PEMERKASAAN BUMIPUTERA, BANYAK LAGI YANG DIMAHUKAN!

Semua orang tahu siapa di sebalik keupayaan Barisan Nasional mengulangi kejayaan dalam Pilihanraya Umum yang lalu.  Walaupun bilangan kerusi dan undi juga merosot, namun semua jelas kaum manakah yang tidak menyumbangkan sokongan kepada kejayaan tipis BN.

Sejak Datuk Seri Najib mengambilalih tampuk pemerintahan negara pada 2009, ramai yang beranggapan bahawa kecenderungan beliau lebih kepada satu kaum sahaja.  Malah tidak keterlaluan apabila ada yang mengajuk, “asyik-asyik lebihkan …..”.  Namun seperti orang Melayu yang tersedar daripada lamunan yang panjang, Kerajaan melancarkan pula ‘Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera’.

Dengan lima fokus utama - mendaya modal insan, memantapkan  pemilikan ekuiti dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan  kewangan, memperhebat keusahawanan & perniagaan serta memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan, maka program pemerkasaan ini dianggap sebagai ‘hadiah’ kesetiaan orang Melayu dan Bumiputera yang menyokong kerajaan selama ini.

Selain lima fokus utama, pemerkasaan bumiputera juga menggariskan intipati khas dengan sasaran meningkatkan pengambilan pelajar UiTM kepada 250,000 orang menjelang tahun 2020.

Dana Pendidikan MARA berjumlah RM1 billion juga disasarkan untuk ditubuhkan bagi membiayai program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan inovasi.  Selain itu, kerajaan juga iltizam untuk memadankan dana kepada nisbah 1:1.  Hal ini pernah ditimbulkan dan dijadikan sebagai resolusi ketika Konvensyen Pendidikan Melayu baru-baru ini.

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) pula akan dibestarikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri sendiri demi mewujudkan komuniti usahawan bumiputera, manakala Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) akan digantikan dengan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi.

Walaupun ramai yang sedar bahawa apa yang digariskan dalam Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah sesuatu yang telah sekian lama tertangguh, namun lain pula dengan suara-suara sumbang oleh MCA dan PKR.

Pemuda MCA khabarnya tidak begitu gembira dengan salah satu strategi yang diumumkan Perdana Menteri, iaitu menggariskan penyertaan Bumiputera dalam GLC sebagai satu petunjuk prestasi kepada peneraju GLC.

"Kami sedar bahawa GLC tempatan telah berkembang ke tahap sedia ada dengan hasil cukai dari semua bangsa.  Oleh itu, tidak perlu ada perbezaan kaum dalam prestasi GLC", seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong.

Naib Presiden PKR, N Surendran pula melabelkan bahawa program pemerkasaan ekonomi bumiputera yang dilancarkan Kerajaan sebagai rasis. 

"Pelan ekonomi mengikut kaum ini tidak munasabah, tidak mengikut undang-undang, perlembagaan dan rasis.  Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan khusus dan terhad kepada bumiputera tidak membenarkan diskriminasi kaum berasaskan kaum yang meluas seperti diterapkan dalam rancangan baru ini”.

Mungkin selepas ini pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Haji Hadi Awang perlu memberikan ‘kuliah’ kepada pemimpin dalam Pakatan pembangkang seperti N. Surendran.

Agaknya PKR dalam melaungkan kesamarataan sesama kaum gagal ‘menilai’ realiti sebenar yang dilalui oleh orang Melayu dan Bumiputera.  Atau adakah dengan pemerkasaan ini, sokongan orang Melayu kepada pakatan pembangkang akan terus merudum.

Walauapapun yang diungkapkan mengenai usaha kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera, namun ramai yang beranggapan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan melonjakkan ekonomi kaum Bumiputera di negara ini.

Diharapkan program pemerkasaan ini akan dimanfaat sepenuhnya dan dapat dinikmati tanpa proses birokrasi yang merumitkan.  Apalah maknanya program seperti ini jika hanya tinggal di atas kertas dan nikmat bilik berhawa dingin dengan ucapan berdegar-degar dan Bumiputera masih terperosok di bawah dalam kantung ekonomi negara!


Share this article :
 

+ komen + 3 komen

Tanpa Nama
16 September 2013 6:59 PTG

suka tajuk entri ini..moga hantar isyarat pada kaum lain..

17 September 2013 8:24 PG

dah banyak program utk bumiputra...tp mereka masih tidur.. dan bangsa lain mengambil kesempatan di atas ketiduran itu...tak tahu lah bagaimana lg nak kejutkan mereka2 yg masih lena ini..untung masih ada program 'pemerkasaan bumiputra' ini..sekurang2nya dpt mengurangkan peluang mengambil kesempatan bangsa lain terhadap bumiputra...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger