CERITA TIGA LELAKI ...

Saya tidak pernah menemui Menteri Mentor Singapura secara fizikal, walaupun saya banyak terdedah dengan tulisan dan pemikiran beliau. Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang acapkali digelar sebagai Bapa Singapura, pada minggu lepas kehilangan isteri kesayangan yang telah berkongsi hidup selama 63 tahun, satu jangkamasa yang bukan sedikit.

Madam Kwa Geok Choo meninggal dunia pada Sabtu lepas selepas beberapa lama diserang angin ahmar. Lee Kuan Yew menyampaikan eulogi pada upacara pengembumian mendiang isterinya. Selepas 63 tahun hidup sebagai pasangan suami isteri saya amat percaya begitu banyak memori manis sepanjang perjalanan hidup sebagai pasangan suami isteri. Itulah intipati eulogi Tuan Lee terhadap isteri tersayang beliau.

Pada 24 September yang lepas pula, ketua di syarikat saya memberikan khidmat, Tuan Haji Isa kehilangan isteri beliau selepas tewas akibat penyakit yang telah dihidapi sejak 20 tahun yang lalu. Seperti Tuan Lee, Haji Isa juga menulis memori bersama Allahyarham isteri yang menjadi pasangannya selama 31 tahun, daripada tarikh perkahwinan mereka pada sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-22 bertemakan ‘Bersatu Berdisiplin’ – betul Tuan Haji Isa, Pengarah Urusan syarikat saya memberikan khidmat, berkahwin pada 31 Ogos 1979!

Haji Isa menukilkan apa yang tersirat dari lubuk hatinya selama 31 tahun, 24 hari menjadi suami kepada wanita yang dicintainya. Kisah 40 hari sebelum Allahyarham isterinya menghembuskan nafas terakhir memang meruntun hati lelaki saya – bagaimana sang suami sering ditegur sehingga kepada hal-hal yang remeh – cara membuka paip air, bagaimana si suami dileteri hanya kerana tersenyum. Semuanya seperti rakaman sinematik bagaimana filem-filem Allahyarham Yasmin Ahmad memotretkan kasih sayang suami isteri.

Kisah bagaimana, Allahyarham Mariani dipeluk anak-anak yang tidak dikenali di sebuah restoran, bagaimana saudara mara mereka turun untuk bersalaman dengan Allahyarham sewaktu Hari Raya kerana tidak begitu sihat untuk menaiki tangga rumah kampung amat menyentuh hati kecil saya.

Beberapa hari lepas, pecah berita bagaimana mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke hospital di Melbourne selepas mengadu sakit dada. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ditemani oleh isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah yang telah bersama mengharungi kehidupan bersama selama lebih 54 tahun (mereka berkahwin pada 5 Ogos 1956), khabarnya telah pun dibenarkan keluar dari pengawasan doktor. Pasangan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah memang menjadi idola saya sebagai ‘perfect couple’, mana tidaknya pasangan doktor ini memang mengkagumkan saya sebagai suami isteri, ibu dan bapa.

Kisah Tuan Lee, Haji Isa dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebenarnya semacam ada persamaan, Tuan Lee dan isterinya adalah penuntut perundangan, Haji Isa dan Allahyarham Mariani adalah dari latarbelakang yang sama, manakala Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah adalah dari jurusan perubatan.

Dengan begitu banyak permasalahan rumah tangga dan realiti institusi kekeluargaan yang semakin rapuh, kisah Tuan Lee, Haji Isa dan Tun Dr. Mahathir melayari kehidupan dan meletakkan martabat sang isteri di tahap yang paling tinggi, bagaimana kasih sayang dialunkan dengan begitu syahdu, sebenarnya amat wajar dicontohi.

Jadi apabila ada kalangan rakyat Malaysia yang kononnya pemimpin mencemuh Tun Dr. Mahathir sebagai ‘pemimpin yang tersungkur’ maka saya tidak mampu untuk tidak melabelkan mereka sebagai biadap dan tidak beradab!

Kepada Tuan Lee dan Haji Isa, saya percaya kehilangan orang tersayang mereka seperti hilang separuh nyawa apabila kehilangan ‘other half’ yang telah begitu lama bersama mengharungi kehidupan ini. Kepada mendiang Madam Kwa Geok Choo dan Allahyarham Mariani Selamat, moga roh mereka akan sentiasa dirahmati Allah SWT.

(Nota Kaki: Moga Tun Dr. Mahathir akan kembali sihat seperti sediakala)

Ulasan

anep berkata…
mmg biadap pemimpin seperti Azmin ...
siti berkata…
kisah lelaki budiman...
SIS berkata…
betapa bsar pgorbanan si isteri...ada juga yg teringin menduakan mereka dgn alasan..suami punya hak...si isteri dmadukan walau hatinya bagai dhiris2 bila memberi keizinan...
aisha Bv berkata…
memang biadap orang yg mengutuk pemimpin yg terbilang seperi Dr.Mahathir...sukar utk mencari pemimpin spt beliau ketika ni...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?