamdulillah..masih ada yang prihatin..
Tanpa Nama berkata…
setuju..tn ks

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?