NASIB KELANTAN PASCA BANJIR

Saya percaya ramai yang telah membaca kenyataan oleh pemilik Kumpulan Karangkraf, Datuk Husammuddin Yaakob.  Tiada apa salahnya saranan dan pandangan tokoh korporat itu selain merupakan anak kelahiran Kelantan juga.

Sebagai anak Kelantan, tiada siapa dapat menafikan hak dan kewajaran Datuk Husamuddin Yaacob apatah lagi ianya datang daripada seorang pemilik akhbar yang meletakkan untung dan rugi sebagai asas perniagaannya.

Namun secara peribadi saya berpendapat saranan dan unjuran beliau untuk PAS dan UMNO bergabung di peringkat negeri untuk membangunkan Kelantan adalah tidak kena pada masanya.  Sebagai analogi yang mudah, adakah Datuk Husamuddin akan menimbangkan sesuatu yang dikhabarkan mampu merubah hidupnya sewaktu ditimpa musibah, tentulah tidak.

Adalah juga tidak manis untuk menyatakan penggabungan dalam apa konteks sekali pun atas alasan yang terdesak seperti yang berlaku sekarang ini.

Isu banjir dan penggabungan dan mewujudkan kerajaan perpaduan dan campuran adalah beberapa perkara yang berasingan.  Umum tahu, mengapa Kerajaan tidak mengisytiharkan darurat ketika musibah banjir yang dikatakan paling teruk sejak empat dekad yang lalu.  Walaupun dikhabarkan oleh Perdana Menteri bahawa ini akan menjejaskan isu tuntutan insuran.

Ramai yang mempertikaikan mengapa tidak diisytiharkan darurat dengan musibah yang begitu teruk berbanding pengisytiharan darurat ketika isu jerebu sebelum ini.   Adakah Kerajaan beranggapan bahawa isu banjir di Kelantan masih belum begitu teruk sehingga memberikan alasan yang dangkal perihal insuran.

Jika benar-benar ikhlas tokoh korporat seperti Datuk Husamuddin sepatutnya lebih sensitif bukan sahaja ketika banjir besar yang melanda Kelantan malah juga memikirkan bagaimana royalti minyak Kelantan dinafikan selama ini.

Menyelesaikan masalah rakyat adalah tanpa mengira fahaman politik dan perlu dilakukan di peringkat pusat walaupun Kelantan tidak ditadbir oleh Barisan Nasional dan merupakan beberapa buah negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

Sebagai anak kelahiran Kelantan beliau mendabik dada dan mengatakan bahawa Kelantan adalah 20 hingga 30 tahun lebih mundur daripada negeri-negeri lain.  Malah menambah bahawa banjir besar baru-baru ini akan menjadikan Kelantan lebih terkebelakang.

Kerajaan pusat sepatutnya tidak termakan dengan saranan penggabungan pada ketika musibah tetapi harus menggembelingkan usaha untuk memberikan kehiduapan ‘baru’ kepada rakyat Kelantan.  Tidak mustahak untuk mendabik dada bahawa kerajaan pusat melakukan itu dan ini dan kerajaan negeri tidak melakukan yang sepatutnya atau tidak mampu melakukannya.

Jika Kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Sri Najib berwawasan dan ingin merebut kembali Kelantan, inilah masa yang terbaik mencurahkan segala ihsan dan keprihatinan kepada rakyat Kelantan tanpa menggunakannya  sebagai modal politik secara langsung.

Saya juga tidak setuju dengan kenyataan seorang lagi Husam kelahiran Kelantan, Datuk Husam Musa yang mendahului Menteri Besar untuk mengeluarkan kenyataan berhubung saranan ini, namun pandangan beliau bahawa “tapi nak bergabung ini biarlah ahli selesa, PAS, UMNO selesa” perlu diberikan perhatian yang serius.

Isu penggabungan bukanlah prioriti pada ketika ini berbanding kebajikan rakyat Kelantan yang lebih mendambakan perhatian dan keprihatinan Kerajaan Pusat dan negeri.


Mungkin Datuk Husamuddin perlukan strategi baru untuk melariskan akhbarnya!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
HM heran apa..dia cadang aje..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?