DUN ANGKAT MENTERI BESAR

Biarlah saya berterus terang, saya tidak pernah menyukai mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan, sungguhpun tidak pernah saya  temui  secara fizikal.  Namun mendengarkan cerita-cerita daripada teman-teman sudah cukup membuatkan saya meluat dengan sikap dan kaedah perhubungan awam yang dianggap ‘bossy’.  Mungkin senang sahaja bagi sesiapa melabel saya sebagai prejudis.
Gambar ihsan: pondoktauhid.blogspot.com

Tan Sri Azizan mengemudikan Kedah sebagai Menteri Besar yang ke-sepuluh selepas PAS memenangi majoriti kerusi DUN di Kedah dalam  Pilihanraya Umum ke-12, dalam apa yang dilabelkan sebagai ‘tsunami politik’.

Keunikan pentadbiran Tan Sri Azizan, mantan ahli akademik yang menceburkan diri dalam politik sebenarnya membuka mata pelbagai pihak, apa tidaknya hubungan beliau dengan persatuan nasional yang dikaitkan dengan Kerajaan bukanlah rahsia.  Tanyalah siapa sahaja dalam dunia penulisan tentang bagaimana beliau memberikan ruang kepada GAPENA untuk melakukan pelbagai aktiviti persuratan Melayu di Kedah.

Hal ini tidaklah menjadi sesuatu yang luar biasa, ini adalah kerana seperti hubungan beliau dengan para pemimpin yang berbeza fahaman politiknya, Tan Sri Azizan juga mempunyai hubungan rapat dengan Tan Sri Ismail Hussein, mantan Ketua Satu GAPENA, apatah lagi kedua mereka adalah dari kampung yang sama.  Malah menurut Tan Sri Azizan, hubungan ukhwah dan sirratul rahim sesama manusia hanyalah dibezakan oleh fahaman politik yang merupakan garisan yang sangat halus.

Menariknya adalah Tan Sri Azizan adalah Menteri Besar yang pertama yang bukannya daripada parti pemerintah.  Selama 64 tahun dan 11 Pilihanraya Umum, kerusi Menteri Besar Kedah tidak pernah diterajui oleh daripada kalangan yang bukan UMNO.  Tentulah sesuatu yang menarik apabila PAS memenangi majoriti DUN Kedah dan Tan Sri Azizan terpilih sebagai Menteri Besar daripada kalangan bukan UMNO yang pertama.

Tan Sri Azizan juga sempat melengkapkan tampuk pemerintahan sebagai Menteri Besar selama lima tahun, malah mencipta pula rekod apabila pembubaran Parlimen tertangguh dan sempat menambah lagi dua bulan dalam rekod pentadbirannya.

Walaupun dalam kalangan para pemimpin PAS khususnya di Kedah seperti kurang senang dengan gaya pentadbiran beliau, namun Tan Sri Azizan seperti disenangi oleh lawannya disamping juga disenangi oleh DYMM Sultan Kedah.

Walaupun semasa hayat pentadbiran beliau selama 62 bulan menerajui Kedah, selain daripada kecemerlangan urus tadbir, beliau juga tidak sunyi dengan kritikan daripada dalam dan luar.  Isu larangan hiburan dalam bulan Ramadhan yang dilaksanakan selaras dengan amalan bulan mulia Ramadhan, namun ditarik balik selepas dikritik hebat oleh rakan sekutu politik PAS dalam Pakatan Rakyat.

Pun begitu, sejurus selepas Pilihanraya Umum ke-13 Mei lalu, Tan Sri Azizan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang kerana penyakit kencing manis yang kronik, menyebabkan kedua belah kaki beliau dipotong beberapa selepas itu.

Kepulangan ke rahmatullah, Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ustaz Haji Azizan Abdul Razak memang sangat dirasai oleh pelbagai pihak sama ada daripada PAS yang telah disertai beliau sejak empat dekad yang lalu, juga oleh pemimpin daripada parti lain.  Malah tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau, kononnya kekalahan pembangkang di Kedah adalah berpunca daripada pengkhinatan adalah keterlaluan.

Semoga roh allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan berjuang menegakkan syiar Islam. 

Dengan kepulangan ke rahmatullah Tan Sri Azizan tentulah akan berlaku pula satu Pilihanraya Kecil di DUN Sungai Limau yang beliau menjadi ADUN sejak lima penggal.  Jasa dan sumbangan allahyarham kepada Kedah dengan rekod beliau sebagai Menteri Besar pertama daripada kalangan bukan UMNO sewajarnya diabadikan dalam bentuk dan pengiktirafan yang bukan sahaja bersifat komuniti, negeri malah di peringkat pusat tidak sahaja oleh PAS malah Kerajaan Pusat juga.

Mungkin Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir boleh menjadikan DUN Sungai Limau sebagai DUN Angkat secara rasmi sama ada ia kekal di tangan PAS atau berjaya dimenangi oleh Barisan Nasional dalam Pilihanraya Kecil yang bakal diadakan nanti.

Seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan   “..Dalam perjuangan Islam ini tidak ada persaraan. Perjuangan akan tetap diteruskan sehingga satu masa yang Allah kehendaki untuk kita berhenti. Tetapi kita sebagai amalan yang berjuang, hendaklah berazam untuk teruskan perjuangan..” -Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.


Al-Fatihah.
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

Tanpa Nama
29 September 2013 1:33 PTG

alfatihah terharu dengan pengakuan jujur tn k

1 Oktober 2013 9:44 PG

Alfatihah buat Ustaz Azizan...pesan ustaz jgn dicerita sikap @ kelakuan buruk org yg telah meninggal dunia...tak baik..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger