TANDA PUTERA


Filem Tanda Putera, tidak diketahui isinya kecuali beberapa versi sinopsis di sana dan sini.  Walaupun filem tersebut khabarnya telah ditayangkan kepada beberapa pihak, namun tayangan umumnya telah beberapa kali tertangguh atau ‘tidak sesuai masa’.

Seperti juga tarikh Pilihanraya Umum yang masih menjadi rahsia, begitu juga tarikh tayangan umum filem Tanda Putera, yang masih menjadi teka teki.  Malah dikhabarkan juga bahawa menteri yang bertanggungjawab terhadap industri perfileman di negara ini meminta semua pihak akur dengan penangguhan filem tersebut.  Gila apa filem yang ini, sehingga melibatkan menteri mengeluarkan kenyataan pula.

Apa yang nyata filem ini dibiayai oleh Kerajaan melalui agensinya, FINAS dan MdEC.  Ini bukan kali pertama FINAS membiayai filem, namun bahang Tanda Putera sama sekali mencuri tumpuan pelbagai pihak.  

Daripada isi ceritanya  sehinggalah mengaitkan dengan peristiwa 13 Mei 1969 dan tuduhan filem ini merupakan propaganda Kerajaan menjelang Pilihanraya Umum ke-13, semuanya seolah-olah mengiyakan apatah lagi dengan penangguhan tayangan umumnya beberapa kali.

Walauapapun tanggapan awal terhadap filem ini, pengarahnya Shuhaimi Baba bukanlah sebarangan memilih untuk menekuni Tanda Putera.  Shuhaimi Baba pernah menghasilkan filem-filem menarik sejak tahun 1984 melalui telemovie pertamanya, Maria.

Selain itu, pernah beberapa kali dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, kali pertama pada tahun 1997 melalui filem ‘Layar Lara’ dalam Festival Filem Malaysia ke-13, juga sebagai Pengarah Terbaik bagi Filem Asing di  Brussels International Independent Film Festival di Belgium.

Penggunaan filem sebagai medium propaganda bukanlah sesuatu yang baru, kawalan pihak Nazi terhadap industri filem di Jerman adalah contoh terbaik penggunaan media filem sebagai agen propaganda. 

Ianya bermula dengan penubuhan Reich Ministry for People's Enlightenment and Propaganda yang diketuai oleh Joseph Goebbels pada tahun 1933.  Dengan kuasa yang penuh, pihak Nazi berkuasa menentukan bukan sahaja filem yang akan diterbitkan, malah menilai skrip, menentukan pelakon, pengarah dan penulis lakon layar di samping mengawal kandungan serta imejan filemnya.

Sebagai sebuah agensi Kerajaan, FINAS mahupun MdEC tentulah tidak mahu dilihat seperti pihak Nazi yang menggunakan filem sebagai medium propaganda, namun jika ianya benar seperti tanggapan beberapa pihak khususnya pembangkang tentulah amat malang sebuah karya kreatif dan pengarah kreatif seperti Shuhaimi Baba diper’kuda’kan untuk kepentingan pemerintah.

Tanda Putera dibiayai sepenuhnya dengan perbelanjaan sebanyak RM4.8 juta, mengundang polemik yang bukan sedikit, pembangkang dalam wadah yang lain bimbang filem ini akan membakar sentimen perkauman dan sekaligus tidak mencapai motif penghasilannya.

Walaupun, pengarahnya bertegas bahawa filem ini terhasil dengan kajian dan penyelidikan yang sangat teliti serta disokong oleh fakta.  Tanpa prasangka, ada baiknya kita menunggu tayangan umum filem Tanda Putera sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Shuhaimi Baba sebagai pengarah yang sangat teliti dan disegani tentulah tidak mahu kredibilitinya sebagai pengarah tersohor tercalar dengan dakwaan diperalatkan bagi menghasilkan Tanda Putera sebagai sebuah karya propaganda.   

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
dibiayai kerjaaan klau bukan propa apa namanya..
ros berkata…
buah tangan datuk paduka shuhaimi baba jarang mengecewakan..moga tanda putera tidak hnaya jadi propaganda murahan..
SIS berkata…
tak sabar nak tunggu 'tanda putera' keluar..sama spt bila la PRU 13...
anep berkata…
terlalu awal utk kata tanda putera filem propa bn, namun jika benar amatlah malang..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?