HARAKAH HARUKU ...
Kisah
editor dibuang kerana tidak menepati kehendak pengurusan ataupun pengurusan
menerima tekanan parti politik bukanlah sesuatu yang asing. Di mana-mana pun editor akan sentiasa di
bawah radar pengurusan dan pemilik malah kadang-kadang melangkaui taukeh-taukeh
politik mereka.
Seperti
yang berlaku kepada editor akhbar Ming Pao,
sebuah akhbar Hong Kong yang khabarnya
bebas untuk melaporkan malah sehingga melakukan siri penyiasatan bagi
membongkar sebarang kepincangan, juga terpaksa menyingkirkan ketua editornya –
Kevin Lau Chun-to selepas mendapat tekanan daripada kerajaan China. Walaupun sukar tetapi itulah yang terpaksa
dilakukan oleh pemilik akhbar ini.
Di
Malaysia pula, kisah editor akhbar yang berpaut kepada parti politik apatah
lagi jika akhbar tersebut merupakan organ parti juga bukanlah sesuatu yang
asing.
Jika
pada tahun 1988, kisah editor Dewan Sastera yang terpaksa berpindah jabatan
kerana penyiaran cerpen ‘Maharaja Beruk’
karya Yahya Ismail tentu dapat mengingatkan kita bagaimana editor terpaksa
memahami dan akur kepada selera penguasa.
Begitu juga yang terjadi ketika penyiaran cerpen ‘Piem’ oleh SN Shahnon Ahmad pada tahun 1993.
Kini
telah ada khabar bagaimana akhbar Harakah yang dilabel sebagai akhbar parti ‘untuk
ahli PAS sahaja’ telah menamatkan sumbangan kolumnis Dinsman yang terkenal
melalui kolum Wacana Budayanya.
Dinsman,
lewat kolumnya telah menulis dan menegur mengenai ulama, dan telah mendapat
reaksi yang pelbagai. Khabarnya tulisan
Dinsman mengkritik peranan ulama akhir-akhir ini dikecam hebat oleh mereka yang
merasakan diri mereka ulama.
Selain
Dinsman, seorang dua lagi editor juga khabarnya telah ditunjukkan ‘pintu keluar’
atas arahan samada daripada pihak pengurusan, lembaga pengarah mahupun pemimpin
tinggi PAS.
Antara
yang disebut adalah Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang khabarnya
direhatkan atau ditamatkan kerana masalah kesihatan beliau.
Adalah
tidak memeranjatkan jika ianya dilakukan oleh akhbar seperti Utusan Malaysia,
Berita Harian atau mana-mana akhbar yang tidak meletakkan label Islam
mereka.
Namun
jika ianya dilakukan oleh akhbar Harakah yang dimiliki oleh sebuah parti yang
meletakkan ‘jenama’ Islam yang begitu jelas, tentulah kita tertanya-tanya
adakah tindakan merehatkan dan menamatkan pandangan seorang yang mengkritik
untuk tujuan yang baik adalah Islamik?
Begitu
juga jika menamatkan khidmat warga kerjanya atas alasan kesihatan dianggap
sebagai satu bentuk imbuhan atas sumbangan beliau selama ini.
Sekurang-kurang
dua ruangan telah ditiadakan dalam akhbar Harakah iaitu kolum Wacana Budaya dan Coretan Hujung.
Mungkin
selepas ini siapa sahaja yang mempunyai hasrat untuk menegur dan mengkritik
ulama khususnya daripada parti yang melabel diri mereka sebagai Islamik harus berfikir
semula kerana ulama ini merasakan mereka telah hadam segala ilmu malah
menganggap diri mereka ‘serba tahu’ daripada anda dan saya!
Ulasan