AKHBAR ‘BARUA’ PRESIDEN!
Itulah tanggapan saya apabila
membaca muka depan akhbar The Star semalam. Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan
atau pertalian dengan pemilik apatah lagi menjadi ahli MCA yang merupakan pemilik
akhbar tersebut.
Namun, sebagai seorang pelanggan
dan pembaca tegar akhbar tersebut sejak dua dekad yang lalu, saya merasa
tersinggung dan terhina kerana editor akhbar tersebut membiarkan akhbar mereka
menjadi ruang pertikaian para pemimpin mereka.
Muka depan akhbar semalam memetik
ungkapan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek merujuk timbalannya, Datuk Seri
Liow Tiong Lai sebagai weak, indecisive dan not a fighter. Jika diterjemah secara harfiah, sebenarnya akhbar
The Star seperti menghina ahlinya apabila
mempertikaikan Timbalan Presiden yang dipilih secara demokratik oleh
ahli-ahlinya.
Walau apapun alasan yang
diberikan, perlakuan akhbar tersebut menggunakan muka depannya untuk
merendahkan kredibiliti seorang pemimpin kanan parti adalah keterlaluan dan
boleh dianggap sebagai ‘salah guna’ kuasa oleh mereka yang mengarahkan akhbar
tersebut menggunakan ruang muka depan mereka bagi tujuan seperti itu.
Jika ditakdirkan Tuhan, berlaku
pemilihan dan Timbalan yang dicemuh sekarang berjaya menjadi presiden, akan
berlakukah perubahan dalam kumpulan editorialnya atau proses ‘witch hunt’.
Sebagai sebuah organ parti, akhbar
The Star bukan sahaja dibaca oleh
ahli parti tetapi juga oleh rakyat Malaysia seperti anda dan saya. Dengan laungan ‘the people’s paper’, imej akhbar ini tercalar dan dalam bahasa
kasarnya boleh dianggap menjadi ‘barua’ presiden parti dalam percaturan
politiknya.
Walaupun mungkin ditekan dan
diasak untuk memuatkan muka depan yang memualkan seperti apa yang disiarkan
semalam, namun sebagai akhbar yang dihormati sepatutnya tahu memisahkan garisan
pemilik dan etika kewartawan mereka.
Mungkin selepas ini, editor
akhbar milik MCA ini patut membuat video seperti pasangan Alvin dan Vivian yang
menghasilkan video ‘Regret’ yang
diakhiri dengan adegan kelar tangan!
Ulasan