PERPADUAN MASIH SUBUR DI LAMAN KITA!

Esok, Malaysia akan menyambut ulangtahun ke-50.  Setengah abad yang lalu, pada 16 September 1963, Tanah Melayu, Singapura, Sabah & Sarawak bergabung menjadi sebuah negara, sebelum Singapura memilih untuk keluar daripada Malaysia pada tahun 1965.

Walaupun tarikh 16 September adalah sebenarnya tarikh Malaysia ditubuhkan, namun tarikh ini tidak pernah dianggap penting sehingga pada tahun 2008, apabila Barisan Nasional mengalami tsunami politik pada Pilihanraya Umum ke-12 yang menyaksikan 5 buah negeri ditawan oleh Pakatan Pembangkang.

Sambutan Hari Malaysia sebenarnya dimulakan oleh Pakatan Pembangkang selepas memenangi beberapa buah negeri pada PRU 2008.  Pulau Pinang memulakan cuti umum 16 September dan kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat bermula tahun 2010.

Dalam usia 50 tahun, Malaysia walaupun dikhabarkan melalui krisis keyakinan khususnya kepada gabungan Barisan Nasional yang telah mentadbir sejak empat  dekad,  mengalami kemerosotan prestasi mereka dalam Pilihanraya Umum yang lalu.

Menyelusur 50 tahun yang lalu,  kita tidak pernah pun mengalami sebarang insiden perkauman yang buruk, walaupun ramai yang mengaitkan insiden 13 Mei adalah bukti kerapuhan hubungan kaum di Malaysia.  Peristiwa 13 Mei bukanlah ukuran sebenar atau tanda aras bagi hubungan kaum di negara kita.

Malah tanyalah kepada siapa sahaja yang telah melalui kehidupan lebih setengah abad di Malaysia, mereka tidak malu mengakui bahawa persahabatan merentas kaum masih menebal di negara kita.  Misalnya saya sendiri masih mempunyai ramai kenalan daripada kaum-kaum lain malah kadangkala lebih rapat daripada hubungan sesama  keluarga sendiri.

Anak kecil saya yang belajar di Tadika Cina, belajar membuat sampul raya, kad hari raya dan kad tahun baru Cina, malah menangis apabila tanglung  yang dihasilkannya bersama kawan-kawanya rosak.  Mereka juga menyambut semua sambutan di Tadika mereka malah menyanyi bersama dalam konsert tahunan tanpa sebarang prejudis.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa ini adalah dunia anak-anak yang tidak mengenal warna, namun apa yang lebih penting adalah juga hubungan parti politik sama ada daripada gabungan Barisan Nasional mahupun Pakatan Pembangkang. Kisah kejayaan gabungan BN menjadi model perkongsian kuasa yang dibanggakan.

Untuk menyatakan bahawa perpaduan di Malaysia adalah pada tahap paling cemerlang juga adalah keterlaluan.  Seperti juga hubungan kekeluargaan yang ada pasang surutnya, perpaduan kaum di negara kita juga kadang-kadang bertolak daripada sentimen perkauman yang sempit acapkali berasaskan isu semasa.

Dalam kerancakan kita bercakap mengenai perpaduan dan hubungan kaum di Malaysia, isu integrasi nasional dan wilayah seperti dilupakan.  Jika dahulu, Sabah dan Sarawak dikenali sebagai Malaysia Timur, kini disebut sebagai Sabah dan Sarawak seolah-olah adalah negeri yang berasingan.

Jika dalam tahun 1980-an  terdapat perkhidmatan Feri Malaysia yang menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai satu medium mewujudkan integrasi nasional dan wilayah, namun kini ia hanya sebuah kenangan.  Kerajaan sepatutnya memikirkan kaedah lain di samping mengembalikan perkhidmatan seperti Feri Malaysia.

Walaupun Feri Malaysia khabarnya mengalami kerugian ketika beroperasi selama 3 tahun, namun selain merapatkan hubungan antara wilayah dalam suasana yang kurang kekangan masa, ianya boleh juga menjadi satu lagi produk pelancongan di Malaysia.


Jikapun pihak seperti PERKASA, HINDRAF dan DONG ZHONG yang berjuang untuk kaum masing-masing,  namun jika dilihat dari kaca mata dan kesedaran bagaimana bertuahnya kita tinggal di sebuah negara seperti Malaysia, perpaduan dan hubungan kaum sebenarnya masih subur di laman kita.  Selamat Hari Malaysia ke-50!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
setuju tapi tidak seperti dulu..
SIS berkata…
tahniah tn ks kerana juga telah hidup melepasi garisan setengah abad..semoga panjang umur dan terus aktif menyakat...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?