HARAKAH HARUKU ...

Kisah editor dibuang kerana tidak menepati kehendak pengurusan ataupun pengurusan menerima tekanan parti politik bukanlah sesuatu yang asing.  Di mana-mana pun editor akan sentiasa di bawah radar pengurusan dan pemilik malah kadang-kadang melangkaui taukeh-taukeh politik mereka.

Seperti yang berlaku kepada editor akhbar Ming Pao, sebuah akhbar Hong Kong  yang khabarnya bebas untuk melaporkan malah sehingga melakukan siri penyiasatan bagi membongkar sebarang kepincangan, juga terpaksa menyingkirkan ketua editornya – Kevin Lau Chun-to selepas mendapat tekanan daripada kerajaan China.  Walaupun sukar tetapi itulah yang terpaksa dilakukan oleh pemilik akhbar ini.

Di Malaysia pula, kisah editor akhbar yang berpaut kepada parti politik apatah lagi jika akhbar tersebut merupakan organ parti juga bukanlah sesuatu yang asing. 

Jika pada tahun 1988, kisah editor Dewan Sastera yang terpaksa berpindah jabatan kerana penyiaran cerpen ‘Maharaja Beruk’ karya Yahya Ismail tentu dapat mengingatkan kita bagaimana editor terpaksa memahami dan akur kepada selera penguasa.  Begitu juga yang terjadi ketika penyiaran cerpen ‘Piem’ oleh SN Shahnon Ahmad pada tahun 1993.

Kini telah ada khabar bagaimana akhbar Harakah yang dilabel sebagai akhbar parti ‘untuk ahli PAS sahaja’ telah menamatkan sumbangan kolumnis Dinsman yang terkenal melalui kolum Wacana Budayanya. 

Dinsman, lewat kolumnya telah menulis dan menegur mengenai ulama, dan telah mendapat reaksi yang pelbagai.  Khabarnya tulisan Dinsman mengkritik peranan ulama akhir-akhir ini dikecam hebat oleh mereka yang merasakan diri mereka ulama.

Selain Dinsman, seorang dua lagi editor juga khabarnya telah ditunjukkan ‘pintu keluar’ atas arahan samada daripada pihak pengurusan, lembaga pengarah mahupun pemimpin tinggi PAS.

Antara yang disebut adalah Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang khabarnya direhatkan atau ditamatkan kerana masalah kesihatan beliau.

Adalah tidak memeranjatkan jika ianya dilakukan oleh akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian atau mana-mana akhbar yang tidak meletakkan label Islam mereka. 

Namun jika ianya dilakukan oleh akhbar Harakah yang dimiliki oleh sebuah parti yang meletakkan ‘jenama’ Islam yang begitu jelas, tentulah kita tertanya-tanya adakah tindakan merehatkan dan menamatkan pandangan seorang yang mengkritik untuk tujuan yang baik adalah Islamik?

Begitu juga jika menamatkan khidmat warga kerjanya atas alasan kesihatan dianggap sebagai satu bentuk imbuhan atas sumbangan beliau selama ini.

Sekurang-kurang dua ruangan telah ditiadakan dalam akhbar Harakah iaitu kolum Wacana Budaya dan Coretan Hujung

Mungkin selepas ini siapa sahaja yang mempunyai hasrat untuk menegur dan mengkritik ulama khususnya daripada parti yang melabel diri mereka sebagai Islamik harus berfikir semula kerana ulama ini merasakan mereka telah hadam segala ilmu malah menganggap diri mereka ‘serba tahu’ daripada anda dan saya!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
bila kuasa menjadi raja...
SIS berkata…
ilmu milik Allah...adakah kita mengganggap kita telah berilmu sedangkan kita tiada apa2 berbanding ilmuNYA...
barajiwa berkata…
Sdr Nasser, Ramai yang bercakap dan kekadang mendabek dada dengan lantang bahwa mereka TERBUKA. Namun ramai yang tewas pabila tiba saatnya mereka diuji. Ungkapan yang popular untuk keadaan seperti ini ialah "the moment of truth"nya. Mereka ini, termasuk para agamawan, kekadang tewas. Mereka TIDAK terbuka. Tindakan menunjukkan bahwa mereka TIDAKlah terbuka sepertimana yang mereka laung-laungkan. Lebih parah lagi, jika soalan lazim yang dijadikan 'hujah' ialah "Siapakah tukang kritik itu? Ulamakah dia?" Aneh, mereka mencari batang tubuh sang pengkritik bukannya isu, isi, apa dan mengapa kritikan-kritikan itu muncul. Pelik tapi benar, kenapakah mereka yang secerdik ulamak memilih menjadi 'defensive' apabila dikritik? Sdr ada jawapannya?

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?