KALAU TAKUT DILAMBUNG OMBAK, JANGAN BERUMAH DI TEPI PANTAI …


Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut


Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

(petikan sajak 'Melayu' nukilan SN Usman Awang)


Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Itulah yang bermain di kepala saya, kebetulan pada hari ini saya ke Rompin, perjalanan saya melalui sebahagian besar Negeri Sembilan melalui lebuhraya LEKAS. Saya melewati Kuala Pilah, Bahau, Jempol sebelum sampai ke destinasi saya. Sempat bersolat Subuh di Masjid Kariah Kampung Ibol, Terachi dan solat jamak Zuhur dan Asar di Masjid Jamek Yam Tuan Raden di Kuala Pilah.

Mengapa saya memperkatakan mengenai Negeri Sembilan, ini kerana Menteri yang bertanggungjawab mengenai blogger di negara ini pernah menjawat jawatan tertinggi negeri sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 4 tahun dari tahun 1978 hingga 1982. Tentulah selama empat tahun, sedikit sebanyak terpancar dalam pembangunan fizikal dan spiritual di negeri Sembilan yang saya lewati sepanjang 450 kilometer perjalanan saya pada hari ini.

Memang ada kewajaran apabila Menteri yang kononnya dilaporkan di dalam entri tersebut membuat andaian bahawa ‘anak’ yang dilaporkan adalah anak kepada si menteri ini, kerana memang tiada nama yang disebut secara langsung. Menteri yang bertanggungjawab terhadap blogger pun membuat laporan polis dengan menekankan sebagai ‘character assassination’. Jika Menteri berkenaan berusaha membaca berulangkali, sebenarnya pernyataan tersebut adalah sebagai peringatan kepada para pemimpin, rasa kasih dan sayang terhadap Menteri berkenaan yang memang diketahui sebagai seorang yang cukup menekankan integriti dalam hidupnya. Saudara Rocky, sebagai yang diketahui umum bukanlah jenis wartawan mahupun blogger yang sengaja mereka-reka sesuatu isu tanpa sebarang sebab yang kukuh. Cakap-cakap (rumours) yang diungkapkan dalam entri beliau sebenarnya adalah ruang terbaik bagi Menteri berkenaan menjernihkan dan memberikan gambaran sebenar siapakah sebenarnya yang terlibat dalam penganugerahan geran yang dimaksudkan.

Apakah ada kemungkinan, Menteri ini sebenarnya membaca dengan emosi atau disalahnasihat sehingga tidak mampu membaca ‘between the line’ dan ‘below the line’. Membaca yang tersirat dalam tulisan yang tersurat, tetapi memilih untuk membuat laporan polis hanya kerana diperingatkan kerana rasa kasih dan hormat kepada Menteri ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepatutnya menyiasat cakap-cakap ini kerana melibatkan anak Menteri (bukan dimaksudkan Menteri yang bertanggungjawab terhadap spectrum 3G). Usaha ini adalah perlu kerana melibatkan para pemimpin dalam kepimpinan YAB Perdana Menteri.

Sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap para blogger, malah saya melihat beliau sebagai seorang Menteri yang serius dalam usaha yang diamanahkan, saya memandang tinggi pelbagai usaha beliau di mana sahaja beliau menjadi terajunya, namun apabila memilih untuk membuat laporan polis terhadap sebuah artikel yang sebenarnya memohon beliau untuk memberikan penjelasan kerana rasa kasih dan hormat kepada beliau saya menjadi semacam tidak percaya ianya dilakukan oleh Menteri yang menjadi ‘idola’ saya. Saya percaya Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang telah bergelumang di dalam arena politik sejak empat dekad yang lalu telah pernah ditohmah, malah apabila beliau sekali lagi ditohmah dalam urusan yang melibatkan bidang kuasa Kementeriannya, beliau sepatutnya memilih untuk memberikan penjelasan panjang lebar sesuai dengan prinsip ketelusan dalam urusan pemberian geran yang dimaksudkan.

Apakah setiap kali seseorang Menteri, ahli politik atau para pemimpin itu ditohmah, memilih untuk membuat laporan polis dengan alasan ‘character assasination’, maka saya kira mereka sebenarnya belum ampuh untuk menjadi pemimpin, kerana bukankah khabar angin, tohmahan, cakap-cakap adalah sebahagian dari pakej yang hadir bersama kejayaan mereka sebagai ahli politik, Menteri dan para pemimpin. Mungkin keadaan ini harus dilihat pada sisi yang lain sebagai betapa rakyat mengasihi para pemimpin ini, namun jika mereka tidak berupaya menangkis semua ini dengan perlakuan sebagai seorang pemimpin yang dimatangkan dalam proses politik ini, maka lebih baik mengundurkan diri secara terhormat, ialah seperti kata bidalan – takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai!

(Nota Kaki: Harapan kemelut salah tafsir Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dan blogger Rocky Bru akan berakhir secepat mungkin. Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan suara hati, tidak bermaksud memperlekeh mana-mana orang sama ada pemimpin yang hidup atau pun yang telah mati.)

Ulasan

haji manap berkata…
syabas kpada tuan..pandangan yg bernas, susahlah ada menteri cepat melatah dan melenting...
anep berkata…
Orang tua cepat terasa..biasalah tu..
SIS berkata…
betul la tn ks..patutnya menteri berilah penjelasan atas apa yang di'tohmah'...bukannya melenting... tak pro la cam tu...
sarip dol berkata…
menteri rais tak nampak macam terlbih guna kuasa ke..kalau tak betul tolg nafikan,,jgnlah nak repot polis aje..,
Rockybru berkata…
terima kasih bro. eden ni minang gak, tapi takdo lah menggelabah ..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?