ENTHIRAN SI ROBOT ...


Minggu lepas saya berkesempatan menonton filem Tamil – Enthiran yang bermaksud Robot. Filem Tamil ini yang bersifat universal melainkan adegan nyanyian yang memang sinonim dengan filem Tamil. Filem ini mengambil masa lebih dua tahun bagi penghasilannya manakala kerja-kerja pra produksinya mengambil masa sedekad apabila idea filem ini pertama kali dilontarkan oleh pengarahnya – Shankar. Malah filem ini mengalami pelbagai perubahan penerbit dan para pendukungnya. Pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan pernah dilaporkan sebagai penerbit dan pelakon utamanya sebelum menarik diri kerana menganggap skrip filem ini sebagai tidak ampuh.

Endhiran kisah yang biasa diceritakan dalam konteks yang lebih saintifik melalui penciptaan robot yang dinamakan Chitti oleh teraju utamanya – Rajnikanth. Professor Vaseegaran (Rajnikanth) berusaha selama 10 tahun untuk menghasilkan robot ini yang akhirnya ditolak oleh panel penilai kerana dikatakan tidak beremosi. Maka usaha keras untuk Vasee mengubah suai struktur Chitti dan menambah emosi manusia kepadanya. Si Chitti Robot itu pula menimbulkan masalah kerana mula menyukainya tunangan Vasee, Sana lakonan Aishwarya Rai Bachan.

Seperti sebuah filem yang lengkap, Enthiran juga mempunyai watak-watak jahatnya iaitu mentor Vasee, Professor Vohra, lakonan Danny Denzongpa yang sebenarnya cemburu terhadap kejayaan anak didiknya yang berupaya menghasilkan robot tersebut. Sebagai sebuah filem Tamil, Enthiran juga dihasilkan dalam dua bahasa yang lain – Telegu dengan judul Robo dan Hindi menggunakan judul Robot.

Lakonan Rajnikanth dan Aishwarya Rai Bachan yang dilaporkan menerima bayaran tertinggi dalam sejarah filem India memang mantap dan menghiburkan. Rajnikanth memegang dua watak sebagai pencipta Robot, Professor Vasee dan Robot itu sendiri. Tentulah robot yang dilakonkan oleh Rajnikanth mengikut acuan dan gaya yang sentiasa menjadi ‘trade mark’ pelakon Rajnikanth dengan putaran tangan dan lenggok kakinya!

Enthiran memang menghiburkan malah kadang-kadang melucukan, lihat sahaja adegan bagaimana si robot berkomunikasi dengan kelompok nyamuk sebagai memenuhi permintaan 'buah hati'nya yang mahu dibawakan nyamuk yang menggigitnya. Pedulilah jika filem ini dianggap tidak logik dalam sesetengah adegannya kerana bukanlah tugas filem untuk memastikan ianya bersifat logik, malah filem yang merupakan gabungan seni dan sains pernah diungkapkan oleh pengarah terkenal Ingmar Bergman yang memperkatakan mengenai seorang lagi pengarah tersohor Andrei Tarkovsky.


"Tarkovsky for me is the greatest [director], the one who invented a new language, true to the nature of film, as it captures life as a reflection, life as a dream" Tarkovsky bagi saya adalah pengarah tersohor yang mencipta bahasa baru, bahasa filem, yang melihat kehidupan sebagai refleksi dan kehidupan sebagai mimpi.

Filem ini juga menghimpun nama-nama besar dalam industri filem, AR Rahman yang menggubah lagu-lagu dalam filem ini di samping pakar-pakar kesan khas dan visual dari Hollywood.

Filem ini turut ditayangkan serentak di seluruh dunia termasuk Singapura, United Kingdom, China dan Amerika Syarikat.

Memang berbaloi Shankar, pengarahnya menunggu hampir sedekad bagi merealisasikan impiannya untuk menghasilkan filem ini!

Ulasan

anep berkata…
filem tamil bertaraf antarabangsa ke..
SIS berkata…
tak pernah dengar filem tamil versi saintifik ni..satu mencapaian yg memberansangkan...
Tanpa Nama berkata…
cum on beb,,, kollywood(tamil) merupakan industri antarabangsa,,,, ini adalah kerana orang tamil berada di setiap pelosok dunia dan menonton filem tamil.....

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?