PERSIDANGAN TUAN TANAH
Hari ini persidangan tahunan tuan
tanah akan bermula sehingga 1 Disember yang akan datang. Khabarnya ini adalah persidangan tuan tanah
yang paling mencabar sebelum pilihanraya umum di adakan tidak lama lagi. Khabarnya juga seramai 5,447 perwakilan
daripada kalangan tuan tanah akan menghadiri persidangan tahunan yang
berprestij ini.
Tidak seperti tahun-tahun
sebelumnya, persidangan tuan tanah pada kali ini adalah penentu hidup mati
kelompok tuan tanah yang telah menguasai negara sejak lebih lima dekad. Banyak sebenarnya kemelut dalam kalangan tuan
tanah, sehingga pada satu ketika Presiden Tuan Tanah yang kelima terpaksa
mengundurkan diri kerana tekanan dan ‘kehendak ahli’.
Sejak itu, pergolakan dalam
kelompok tuan tanah seperti tidak reda ditambah pula iklim politik negara yang
sangat tidak kondusif. Namun begitu,
keadaan iklim politik negara sebenarnya memberikan banyak kelebihan dan
keuntungan jangka pendek kepada rakyat hasil ‘ihsan’ tuan tanah.
Bayangkanlah selama lebih lima
dekad kelompok tuan tanah menjadi peneraju negara, rakyat dikejutkan dengan pelbagai imbuhan ‘BR1M’,
‘BB1M’ malah akan ada pula ‘BR1M 2.0’, memang mengejutkan dengan kemurahan hati
tuan tanah akhir-akhir ini, malah ada pula suara-suara nakal yang melabelkannya
sebagai ‘buang tebiat’.
Seperti tahun-tahun sebelumnya,
persidangan tuan tanah pada kali ini juga akan dihiasi dengan pelbagai
statistik mengenai berapa ekor ayam ataupun daging yang dibeli untuk dihidangkan
kepada para tuan tanah yang bersidang dengan begitu serius. Malah persidangan tuan tanah pada kali ini dianggap
sebagai persediaan terpenting bagi memantapkan jentera perjalanan kelompok tuan
tanah.
Persidangan tuan tanah pada kali
ini juga akan melihat sebanyak 476 usul dibahaskan daripada 521 usul yang
diterima kerana sebanyak 45 daripada usul ini telah diterima tanpa dibahaskan. Usul-usul ini pula akan dibahagikan kepada
beberapa kategori utama – ekonomi,
agama, sosial dan pendidikan.
Malah kelompok tuan tanah juga
telah menetapkan garis panduan perjalanan persidangan yang lebih ketat pada
tahun ini dengan ingatan boleh sahaja membahaskan apa sahaja isu tetapi tidak
menyentuh isu-isu sensitif.
Tidak seperti kelompok tuan tanah
bersekutu separa penyewa yang mengadakan persidangan mereka pada minggu lepas
dengan nama yang lebih Islamik dan menggelar persidangan mereka sebagai
muktamar, kelompok tuan tanah bersekutu separa penyewa ini yang menggelar diri
mereka kelompok LULUS telah mendoakan kejatuhan kelompok tuan tanah, malah
khabarnya kelompok tuan tanah ini amat marah, tersinggung dan kecewa dengan doa
mereka.
Namun mereka tidak akan bertindak
balas untuk mendoakan perkara yang sama kepada kelompok tuan tanah bersekutu
separa penyewa itu. Memang patut pun
mereka memilih untuk tidak bertindak balas seperti itu, bukankah itu sifat
mulia dan terpuji yang dianjurkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Pun begitu, kelompok tuan tanah
ini tidak pula marah, tersinggung, kecewa atau melenting apabila kelompok
penyewa BABA mereka yang bersidang dua
bulan yang lalu dengan tema ‘Beperang Dengan Penuh Keberanian’ telah menyerang
hukum hudud dengan begitu lantang sambil diperhatikan dengan senyuman oleh
Presiden kelompok tuan tanah ini.
Mungkin mereka bersetuju dengan
kenyataan Presiden kelompok penyewa BABA yang mendakwa “lapan daripada sebelas negara yang
melaksanakan hukum Islam itu dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak
stabil dan tidak selamat”.
Persidangan kelompok tuan tanah
juga bakal menjadi medan untuk mereka memperagakan fesyen-fesyen terkini
pakaian mereka, daripada corak, warna dan sulaman labuci oleh kelompok puan
tanah mereka memang sangat dinantikan untuk dilihat bagaimana kelompok tuan
tanah ini mempraktikkan ‘tradisi membela
rakyat’ yang telah dilaungkan sekian lama.
Pada persidangan tuan tanah,
tentulah kita tidak mendengar ahli-ahli mereka yang hadir menaiki skuter
ratusan kilometer, kerana itu bukanlah ukuran mereka. Tidak seperti kelompok tuan tanah bersekutu
separa penyewa yang dikhabarkan ahlinya menaiki skuter untuk menghadiri muktamar tahunan mereka, merentasi gunung ganang malah
merentas dari barat ke timur.
Malah akan tidak ada ahli-ahli
daripada kalangan tuan tanah yang akan tinggal di masjid atau surau atau
menumpang rumah sanak saudara, kerana persidangan tuan tanah telah menyediakan
ratusan bilik-bilik hotel untuk dihuni oleh ahli mereka sepanjang mereka
mengadakan persidangan tahunan.
Apa yang menarik saban kali
persidangan tahunan tuan tanah adalah pesta jualan yang mampu meningkatkan
pendapatan rakyat kerana sepanjang mereka bersidang, tuan tanah menyediakan ratusan
gerai jualan untuk dinikmati oleh rakyat, mungkin ini juga sebahagian daripada
perjuangan kelompok tuan tanah yang tidak mahu kalah dengan konsep negara
berkebajikan seperti yang diungkapkan oleh kelompok tuan tanah bersekutu separa
penyewa LULUS.
Walauapapun, sebenarnya
perjuangan kelompok tuan tanah adalah survival kepada tuan tanah di negara ini,
pedulilah apa pun jika ada kelompok penyewa BABA atau kelompok penyewa
MUTHU yang tersinggung apabila keris
dihunus, kerana bukankah mereka terus mendabik dada dengan mengatakan ‘nasib
bangsa terletak di tangan mereka’.
Ini
bukan masanya untuk menjaga hati dan
perasaan kelompok penyewa yang terus seperti tidak sensitif dan tidak menghormati tuan tanah.
Selamat bersidang, tuan tanah!
(Nota Kaki: Entri ini tidak bermaksud mempersenda mana-mana pihak, namun begitu jika rasa tersinggung jangan salahkan orang lain, salahkan diri sendiri, seperti yang diungkap dalam bahawa 'jawa' - doesn't mean to hurt you, but if you felt hurt don't blame others, blame your ownself)
Ulasan