MATEMATIK NAIK HARGA!

Awal tahun ini dengan azam untuk terus menyokong akhbar Melayu, saya membeli akhbar Berita Harian yang lazimnya saya beli hanya pada hari Sabtu dan Ahad.

Seperti biasa menghulurkan RM1.50 namun kata penjualnya harga baharu BH adalah RM1.80 kenaikan sebanyak 30 sen atau 20% daripada harga sebelumnya.

Kenaikan harga sebanyak 20% bagi sesetengah barang apatah lagi dengan kenaikan kos sara hidup tentulah dianggap membebankan.  Tidak pasti apa matematik kenaikan harga yang digunapakai oleh pengurusan BH sebelum menaikkan harga akhbarnya sebanyak 20%.

Siapa sahaja dengan sedikit latar ekonomi boleh memastikan bahawa pemintaan akan menurun jika harga dinaikkan.  Namun tidak pasti adakah pihak BH menyedari hakikat ini atau lebih menumpukan kenaikan harganya bagi menebus balik (offset) kos kenaikan bahan-bahan mentah penghasilan akhbar yang utama seperti kertas dan dakwat.

Secara peribadi dengan ilmu ekonomi yang sedikit dan semangat konsumerisme yang tinggi, saya merasakan tindakan BH menaikkan harga akhbarnya pada masa ini adalah tidak tepat.  Apa tidaknya, dengan kenaikan harga, permintaan menurun dan menjauhkan pula para pengiklan.

Nadi sebuah akhbar selain bergantung kepada jualannya ia juga disumbangkan oleh iklan oleh syarikat-syarikat.

Umum tahu masalah akhbar berbahasa Melayu secara asasnya adalah menarik para pengiklan untuk mengiklan di dalam akhbar mereka.  Akhbar BH yang disokong oleh organisasi media terbesar di negara kita – Media Prima juga mungkin mempunyai masalah yang sama.  Adakah pihak pengurusan BH terfikir untuk mencari penyelesaiaan yang lain selain daripada menaikkan harga akhbar mereka.

Sebenarnya jika mengikut matematik yang mudah, kenaikan harga sebanyak 20% atau RM0.30 hanya sebahagian sahaja yang kembali ke kantung BH, selebihnya akan hilang sebagai imbuhan untuk pengedar dan peruncit.  Maknanya, bagi nilai sebanyak RM0.30 hanya sebanyak RM0.15 atau kurang daripada itu sahaja yang kembali kepada BH.

Jika kenaikan sebanyak 20% menyebabkan permintaan juga kurang sebanyak 20% maka sebenarnya dengan kenaikan itu BH tidak beroleh peningkatan pendapatan tetapi lebih rugi kerana permintaan yang menurun.

Pengurusan BH dengan sokongan kumpulan media terbesar seperti Media Prima sepatutnya mampu mengelakkan kenaikan harga yang dianggap tidak berbaloi dengan mengambil pendekatan lain seperti lebih banyak ‘engagement’ yang mampu menarik para pengiklan seperti yang dilakukan oleh akhbar berbahasa Inggeris.

Akhbar berbahasa Melayu lebih banyak mengharapkan ihsan dan iklan daripada agensi-agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.  Sisipan oleh agensi kerajaan seperti MPOB, FELDA, Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagainya jarang terdapat di dalam akhbar bukan berbahasa Melayu.

Sepatutnya akhbar seperti BH tidak wajar menaikkan harga malah sepatutnya dengan segala kekuatan dalam kumpulan media mereka yang bukan sahaja mempunyai akhbar BH, Harian Metro, New Straits Times, radio, televisyen dan pengiklanan luar mampu mengekalkan harga atau menurunkan harga untuk lebih bersaing dan menarik lebih ramai pembaca dan pengiklan.

Nampaknya pengurusan BH perlu belajar matematik peringkat tinggi dan tidak hanya bergantung kepada matematik yang mudah, kos naik harga barang naik!


Selamat bermatematik! 

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
kena berguru dgn tuan ks tu..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?