MATEMATIK NAIK HARGA!
Awal
tahun ini dengan azam untuk terus menyokong akhbar Melayu, saya membeli akhbar
Berita Harian yang lazimnya saya beli hanya pada hari Sabtu dan Ahad.
Seperti
biasa menghulurkan RM1.50 namun kata penjualnya harga baharu BH adalah RM1.80
kenaikan sebanyak 30 sen atau 20% daripada harga sebelumnya.
Kenaikan
harga sebanyak 20% bagi sesetengah barang apatah lagi dengan kenaikan kos sara
hidup tentulah dianggap membebankan.
Tidak pasti apa matematik kenaikan harga yang digunapakai oleh pengurusan
BH sebelum menaikkan harga akhbarnya sebanyak 20%.
Siapa
sahaja dengan sedikit latar ekonomi boleh memastikan bahawa pemintaan akan
menurun jika harga dinaikkan. Namun
tidak pasti adakah pihak BH menyedari hakikat ini atau lebih menumpukan kenaikan
harganya bagi menebus balik (offset) kos kenaikan bahan-bahan mentah
penghasilan akhbar yang utama seperti kertas dan dakwat.
Secara
peribadi dengan ilmu ekonomi yang sedikit dan semangat konsumerisme yang
tinggi, saya merasakan tindakan BH menaikkan harga akhbarnya pada masa ini
adalah tidak tepat. Apa tidaknya, dengan
kenaikan harga, permintaan menurun dan menjauhkan pula para pengiklan.
Nadi
sebuah akhbar selain bergantung kepada jualannya ia juga disumbangkan oleh
iklan oleh syarikat-syarikat.
Umum
tahu masalah akhbar berbahasa Melayu secara asasnya adalah menarik para
pengiklan untuk mengiklan di dalam akhbar mereka. Akhbar BH yang disokong oleh organisasi media
terbesar di negara kita – Media Prima juga mungkin mempunyai masalah yang
sama. Adakah pihak pengurusan BH
terfikir untuk mencari penyelesaiaan yang lain selain daripada menaikkan harga
akhbar mereka.
Sebenarnya
jika mengikut matematik yang mudah, kenaikan harga sebanyak 20% atau RM0.30
hanya sebahagian sahaja yang kembali ke kantung BH, selebihnya akan hilang
sebagai imbuhan untuk pengedar dan peruncit.
Maknanya, bagi nilai sebanyak RM0.30 hanya sebanyak RM0.15 atau kurang
daripada itu sahaja yang kembali kepada BH.
Jika
kenaikan sebanyak 20% menyebabkan permintaan juga kurang sebanyak 20% maka
sebenarnya dengan kenaikan itu BH tidak beroleh peningkatan pendapatan tetapi
lebih rugi kerana permintaan yang menurun.
Pengurusan
BH dengan sokongan kumpulan media terbesar seperti Media Prima sepatutnya mampu
mengelakkan kenaikan harga yang dianggap tidak berbaloi dengan mengambil
pendekatan lain seperti lebih banyak ‘engagement’
yang mampu menarik para pengiklan seperti yang dilakukan oleh akhbar berbahasa
Inggeris.
Akhbar
berbahasa Melayu lebih banyak mengharapkan ihsan dan iklan daripada agensi-agensi
Kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Sisipan oleh agensi kerajaan seperti MPOB,
FELDA, Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagainya jarang terdapat di dalam
akhbar bukan berbahasa Melayu.
Sepatutnya
akhbar seperti BH tidak wajar menaikkan harga malah sepatutnya dengan segala
kekuatan dalam kumpulan media mereka yang bukan sahaja mempunyai akhbar BH,
Harian Metro, New Straits Times,
radio, televisyen dan pengiklanan luar mampu mengekalkan harga atau menurunkan
harga untuk lebih bersaing dan menarik lebih ramai pembaca dan pengiklan.
Nampaknya
pengurusan BH perlu belajar matematik peringkat tinggi dan tidak hanya
bergantung kepada matematik yang mudah, kos naik harga barang naik!
Selamat
bermatematik!
Ulasan