SELEPAS BACA PUISI PENA, MARI KITA BACA PUISI @ MADRASAH SENI!
Setiap
Jumaat pertama saban bulan acara yang pasti ditunggu adalah Malam Baca Puisi
PENA. Semacam telah menjadi jenama
Persatuan Penulis Nasional (PENA), malam Baca Puisi PENA telah menjadi acara
yang popular malah begitu konsisten daripada segi penganjurannya.
Dimulakan
sejak Jun 1998, kini telah memasuki tahun ke-17 penganjurannya. Jarang sekali berubah kecuali sesekali diubah
kepada minggu yang lain, Malam Baca Puisi PENA tetap berlangsung biarpun
kadang-kadang cuaca yang mesra bertukar sebaliknya.
Walaupun
pernah dilabel ‘miskin khalayak’ Malam Baca Puisi PENA tidak pernah gusar,
malah seperti yang diungkapkan oleh Dr. Saleeh Rahamad, malam baca puisi PENA
adalah pentas terbuka untuk semua penulis dan karyawan persuratan tanah
air. Tiada siapa yang dihalang daripada
membaca puisi asal sahaja mahu.
Malah
Malam Baca Puisi PENA juga telah beberapa kali berubah format penganjuran dan
penganjurnya. Misalnya bermula Ogos
2005, PENA memulakan Baca Puisi PENA-Dewan Sastera: Pengakuan Penyair, dengan
menjemput tiga penyair bukan sahaja untuk membacakan puisi malah memperkatakan
proses kreatif mereka.
Namun
format pada masa ini dikekalkan sejak April 2007 dengan penampilan santai dan
bebas kepada mana-mana institusi atau individu untuk membacakan puisi atau
membuat persembahan.
Sejak
beberapa tahun ini, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menjadi rakan
penganjur kepada Malam Baca Puisi PENA-ITBM, malah memberi nafas baru kepada
Malam Baca Puisi PENA.
Beberapa
bulan yang lalu, idea membaca puisi ala Malam Baca Puisi PENA telah dilontarkan
untuk diadakan pula di Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam yang juga dikenali
sebagai Madrasah Seni kerana pelbagai aktiviti seni yang dilangsungkan di perkarangan
madrasahnya.
Selepas
beberapa siri perbincangan, akhirnya Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) yang menjadi
penggerak utamanya telah memutuskan untuk melaksanakan Malam Baca Puisi
Madrasah Seni pada setiap hari Jumaat minggu kedua setiap bulan.
Program
pertama akan berlangsung pada Jumaat 9 Januari 2015 dengan tema ‘Bebas’ yang
diangkat daripada kumpulan sajak Bebas oleh tahanan ISA – Chan Yong Sing.
Antara
yang bakal hadir pada Malam Baca Puisi Madrasah Seni adalah SN A. Samad Said,
Dinsman, Amni Jagat, Nizam Yamin, Chan Yong Sing, penyanyi Aishah dan ramai
lagi.
Baca
Puisi Madrasah Seni bukanlah untuk menyaingi Malam Baca Puisi PENA yang telah
meningkat remaja usianya, namun hasrat utama penganjurannya adalah ‘membina
khalayak’ di samping memberikan wadah kepada para penggiat seni khususnya puisi
untuk diimarahkan.
Baca
Puisi Madrasah Seni diharapkan dapat menyediakan ruang kepada kepada masyarakat
setempat khususnya di pinggir bandaraya untuk berkarya dan menghasilkan puisi
sebagai suara untuk manfaat warga kota.
Seluruh
warga kota, peminat puisi samada yang baru sahaja berjinak mahupun yang tegar
untuk hadir memeriahkan Baca Puisi Madrasah Seni yang akan membuka tirainya jam
8.45 malam, Jumaat 9 Januari 2015 nanti.
Selamat berpuisi, tapi maaf tiada juadah seperti Baca Puisi PENA saban
bulan!
Ulasan