LAWAK GAYA UMNO!

Satu hal yang boleh dibanggakan atau dicanang oleh Presiden UMNO, Datuk Sri Najib Tun  Razak pada masa ini yang boleh dikenang sebagai legasi beliau.  Yang pertama memenangi kerusi Presiden tanpa bertanding walaupun ruang untuk pertandingan terbuka luas.  

Perkara yang kedua adalah transformasi kaedah pertandingan daripada hanya lebih kurang 2500 perwakilan kepada lebih 100 ribu yang bakal menentukan kepimpinan UMNO di peringkat tertinggi.

Jika perkara yang kedua dilihat, ini adalah pencapaian atau legasi yang telah merubah persepsi ahli-ahli UMNO di seluruh negara.  Mungkin ada yang tidak beranggapan bahawa apa yang dilakukan oleh UMNO adalah transformasi tulin dan sekadar ‘acah-acah aje’.

Ramai yang melihat penglibatan lebih 100 ribu ahli UMNO dalam pemilihan adalah salah satu kaedah membendung ‘politik wang’ kerana mana mungkin untuk mengeluarkan begitu banyak wang untuk membeli undi para ahli UMNO yang layak menentukan para pemimpin mereka.

Sunggupun transformasi dan ruang demokrasi dibuka seluasnya kepada para ahli untuk menawarkan diri dalam pemilihan pada kali ini, namun apa yang lebih tragis adalah bagaimana ‘para pemimpin’ yang menawarkan diri kepada ahli-ahli seperti tidak cukup karisma, aura dan nilai-nilai kepimpinan serta pengalaman menjadi pemimpin malah ramai yang belum teruji.

Maaf cakaplah, jika diteliti nama-nama seperti Syed Rosli ‘Bangla’ Syed Harmain yang menggunakan ungkapan ‘Bangla’ merujuk kepada kepimpinan Pergerakan Pemuda sekarang ini hanyalah seorang penolong Setiausaha peringkat cawangan.

Malah antara mereka yang menawarkan diri untuk jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda hanya nama-nama seperti Akramsyah Sanusi dan Lokman Nor Adam yang mampu dan benar-benar dilihat telah teruji sebagai pemimpin yang boleh diketengahkan.

Nama-nama lain seperti sangat asing sehingga memerlukan publisiti murahan dengan menggengam Al-Quran dan bersumpah laknat pula.  Adakah para perwakilan dan ahli UMNO memerlukan pemimpin seperti calon-calon yang menawarkan diri tanpa sebarang ‘track record’ yang begitu meyakinkan.

Penyandang seperti Khairy Jamaluddin yang memegang tampuk sebagai Ketua Pemuda sejak 2009 sepatutnya diberikan peluang, ini kerana dengan perlantikan sebagai seorang Menteri dalam kabinet Perdana Menteri pasca PRU 13, beliau diberikan  tanggungjawab secara langsung terhadap orang muda di negara ini, tentulah banyak lagi yang boleh disumbangkan kepada pergerakan Pemuda UMNO khususnya dan orang muda amnya.

Jika Khairy Jamaluddin tanpa sebarang jawatan dalam kabinet pun mampu mengemudi Pergerakan Pemuda UMNO dalam tempoh sebelumnya, cuba bayangkan bagaimana sumbangan seorang Menteri kepada Pergerakan Pemuda UMNO.

Akramsyah Sanusi memang agak menonjol dalam pergerakan belia dan banyak NGO, dengan darah UMNO yang pekat mengalir di dalam tubuhnya, tidak mustahil mampu menjadi pemimpin pelapis dalam UMNO.  Namun apa yang sepatutnya adalah beliau menawarkan diri membantu Khairy Jamaluddin sebelum mengambilalih tampuk kerusi Ketua Pemuda pada pemilihan akan datang. 

Bagi kerusi Naib Presiden yang ditandingi tiga lagi calon selain tiga orang penyandangnya, sebenarnya masih belum diperlukan, dalam kata lain apa yang dilihat lebih baik adalah mengekalkan ‘status quo’.

Nama-nama seperti Tan Sri Isa Samad yang merupakan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ali Rustam yang tewas dalam pilihanraya umum yang lalu dan diberikan talian hayat yang baru dan khabarnya bakal  dilantik sebagai Senator, sebenarnya tidak perlu untuk sekadar ‘test power’ malah kadangkala menjadi bahan lawak pula.

Datuk Mukhriz Mahathir, yang baru merasai kerusi Menteri Besar Kedah pula, rasanya terlalu awal untuk menawarkan diri sebagai Naib Presiden, malah mungkin juga dianggap ‘rakus’ dalam merebut jawatan parti.  Dengan perlantikan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, dan bakal dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi, para perwakilan sepatutnya menilai apa sebenarnya yang dimahukan oleh Menteri Besar Kedah menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO.

Dengan usia pentadbiran peringkat negeri yang tidak sampai setahun, Mukhriz Mahathir adalah lebih wajar menumpukan usaha menyusun semula UMNO di peringkat negeri dengan amanah baru sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri di samping melonjakkan Kedah sehebat jiran mereka, Pulau Pinang.


PemilihanUMNO pada kali ini dengan kaedah yang lebih sistematik, transformasi dan demokrasi yang terbuka luas serta kecanggihan prosedur yang dibanggakan pada hari pencalonan Sabtu lalu, selain dari borang pencalonan, mungkin ada baiknya cermin juga diberikan secara percuma bagi mereka-mereka yang mempunyai impian yang tinggi untuk ‘mencermin diri’ sebelum menawarkan diri sebagai calon!
Share this article :
 

+ komen + 3 komen

Tanpa Nama
23 September 2013 1:09 PTG

lawak lawak...

anak perak
23 September 2013 1:41 PTG

yg nak jadi kp pemuda tu x penah pun jadik exco blm teruji kepimpinan, pastu kata org lain bangla, apa ke hal kome...

1 Oktober 2013 9:33 PG

sokong KJ...sejak jadi menteri belia dan sukan KJ mmg menonjol..aura beliau sbg menteri mmg ada n cukup baik...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger