SOLIDARITI UNTUK LUTFI & KAWAN-KAWAN HARAKAH!

KENYATAAN MEDIA - SENIMAN PAKSI RAKYAT (PAKSI)
8 Januari 2015


TINDAKAN KURANG BERAKHLAK PENGURUSAN HARAKAH 
KE ATAS TIGA WARTAWAN KANANNYA


1. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) merakamkan simpati kepada tiga orang rakan wartawan di Harakah yang diberhentikan tanpa mengikut etika kerja yang lazim apatah lagi akhlak Islam seperti yang selalu disyarahkan oleh pimpinan parti Islam PAS selama ini.


2. Bermula dengan tindakan memberhentikan secara serta-merta khidmat Pengarang Harakah, Datuk Tarmizi Md Jam, pada 1 Oktober 2014, kerana mengkritik UG dalam pimpinan PAS. Diikuti pertengahan Disember tindakan yang sama ke atas Roslan Hamid (editor rencana) kerana menyiarkan tulisan Dinsman yang mengkritik ulama dalam pimpinan PAS. Dan seterusnya tindakan ke atas Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman, atas alasan kesihatan, ketika beliau sedang bercuti sakit dan masih dalam rawatan doktor.


3. Paksi amat kesal dengan tindakan tidak beretika, zalim dan tidak berakhlak tersebut. PAS bersama rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat selalu mengkritik kerajaan Barisan Nasional tidak menghormati hak kebebasan bersuara, dengan menggunakan Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Manakala tindakan pengurusan Harakah ini umpama “meludah ke langit timpa batang hidung sendiri” dan “mengata dulang paku serpih”.


4. Ulama PAS selalu membawa kisah Rasulullah dan Sayidina Abu Bakar dan Umar Alkhattab yang bersifat lapang dada dan menerima teguran dan kritikan daripada orang awam. Sedangkan praktik mereka dalam sebuah syarikat mereka yang kecil tetapi sangat penting itu (Harakah adalah lidah rasmi PAS dan menjana pendapatan untuk PAS) pun mereka tidak laksanakan pengajaran mereka sendiri. Apakah ini tidak munafik?


5. Begitu juga dengan pengajaran mengenai akhlak menjaga kebajikan pekerja (dan Negara Berkebajikan). Apakah tindakan memberhentikan pekerja dengan serta-merta dan tanpa notis itu sesuai dengan tuntutan Islam? Dan apakah memberhentikan pekerja yang sedang bercuti sakit dan masih dalam rawatan doktor itu juga sesuai dengan ajaran Islam?


6. Kami mohon penjelasan ulama PAS dalam perkara-perkara tersebut. Sekiranya tindakan mereka itu menyalahi ajaran Islam, kami tuntut mereka memohon maaf dan menerima semula wartawan-wartawan berkenaan untuk bekerja seperti biasa.


7. Kami juga menuntut agar pihak pengurusan Harakah membenarkan kakitangannya membentuk kesatuan sekerja, dan memperhatikan akhlak terutamanya prihatin terhadap kebajikan pekerja, dan kebaikan lain-lain yang selalu disyarahkan pihak pimpinan PAS.

ROZAN AZEN MAT RASIP
Setiausaha
SENIMAN PAKSI RAKYAT

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?