SELEPAS BACA PUISI PENA, MARI KITA BACA PUISI @ MADRASAH SENI!

Setiap Jumaat pertama saban bulan acara yang pasti ditunggu adalah Malam Baca Puisi PENA.  Semacam telah menjadi jenama Persatuan Penulis Nasional (PENA), malam Baca Puisi PENA telah menjadi acara yang popular malah begitu konsisten daripada segi penganjurannya.

Dimulakan sejak Jun 1998, kini telah memasuki tahun ke-17 penganjurannya.  Jarang sekali berubah kecuali sesekali diubah kepada minggu yang lain, Malam Baca Puisi PENA tetap berlangsung biarpun kadang-kadang cuaca yang mesra bertukar sebaliknya.

Walaupun pernah dilabel ‘miskin khalayak’ Malam Baca Puisi PENA tidak pernah gusar, malah seperti yang diungkapkan oleh Dr. Saleeh Rahamad, malam baca puisi PENA adalah pentas terbuka untuk semua penulis dan karyawan persuratan tanah air.  Tiada siapa yang dihalang daripada membaca puisi asal sahaja mahu.

Malah Malam Baca Puisi PENA juga telah beberapa kali berubah format penganjuran dan penganjurnya.  Misalnya bermula Ogos 2005, PENA memulakan Baca Puisi PENA-Dewan Sastera: Pengakuan Penyair, dengan menjemput tiga penyair bukan sahaja untuk membacakan puisi malah memperkatakan proses kreatif mereka. 

Namun format pada masa ini dikekalkan sejak April 2007 dengan penampilan santai dan bebas kepada mana-mana institusi atau individu untuk membacakan puisi atau membuat persembahan.

Sejak beberapa tahun ini, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menjadi rakan penganjur kepada Malam Baca Puisi PENA-ITBM, malah memberi nafas baru kepada Malam Baca Puisi PENA.

Beberapa bulan yang lalu, idea membaca puisi ala Malam Baca Puisi PENA telah dilontarkan untuk diadakan pula di Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam yang juga dikenali sebagai Madrasah Seni kerana pelbagai aktiviti seni yang dilangsungkan di perkarangan madrasahnya.

Selepas beberapa siri perbincangan, akhirnya Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) yang menjadi penggerak utamanya telah memutuskan untuk melaksanakan Malam Baca Puisi Madrasah Seni pada setiap hari Jumaat minggu kedua setiap bulan.

Program pertama akan berlangsung pada Jumaat 9 Januari 2015 dengan tema ‘Bebas’ yang diangkat daripada kumpulan sajak Bebas oleh tahanan ISA – Chan Yong Sing.

Antara yang bakal hadir pada Malam Baca Puisi Madrasah Seni adalah SN A. Samad Said, Dinsman, Amni Jagat, Nizam Yamin, Chan Yong Sing, penyanyi Aishah dan ramai lagi.

Baca Puisi Madrasah Seni bukanlah untuk menyaingi Malam Baca Puisi PENA yang telah meningkat remaja usianya, namun hasrat utama penganjurannya adalah ‘membina khalayak’ di samping memberikan wadah kepada para penggiat seni khususnya puisi untuk diimarahkan.

Baca Puisi Madrasah Seni diharapkan dapat menyediakan ruang kepada kepada masyarakat setempat khususnya di pinggir bandaraya untuk berkarya dan menghasilkan puisi sebagai suara untuk manfaat warga kota.


Seluruh warga kota, peminat puisi samada yang baru sahaja berjinak mahupun yang tegar untuk hadir memeriahkan Baca Puisi Madrasah Seni yang akan membuka tirainya jam 8.45 malam, Jumaat 9 Januari 2015 nanti.  

Selamat berpuisi, tapi maaf tiada juadah seperti Baca Puisi PENA saban bulan!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
syabas Paksi...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?