KEBAL KEPALA RIMAU …

Gambar Hiasan - Wang kertas RM500 yang tidak lagi digunakan.

Beberapa hari lepas, saya menemani seorang teman saya melawat pembekalnya di sebuah negeri bersejarah di selatan. Teman saya adalah pemilik perniagaan yang terlibat secara tidak langsung dengan industri herba.

Ketika menemui pembekal tersebut yang juga seorang doktor yang telah lebih dua dekad terlibat di dalam industri herba khususnya ‘ayurveda’ yang berasal dari India. Disebabkan teman saya adalah pelanggan penting si doktor yang juga pembekal produk berasaskan herba maka kehadiran saya pun dialu-alukan. Malah dia giat bercerita mengenai masyarakat India yang menjadi rumah keduanya selama hampir berbelas-belas tahun kerana menimba ilmu perubatan ‘ayurveda’.

Pelbagai kisah yang sempat dikongsi selama hampir dua jam menjadi tetamu beliau, namun begitu saya amat tertarik dengan pelbagai ‘tangkal’ yang ditunjukkan kepada saya satu demi satu. Bermula dengan cincin yang dipakainya, yang menurutnya di perbuat dari batu ‘ababil’ yang memang dinyatakan kisahnya di dalam kitab suci Al-Quran. Kemudian saya ditunjukkan pula tapak kaki harimau yang digantung di dalam rumahnya yang mampu menghindari kecelakaan di samping itu terdapat juga kulit kijang yang ditulis dengan ayat suci Al-Quran yang juga mampu menjadi pendinding. Saya bukanlah jenis yang ingin mempertikaikan bahan-bahan yang ditunjukkan kepada saya apatah lagi jika ianya adalah daripada kitab suci Al-Quran.

Pagi semalam ketika membaca akhbar The Star yang memberitakan bagaimana anggota-anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas lebih 50 ekor pelbagai hidupan liar daripada dua ladang di Teluk Bahang dan Balik Pulau yang dipercayai milik seorang penyeludup hidupan liar, Anson Wong.

Keng Liang ''Anson'' Wong, yang baru sahaja dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM190,000 pada 6 Sept lepas oleh Mahkamah Sesyen Sepang kerana menyeludup ular tanpa permit dalam beg pakaian. Malah lesen pemelihara dan permit khas yang dikeluarkan kepada Anson Wong dan isterinya, Cheah Bing Shee juga telah dibatalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas dipersetujui oleh Menterinya.

Kisah bagaimana mereka boleh diberikan permit amat memeranjatkan kerana orang yang sama pernah juga dijatuhi hukuman kerana kesalahan menyeludup hidupan liar di Amerika Syarikat dan juga telah menjalani hukuman penjara. Malah ketika heboh mengenai pembunuhan jutawan kosmetik awal bulan lepas, juga dilaporkan bagaimana ladang yang dimiliki suspek utama sebenarnya seperti mini zoo menempatkan juga binatang-binatang yang dilindungi dan terancam, dilaporkan bagaimana beruang dan lain-lain binatang diselamatkan dari ladang ini.

Malah suspek utama pembunuhan sadis tersebut juga pernah dilaporkan mampu menyelesaikan pelbagai masalah – yang diungkapkan kepada seorang wartawan yang baru pertama kali ditemuinya! Dengan segala keangkuhan membayang betapa kebalnya dia dari aspek perundangan dunia. Tentulah amat memeranjatkan jika seorang yang telah didapati bersalah, kemudian masih terus-terusan diberikan permit, malah begitu berjaya menjadi pedagang hidupan liar selama beberapa tahun sebelum tertangkap pada 26 Ogos yang lepas. Apakah terdapat unsur-unsur kebal seperti yang didabik oleh suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik kepada wartawan yang pertama kali ditemui.

Seorang teman saya juga sering berseloroh dengan mengatakan dia juga lebih berhati-hati pada ketika ini dengan memakai tangkal sebagai satu elemen kebal dan sebagai pendinding. Tangkalnya itu sebenarnya tidak lain tidak bukan ialah ‘kepala rimau’ dalam dompetnya!

Ulasan

bro berkata…
ada fulus semua lulus dong...
anep berkata…
setuju kebal kepala rimau..
SIS berkata…
Allah saja yg kebal...
aisha Bv berkata…
percya sgtlah tu....tangkal...
takut tersasar akidah pulak,,,,,

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?