TANDA PUTERA
Filem Tanda Putera, tidak
diketahui isinya kecuali beberapa versi sinopsis di sana dan sini. Walaupun filem tersebut khabarnya telah
ditayangkan kepada beberapa pihak, namun tayangan umumnya telah beberapa kali
tertangguh atau ‘tidak sesuai masa’.
Seperti juga tarikh Pilihanraya
Umum yang masih menjadi rahsia, begitu juga tarikh tayangan umum filem Tanda
Putera, yang masih menjadi teka teki.
Malah dikhabarkan juga bahawa menteri yang bertanggungjawab terhadap
industri perfileman di negara ini meminta semua pihak akur dengan penangguhan
filem tersebut. Gila apa filem yang ini,
sehingga melibatkan menteri mengeluarkan kenyataan pula.
Apa yang nyata filem ini dibiayai
oleh Kerajaan melalui agensinya, FINAS dan MdEC. Ini bukan kali pertama FINAS membiayai filem,
namun bahang Tanda Putera sama sekali mencuri tumpuan pelbagai pihak.
Daripada isi ceritanya sehinggalah mengaitkan dengan peristiwa 13
Mei 1969 dan tuduhan filem ini merupakan propaganda Kerajaan menjelang
Pilihanraya Umum ke-13, semuanya seolah-olah mengiyakan apatah lagi dengan
penangguhan tayangan umumnya beberapa kali.
Walauapapun tanggapan awal
terhadap filem ini, pengarahnya Shuhaimi Baba bukanlah sebarangan memilih untuk
menekuni Tanda Putera. Shuhaimi Baba
pernah menghasilkan filem-filem menarik sejak tahun 1984 melalui telemovie pertamanya,
Maria.
Selain itu, pernah beberapa kali
dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, kali pertama pada tahun 1997 melalui filem ‘Layar Lara’
dalam Festival Filem Malaysia ke-13, juga sebagai Pengarah Terbaik bagi Filem Asing di Brussels
International Independent Film Festival di Belgium.
Penggunaan filem sebagai medium
propaganda bukanlah sesuatu yang baru, kawalan pihak Nazi terhadap industri
filem di Jerman adalah contoh terbaik penggunaan media filem sebagai agen
propaganda.
Ianya bermula dengan penubuhan Reich Ministry for People's
Enlightenment and Propaganda yang diketuai oleh
Joseph Goebbels pada tahun 1933. Dengan
kuasa yang penuh, pihak Nazi berkuasa menentukan bukan sahaja filem yang akan
diterbitkan, malah menilai skrip, menentukan pelakon, pengarah dan penulis
lakon layar di samping mengawal kandungan serta imejan filemnya.
Sebagai sebuah agensi
Kerajaan, FINAS mahupun MdEC tentulah tidak mahu dilihat seperti pihak Nazi
yang menggunakan filem sebagai medium propaganda, namun jika ianya benar
seperti tanggapan beberapa pihak khususnya pembangkang tentulah amat malang
sebuah karya kreatif dan pengarah kreatif seperti Shuhaimi Baba diper’kuda’kan
untuk kepentingan pemerintah.
Tanda Putera dibiayai
sepenuhnya dengan perbelanjaan sebanyak RM4.8 juta, mengundang polemik yang
bukan sedikit, pembangkang dalam wadah yang lain bimbang filem ini akan
membakar sentimen perkauman dan sekaligus tidak mencapai motif penghasilannya.
Walaupun, pengarahnya
bertegas bahawa filem ini terhasil dengan kajian dan penyelidikan yang sangat
teliti serta disokong oleh fakta. Tanpa
prasangka, ada baiknya kita menunggu tayangan umum filem Tanda Putera sebelum
membuat sebarang kesimpulan.
Shuhaimi Baba sebagai
pengarah yang sangat teliti dan disegani tentulah tidak mahu kredibilitinya
sebagai pengarah tersohor tercalar dengan dakwaan diperalatkan bagi
menghasilkan Tanda Putera sebagai sebuah karya propaganda.
Ulasan