ANTARA DUA DARJAT ...


Ketika kecil saya dan rakan-rakan selalu mempersendakan istilah tuan tanah kedawung, saya tidak begitu pasti bagaimana dunia keceriaan kanak-kanak kami mengutip istilah tersebut. Setelah melewati usia remaja barulah saya mendapat tahu bahawa istilah tuan tanah kedawung sebenarnya merujuk kepada filem dan buku Indonesia dengan judul yang sama.

Seperti lazimnya jika ada tuan tanah mestilah juga mempunyai sipenyewanya pula. Sama ada tuan tanah atau sipenyewa tentulah dipisahkan oleh jurang yang bukan sedikit, sama ada daripada segi status dalam sosio-budaya sesuatu bangsa atau negara. Tuan tanah tentulah dilihat sebagai satu pihak yang begitu berautoriti, kaya dan berkuasa manakala si penyewa tentulah pula dilihat sebagai pihak yang menuntut belas ihsan, miskin dan dilengkapi kuasa yang minima sesuai dengan taraf sebagai penyewa sahaja.

Maka apabila si tuan tanah membuat mesyuarat sama ada mesyuarat tuan-tuan tanah di peringkat yang kecil sama ada di cawangan, bahagian, negeri ataupun bersifat nasional, maka majlis mesyuarat ini tentulah gah dan begitu berprestij sehingga dilaporkan bahawa mesyuarat tuan-tuan tanah di peringkat nasional begitu berprestij berikutan dengan penggantian syarikat yang mengendalikan mesyuarat tuan-tuan tanah di peringkat nasional, malah dikatakan juga bahawa mesyuarat tuan-tuan tanah buat julung-julung kalinya akan mendapat layanan yang begitu istimewa sehingga ketua-ketua tuan-tuan tanah yang diberikan gelaran Presiden, Timbalan Presiden, malah Ahli-ahli Mesyuarat Tertinggi akan disediakan dengan pelayan-pelayan khas yang telah dilatih khusus bagi mesyuarat tuan-tuan tanah peringkat nasional ini. Pelayan-pelayan ini khabarnya telah dimaklumkan semua aspek yang digemari dan tidak digemari oleh mereka. Khabarnya syarikat yang mengendalikan mesyuarat tuan-tuan tanah peringkat nasional ini telah bersedia enam bulan yang lepas bagi memastikan bahawa mesyuarat tuan-tuan tanah peringkat nasional ini akan menjadi begitu bermakna.

Jamuan makan saban hari ketika mesyuarat tuan-tuan tanah ini lazimnya adalah jamuan makan bertaraf hotel lima bintang, tiada ahli-ahli mesyuarat tuan tanah ini yang terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan makanan tidaklah seperti si penyewa yang terpaksa beratur panjang setiap kali menghadiri upacara rumah terbuka tuan-tuan tanah ini.

Sesuai dengan status dan kedudukan dalam masyarakat dewasa ini, sipenyewa pula sebagai penyewa yang tertakluk kepada akta dan aspek perundangan terpaksa juga mengadakan mesyuarat penyewa-penyewa sama ada di peringkat cawangan, bahagian hatta di peringkat nasional sekalipun. Tidak seperti senario ketika mesyuarat tuan-tuan tanah, mesyuarat penyewa adalah bersifat minimal tetapi penuh dengan semangat untuk terus memperjuangkan nasib dan masa depan penyewa-penyewa keseluruhannya. Mesyuarat penyewa-penyewa, malah di peringkat nasional sekalipun hanya membekalkan nasi bungkus dalam bekas polistren kepada semua ahli mesyuarat sama ada yang bergelaran Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli-ahli Mesyuarat Tertinggi mereka, malah dalam mesyuarat penyewa-penyewa ini tiada siapa pun dilayan secara berlebihan sehinggakan Presiden dalam mesyuarat penyewa-penyewa ini pun terpaksa beratur untuk mendapatkan makanan dan ada ketikanya makan bersama dengan ahli-ahli dari seluruh negara di tangga bangunan mesyuarat penyewa-penyewa ini berlangsung!

Bukan sahaja daripada aspek layanan yang bagai langit dan bumi dalam dua mesyuarat si tuan tanah dan penyewa ini tetapi juga dalam aspek berpakaian, mesyuarat tuan tanah lazimnya akan menjadi medan memperagakan pakaian tuan-tuan tanah yang menjadi wakil dalam mesyuarat peringkat nasional ini, malah perayaan mesyuarat ini akan berlangsung selama tujuh hari tujuh malam dengan pelbagai aktiviti yang diatur oleh jawatankuasa pengendalinya, misalnya jualan dan pelbagai barangan daripada pakaian dalam satin sehinggalah kepada terubuk masin yang didatangkan dengan menaiki pesawat, di sisi yang lain pula mesyuarat penyewa-penyewa yang bersifat nasional pula mempunyai keseragaman apabila kesemua ahli-ahli mesyuarat ini berpakaian sedondon – kemeja yang seragam bagi semua ahlinya. Tiada perayaan yang berlarutan lebih dari dua hari kerana mesyuarat penyewa-penyewa begitu terhad dan hanya memperkatakan hal-hal yang penting dan bersifat penting demi kebajikan ahli-ahlinya – penyewa.

Maka apabila si penyewa mempersoalkan hak dan keistimewaan si tuan tanah tentulah tidak adil kerana definisi mereka berdua sahaja sudah menggambarkan perbezaan ketara dalam semua aspek. Jika selepas ini ada golongan penyewa yang terus-terusan mempersoalkan hak dan keistimewaan tuan tanah, saya sebagai rakyat biasa yang bukan penyewa mahupun tuan tanah, yang paling dapat saya lakukan ialah meminjamkan Kamus Dewan (edisi ke-4) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka!

Ulasan

asan berkata…
satira yng menarik..
anep berkata…
waduh waduh....bisanya
SIS berkata…
hahaha...siapa makan cili dia yg rasa pedasnya... syabas tn ks..
siti berkata…
entri yg mencabar minda...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?