MAKAN WAYANG, MINUM WAYANG, TENGOK WAYANG ...



Katalah apa pun, tapi saya ada kegemaran (baca:kegilaan) sendiri. Setiap tahun saya pasti melalui kegilaan ini. Minggu lepas untuk kesekian kalinya saya melewati kegilaan ini. Kisah kegilaan saya sebenarnya ada ketikanya dikongsi oleh mereka-mereka yang lain.

Menonton wayang secara marathon dari jam 12 tengahari hingga jam 12 tengah malam dengan masa senggang selama 30 minit di antaranya, itulah yang saya lakukan lewat Sabtu lepas. Menonton lima buah filem yang ditayangkan sempena Latin American Film Festival 2010 edisi ke sembilan. Pada hari sebelumnya pula saya menonton tiga buah filem. Walaupun filem pertama yang saya tonton pada hari Jumaat di Mid Valley terganggu selepas lebih 30 minit berlangsung akibat masalah teknikal tidak mengugat keghairahan saya.

Filem The Pope’s Toilet (El Bano del Papa) sebuah filem Uruguay, filem yang mengisahkan bagaimana Beto (Cesar Troncoso) penyeludup yang beroperasi di sebuah pekan kecil yang bersempadan di antara Uruguay dan Brazil dengan menggunakan basikal, bercita-cita untuk memiliki sebuah motosikal. Berbekalkan keazaman yang tinggi Beto dan rakan-rakannya bercadang untuk berniaga sempena lawatan paderi besar ke tempat mereka. Tidak seperti rakan-rakanya yang lain yang menumpukan usaha menjual produk makanan, Beto memilih untuk menyediakan kemudahan bagi memberikan keselesaan kepada para pengunjung sempena lawatan paderi besar, Beto menyediakan kemudahan tandas! Malangnya seperti kawan-kawannya yang berniaga Beto juga membuat perhitungan yang salah apabila kehadiran orang ramai tidak seperti yang dijangkakan.

Filem yang bertolak dari kisah yang ringkas ini memenangi pelbagai anugerah dan menuntun simpati penonton daripada kisah Beto yang bercita-cita untuk memiliki motorsikal.

Filem The Trial (La Prueba) dari Peru telah memenangi pelbagai anugerah antaranya di nobatkan sebagai Filem Terbaik di Verona Love Screens Film Festival. The Trial mengisahkan perjalanan Miranda yang mencari bapanya yang bersembunyi di sebuah pekan kecil yang terpisah dengan dunia luar. Bapanya sebenarnya melarikan diri daripada hukuman penjara kerana kesalahan menggelapkan wang negara. Miranda berusaha menjejaki bapanya kerana memerlukan transfusi darah yang boleh menyelamatkan adiknya. ,

Perjalanan dan peristiwa serta manusia-manusia yang ditemui oleh Miranda sepanjang misi menjejaki bapanya menjadi intipati filem ini. Filem garapan Judith Velez sebenarnya adalah filem cereka pertama beliau dan mampu melangkah jauh. Malah filem ini dilihat sebagai gelombang kebangkitan sinema di Peru.

El viaje de la Nonna (Nonna’s Trip) filem dari Mexico memang menghiburkan. Kisah bagaimana hasrat dan impian nenek tua yang ingin menziarahi tempat kelahiran mendiang suaminya di Itali. Malangnya si nenek ini mengalami masalah ingatan yang teruk sehingga anak-anak dan keluarganya merasakan tidak perlu berhabisan untuk memenuhi hasratnya itu. Namun dengan idea untuk membawakan Itali kepada nenek tua ini, mereka merancang sesuatu dengan harapan si nenek tua ini akan berpuashati dan benar-benar merasakan telah berkunjung ke Itali!

Pelbagai aksi lucu dapat dilihat sepanjang memenuhi keinginan nenek mereka. Secara tidak sengaja tipu muslihat anak-anak dan cucunya dapat dihidu apabila alas meja tersingkap oleh angin, dan nenek tua terperasan bahawa dia sebenarnya tidak ke Itali pun!

Filem dari Cuba yang bertajuk La Anunciación (Anunciation) mengisahkan bagaimana Amalia yang begitu taksub dengan dunia spiritual, berusaha menyatukan anak-anak selepas kematian bapa mereka. Ricardo anak yang sulung seorang jurutera yang ditinggalkan isterinya dan mempunyai seorang anak lelaki yang saban hari percaya ibunya akan kembali. Margarita pula telah lama berhijrah ke Amerika Syarikat dan Mayito seorang pemuzik jalanan dan penyajak.

Si ibu bercadang memperdengarkan Wasiat Moral yang kononnya ditinggalkan oleh mendiang suaminya, namun apabila si anak kecil yang menjadi perantara percakapan rohnya mendapat tahu wasiat yang sebenarnya yang disorokkan dari pengetahuan anak-anaknya. Niat si ibu yang mahu memastikan bahawa hubungan keluarga anak-anaknya dapat dipulihkan di samping memastikan kebajikan cucunya juga terbela apabila membacakan wasiat yang kononnya ditulis oleh suaminya. Rancangannya musnah sama sekali apabila cucunya mengoyakkan wasiatnya! Filem berbajet rendah ini telah memenangi Anugerah Utama di dalam International Festival of Low-Budget Cinema of Gibara, Cuba, 2009.

Satu perkara yang menarik, filem-filem yang ditayangkan seolah sesuai untuk industri perfileman Malaysia mencontohinya kerana hampir kesemua filem yang ditayangkan tidak berbajet mewah kecuali satu atau dua filem yang boleh dikesan sebagai berbajet agak besar. Filem The Anunciation dari Cuba misalnya mampu membuat penonton terpaku sehingga ke akhirnya, uniknya filem ini hanya menggunakan pelakon yang sangat minima, begitu juga filem The Trial (Peru) yang boleh menyelami konflik anak dan bapanya hanya melalui dialog dan lakonan yang begitu mantap.

Festival filem yang berlangsung selama empat hari menyajikan Sembilan buah filem antaranya: The Camera Obscura (Argentina), Bossa Nova (Brazil), The Gift (Chile), The Annunciation (Cuba), The Trial (Peru), My Time Will Come (Ecuador), Nonna’s Trip (Mexico), The Pope’s Toilet (Uruguay) dan Zamora, Free Land and Men (Venezuela).

Selepas beberapa tahun menonton filem-filem dari pelbagai negara dalam pelbagai festival semacam ini, saya terfikir filem Malaysia apakah yang disajikan jika festival seumpama ini diadakan di negara asing, mungkin filem Sifu dan Tonga atau Senario Asam Garam?

(Nota Kaki: Sepanjang menonton filem-filem saya juga ternampak pasangan Sasterawan Negara dan isterinya. Sebenarnya ini hanyalah untuk merasionalkan kegilaan saya!)

Ulasan

anep berkata…
len kali tlg uar-uarkan dalam blog tuan..bleh tmpang sekaki..
sani berkata…
salam tuan, setuju sgt filem Sifu dan Tonga serta senario tu..itulah filem Malaysia - hampeh!
SIS berkata…
tn ks mmg gila...tp kegilaan yg berbaloi...
sara berkata…
x cukup patriotik tuan ni..x tgk citer melayu ke..
dsquared jacket berkata…
http://www.dsquaredjacketoutlet.com

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?