PERSIDANGAN TUAN TANAH


Hari ini persidangan tahunan tuan tanah akan bermula sehingga 1 Disember yang akan datang.  Khabarnya ini adalah persidangan tuan tanah yang paling mencabar sebelum pilihanraya umum di adakan tidak lama lagi.  Khabarnya juga seramai 5,447 perwakilan daripada kalangan tuan tanah akan menghadiri persidangan tahunan yang berprestij ini.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, persidangan tuan tanah pada kali ini adalah penentu hidup mati kelompok tuan tanah yang telah menguasai negara sejak lebih lima dekad.  Banyak sebenarnya kemelut dalam kalangan tuan tanah, sehingga pada satu ketika Presiden Tuan Tanah yang kelima terpaksa mengundurkan diri kerana tekanan dan ‘kehendak ahli’.

Sejak itu, pergolakan dalam kelompok tuan tanah seperti tidak reda ditambah pula iklim politik negara yang sangat tidak kondusif.  Namun begitu, keadaan iklim politik negara sebenarnya memberikan banyak kelebihan dan keuntungan jangka pendek kepada rakyat hasil ‘ihsan’ tuan tanah.

Bayangkanlah selama lebih lima dekad kelompok tuan tanah menjadi peneraju negara, rakyat  dikejutkan dengan pelbagai imbuhan ‘BR1M’, ‘BB1M’ malah akan ada pula ‘BR1M 2.0’, memang mengejutkan dengan kemurahan hati tuan tanah akhir-akhir ini, malah ada pula suara-suara nakal yang melabelkannya sebagai ‘buang tebiat’.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, persidangan tuan tanah pada kali ini juga akan dihiasi dengan pelbagai statistik mengenai berapa ekor ayam ataupun daging yang dibeli untuk dihidangkan kepada para tuan tanah yang bersidang dengan begitu serius.  Malah persidangan tuan tanah pada kali ini dianggap sebagai persediaan terpenting bagi memantapkan jentera perjalanan kelompok tuan tanah.

Persidangan tuan tanah pada kali ini juga akan melihat sebanyak 476 usul dibahaskan daripada 521 usul yang diterima kerana sebanyak 45 daripada usul ini telah diterima tanpa dibahaskan.  Usul-usul ini pula akan dibahagikan kepada beberapa  kategori utama – ekonomi, agama, sosial dan pendidikan.

Malah kelompok tuan tanah juga telah menetapkan garis panduan perjalanan persidangan yang lebih ketat pada tahun ini dengan ingatan boleh sahaja membahaskan apa sahaja isu tetapi tidak menyentuh isu-isu sensitif.

Tidak seperti kelompok tuan tanah bersekutu separa penyewa yang mengadakan persidangan mereka pada minggu lepas dengan nama yang lebih Islamik dan menggelar persidangan mereka sebagai muktamar, kelompok tuan tanah bersekutu separa penyewa ini yang menggelar diri mereka kelompok LULUS telah mendoakan kejatuhan kelompok tuan tanah, malah khabarnya kelompok tuan tanah ini amat marah, tersinggung dan kecewa dengan doa mereka.

Namun mereka tidak akan bertindak balas untuk mendoakan perkara yang sama kepada kelompok tuan tanah bersekutu separa penyewa itu.  Memang patut pun mereka memilih untuk tidak bertindak balas seperti itu, bukankah itu sifat mulia dan terpuji yang dianjurkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Pun begitu, kelompok tuan tanah ini tidak pula marah, tersinggung, kecewa atau melenting apabila kelompok penyewa BABA  mereka yang bersidang dua bulan yang lalu dengan tema ‘Beperang Dengan Penuh Keberanian’ telah menyerang hukum hudud dengan begitu lantang sambil diperhatikan dengan senyuman oleh Presiden kelompok tuan tanah ini. 

Mungkin mereka bersetuju dengan kenyataan Presiden kelompok penyewa BABA yang mendakwa  “lapan daripada sebelas negara yang melaksanakan hukum Islam itu dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat”.

Persidangan kelompok tuan tanah juga bakal menjadi medan untuk mereka memperagakan fesyen-fesyen terkini pakaian mereka, daripada corak, warna dan sulaman labuci oleh kelompok puan tanah mereka memang sangat dinantikan untuk dilihat bagaimana kelompok tuan tanah ini  mempraktikkan ‘tradisi membela rakyat’ yang telah dilaungkan sekian lama.

Pada persidangan tuan tanah, tentulah kita tidak mendengar ahli-ahli mereka yang hadir menaiki skuter ratusan kilometer, kerana itu bukanlah ukuran mereka.  Tidak seperti kelompok tuan tanah bersekutu separa penyewa yang dikhabarkan ahlinya menaiki skuter untuk menghadiri muktamar  tahunan mereka, merentasi gunung ganang malah merentas dari barat ke timur.

Malah akan tidak ada ahli-ahli daripada kalangan tuan tanah yang akan tinggal di masjid atau surau atau menumpang rumah sanak saudara, kerana persidangan tuan tanah telah menyediakan ratusan bilik-bilik hotel untuk dihuni oleh ahli mereka sepanjang mereka mengadakan persidangan tahunan.

Apa yang menarik saban kali persidangan tahunan tuan tanah adalah pesta jualan yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat kerana sepanjang mereka bersidang, tuan tanah menyediakan ratusan gerai jualan untuk dinikmati oleh rakyat, mungkin ini juga sebahagian daripada perjuangan kelompok tuan tanah yang tidak mahu kalah dengan konsep negara berkebajikan seperti yang diungkapkan oleh kelompok tuan tanah bersekutu separa penyewa LULUS.

Walauapapun, sebenarnya perjuangan kelompok tuan tanah adalah survival kepada tuan tanah di negara ini, pedulilah apa pun jika ada kelompok penyewa BABA atau kelompok penyewa MUTHU  yang tersinggung apabila keris dihunus, kerana bukankah mereka terus mendabik dada dengan mengatakan ‘nasib bangsa terletak di tangan mereka’.  

Ini bukan masanya  untuk menjaga hati dan perasaan kelompok penyewa yang terus seperti tidak sensitif  dan tidak menghormati tuan tanah.

Selamat bersidang, tuan tanah!

(Nota Kaki: Entri ini tidak bermaksud mempersenda mana-mana pihak, namun begitu jika rasa tersinggung jangan salahkan orang lain, salahkan diri sendiri, seperti yang diungkap dalam bahawa 'jawa' - doesn't mean to hurt you, but if you felt hurt don't blame others, blame your ownself)

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
saya suka ini..
haji manap berkata…
penyewa tak sedar diri atau pun tuan tanah merelakan diri untuk dibuli si BABA!
anep berkata…
kena cari tuan tanah baru ni..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?