NOSTALGIA 33


Benarlah kata pepatah – Rezeki, Jodoh, Pertemuan, Ajal dan Maut semuanya urusan Allah SWT.  Tiada siapa boleh menduga bagaimana kehidupan seseorang, perjalanan hidupnya serta bagaimana hidupnya berakhir.  Itu kerja Tuhan.

Namun, apa yang boleh kita lakukan sebagai seorang yang diberikan akal dan kudrat, adalah merancang dan melaksanakan perancangan sebaik mungkin, walaupun memang diketahui Allah SWT sebaik perancang.

Saya sengaja memilih untuk bernostalgia, ini adalah kerana  beberapa minggu sebelumnya saya menerima satu pesanan ringkas di telefon bimbit saya bertanyakan sama ada saya mengenali sipengirimnya atau tidak. 

Tentulah saya menjawab tidak kenal, kerana selain nombor tersebut tiada dalam simpanan saya, nada pengucapannya juga agak berbeza, seolah-olah seseorang yang pernah mengenali saya. 

Apabila sipengirim mengenalkan diri, saya memohon maaf akan menghubunginya seusai majlis  yang sedang saya hadiri.  Itu adalah kisah pada awal Oktober.

Rupanya sipengirim pesanan ringkas tadi adalah rakan sekolah saya ketika saya menuntut dalam Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 di SMJK (I) Tanjung Karang (kini telah diubah namanya kepada SMK Seri Desa), tentulah saya mengambil sedikit masa untuk memutar kembali kenangan kami.  

Mungkin rezeki kami, disebabkan urusan berhampiran tempat tinggal teman saya tadi, saya dapat menemuinya keesokkan harinya.

Maka kami bernostalgia di samping bertanya khabar dengan ikrar akan hadir pada satu majlis yang akan dilangsungkan di rumah teman saya sempena Hari Raya Aidil Adha yang bakal menjelang. 

Pada Ahad penghujung Oktober yang lepas, dengan kesibukan menghantar dua orang anak saya pulang ke asrama, seorang berlepas dengan bas di Seremban dan yang sulong pula di Kuala Lumpur, ditambah pula ‘konsert tahunan’ anak bongsu saya di sebuah pusat membeli belah terkenal di pekan Kajang, saya sempat menghadiri majlis ‘reunion’ teman-teman persekolahan yang dijadualkan dari jam 2.00 hingga 4.00 petang.

Ini antara yang memukau saya ketika menghadiri 'reunion'. Gambar ihsan: sususegarr.blogspot.com
Perjalanan dari pinggir Kuala Lumpur ke Parit 4, Sungai Burong tidak mengambil masa yang panjang, selepas menurunkan anak saya di Cheras pada jam 1.30 petang, menyusur lebuhraya LATAR, mungkin diasak kerinduan kepada teman-teman persekolahan, saya tiba di majlis kami pada jam 3.00 petang.

Teman-teman persekolahan saya adalah yang bersekolah di SMJK (I) Tanjung Karang dan teman-teman rakan saya dari sekolah SMJK Yoke Kuan, Sekinchan.  Ironinya saya juga menemui rakan-rakan sekolah rendah saya yang menuntut di SJK (I) Tanjung Karang (kini telah diubah namanya kepada SK Seri Desa).

Bayangkan, selepas lebih tiga dekad tidak pernah berhubungan, saya tiba-tiba terlontar dalam kolam kenangan penuh nostalgia. Teman-teman saya daripada sekolah rendah sehingga kami di Tingkatan Tiga bertemu semula, walaupun tidak semua dapat meluangkan masa menghadirkan diri, namun sebilangan kecil yang hadir sudah cukup mengimbau kenangan zaman persekolahan.

Rupanya tidak semua dari kita diberikan kesempatan bernostalgia seperti saya dan teman-teman yang hadir pada hari Ahad yang permai, saya dikhabarkan beberapa nama teman persekolahan yang telah lebih dahulu dijemput Ilahi, ‘disimpan’ ungkapan mesra teman saya.  Apabila diasak, punca mereka ‘disimpan’, dikhabarkan pula ‘penyakit moden’ – rangkuman tiga serangkai kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

Majlis ‘reunion’ kami walaupun kelihatannya ringkas dan santai namun pengisian dan perkongsian serta perkhabaran di antara teman-teman yang datang dari jauh dan dekat dengan satu matlamat untuk menguliti kenangan dan bernostalgia semahunya memang cukup mengujakan.

Walaupun pada awalnya majlis yang dirancang sehingga jam 4.00 petang, namun tiada siapa pun semacam mahu berganjak, sibuk berkisah, hanya menjadi sunyi apabila teman saya yang menjadi tuan rumah memulakan ucapan tidak rasminya, selepas berbasa-basi, teman-teman yang hadir dijemput untuk bercakap sepatah dua sebelum sesi bergambar ramai.

Sebenarnya bukan mudah mahu mengumpulkan teman-teman apatah lagi selepas tiga dekad, namun usaha gigih beberapa teman penggerak memungkinkan kami untuk bernostalgia, benarlah kata bijak pandai, tiada yang baru tanpa yang lama. 

Kepada, Esa Ramli yang bertindak sebagai hos untuk perjumpaan pada kali ini, tentunya telah bersungguh-sungguh untuk merealisasikan pertemuan, semoga Allah SWT akan membalas budi baik kesemua teman yang bersungguh-sungguh menghubungi teman-teman di mana sahaja.

(Nota Kaki: Entri ini merakamkan jutaan terima kasih di atas usaha teman-teman yang berusaha menjejaki mereka yang hadir pada majlis pertemuan tempohari.)

Ulasan

SIS berkata…
mmg nostalgic...
Tanpa Nama berkata…
tidak ramai yg mampu merakam dan bernostalgia..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?