HIKMAH DI SEBALIK RAHMAT

Kata azimat – kita merancang, Allah SWT Maha Perancang. Itulah sebenarnya yang berlaku apabila negara di landa banjir pada penghujung tahun lepas.  Negeri-negeri pantai timur, Kelantan, Trengganu dan Pahang menjadi antara negeri yang begitu terkesan dilanda banjir pada kali ini.

Di Kelantan pula, dikhabarkan bahawa banjir besar pada kali ini adalah yang terbesar yang melanda negeri itu sejak empat dekat yang lalu.  Khabarnya mangsa banjir di Kelantan sahaja mencatatkan lebih 200,000 yang dipindahkan ke pusat penempatan banjir di seluruh negeri itu.

Tiada siapa yang dapat menduga hikmah di sebalik rahmat Allah SWT menurunkan banjir besar khususnya di Kelantan, namun semua kita sedar apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat adalah sesuatu yang luar biasa.  Luar biasa kerana Kelantan adalah antara tiga negeri yang ditadbir pembangkang di negara kita, namun terus mendapat pembelaan sewajarnya seperti Trengganu, Pahang dan Perak.

Malah Perdana Menteri pula berada di Kelantan sebaik sahaja selesai sesi ‘diplomasi golf’nya dengan Presiden Barack Obama.  Tidak cukup dengan itu, sambutan gah tahun baru yang dibatalkan di seluruh negara menyaksikan Perdana Menteri bersolat hajat dengan ribuan rakyat di Pengkalan Kubor.

Walaupun dikhabarkan banjir besar yang luar biasa melanda negeri-negeri pantai timur dan dianggarkan kemusnahan lebih 3000 buah rumah musnah teruk di Kelantan sahaja sudah cukup untuk meletakkan bagaimana hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan diuji bagi memberikan kehidupan semula kepada mangsa-mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara  telah mengadakan persetujuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob untuk merintis penubuhan jawatankuasa banjir di peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kerajaan Pusat juga telah menggerakkan seluruh aset agensi persekutuan daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKR, TNB dan puluhan agensi yang digembeling secara bersama untuk membantu meringankan nasib mangsa-mangsa banjir.

Mungkin hikmah banjir besar yang diturunkan Allah SWT adalah bagi merapatkan hubungan sirratulrahim ‘politik’ di antara rakyat Kelantan dan Kerajaan Pusat.  Biarlah apa sahaja tanggapan dan saranan sesetengah pihak yang mahukan kerajaan perpaduan di antara pusat dan negeri dijelmakan.  Namun itu bukanlah sesuatu yang patut menjadi keutamaan pada masa ini.

Apa yang lebih penting dan utama adalah meraikan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ yang dilaungkan Perdana Menteri selama ini.  Perdana Menteri telah membuktikannya, walaupun ada pihak yang terus mempertikaikan ketiadaan beliau ketika banjir melanda negeri-negeri Pantai Timur.

Banjir besar pada kali ini juga menyaksikan bagaimana pelbagai pihak berusaha menghulurkan bantuan dengan pelbagai kaedah.  Daripada kutipan derma kepada barangan keperluan harian sehingga kepada pakaian, khemah semuanya diusahakan oleh pihak-pihak tertentu.  Malah bukan sahaja daripada kalangan NGO (badan-badan bukan kerajaan) malah juga NGI (non-governmental individual).

Biarlah Allah SWT menurunkan rahmat dari banjir besar yang melanda negara, hikmah yang paling penting adalah ramai antara kita menjadi insan yang bersyukur kerana masih mempunyai nilai kemanusiaan yang cukup tinggi! 


Selamat mensyukuri rahmat Allah SWT, seperti kata Pak Arif dalam novel Langit Petang nukilan SN A. Samad Said – “Tuhan, terlalu banyak yang kau beri, terlalu sedikit yang ku balas”.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
rahmat dari banjir!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?