HADIAH NOBEL, RAKYAT MALAYSIA BILA LAGI …?

(Mario Vargas Llosa dari Peru adalah penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan bagi tahun 2010)


Rakyat Malaysia memang mempunyai keupayaan untuk memenanginya. Soalnya bila dan dalam bidang apa. Ramai rakyat Malaysia yang mempunyai keupayaan luar biasa. Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOOSA) diketuai oleh seorang rakyat Malaysia, malah seorang rakyat Malaysia pernah dilantik sebagai penasihat kepada Presiden dan Kerajaan Senegal. Ini sekadar beberapa contoh pencapaian rakyat Malaysia.

Sebagai seorang pendamping sastera di Malaysia, tentulah saya lebih berminat untuk memperkatakan sumbangan sasterawan kita yang boleh dinobatkan sebagai penerima hadiah Nobel Kesusasteraan. Kita bukan tidak ada karya bertaraf antarabangsa, atau sasterawan yang mampu menghasilkan karya-karya merentas sempadan nasional.

Malah usaha konsisten Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) memilih dan menterjemah karya-karya Bahasa Melayu ke bahasa-bahasa asing adalah juga menjadi satu usaha memperkenalkan karya-karya penulis Malaysia ke persada antarabangsa.

Memandangkan bahawa pencalonan Hadiah Nobel Kesusasteraan adalah berdasarkan pencalonan oleh mereka yang berkelayakan yang menerima jemputan daripada Jawatankuasa Hadiah Nobel untuk menghantar pencalonan di samping oleh orang yang layak mencalon walaupun tidak mendapat surat jemputan pencalonan, maka satu usaha untuk mencalon rakyat Malaysia ke anugerah ini wajar digerakkan secara sistematik, berpusat dan disokong penuh oleh Kerajaan.

Kementerian-kementerian khususnya Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri harus digembelingkan malah seluruh rakyat Malaysia harus menyokong usaha murni ini dengan sasaran dalam tempoh 10 tahun ini. Lagipun bukankah Kementerian Pelajaran Malaysia kini diterajui oleh orang nombor dua di negara kita, diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri. Mungkin ITNM dan Dewan Bahasa dan Pustaka boleh menyelaras usaha ini dengan melantik atau mengenalpasti mereka-mereka yang berwibawa untuk mencalonkan karyawan dari kalangan rakyat Malaysia untuk dicalonkan bagi Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1901 sehingga pada tahun 2009 sebanyak 102 Anugerah Nobel bagi Kesusasteraan telah diberikan kepada 106 penerima. Malah telah ada rakyat dari benua Asia menerimanya dimulai dengan Rabindranath Tagore dari India pada tahun 1913. Yasunari Kawabata dan Kenzaburo Oe dari Jepun pula dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 1968 dan 1994. Pada tahun 2000 pula anugerah ini dimenangi oleh Gao Xingjian, rakyat China yang menjadi warganegara Perancis.

Saya percaya dan amat yakin, jika usaha ini dilihat sebagai satu projek nasional adalah tidak mustahil untuk kita menggapainya. Bukankah Malaysia pernah menghantar rakyatnya ke ekspedisi ke bulan. Diharapkan impian untuk melihat karyawan Malaysia dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan akan menjadi realiti dan bukannya anganan Mat Jenin! Ada siapa-siapa menyokong saranan ini?

Ulasan

haji manap berkata…
syabas tuan, visi yang cemerlang.,.saya menyokong saranan ini..
siti berkata…
salam tuan..Malaysia boleh..rakyat Malaysia boleh..
anep berkata…
setuju 110 peratus..saranan tuan
SIS berkata…
sokong saranan tn ks..usaha ITNM pasti akan ada hasilnya...para sasterawan di Malaysia pun hebat2..hanya x dketengahkan dpersada antarabangsa..
karim berkata…
saya sokong!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

KEMELUT PERSATUAN SUKAN ...

MENGIMBAU BALING SELEPAS 38 TAHUN