TPPA – APA YANG KERAJAAN PATUT BERITAHU?
Tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu mengenai Perjanjian Kerjasama Rentas Pasifik (Trans Pacific Partnership Agreement - TPPA)
walaupun usul mengenainya pertama kali
dilontarkan pada tahun 2006 dengan negara anggotanya adalah Brunei, Singapura,
Chile dan New Zealand. Amerika Syarikat
menyertainya pada Mac 2008 dan pada bulan September, Presiden Amerika ketika
itu, George W. Bush memaklumkan kepada Kongres mengenai hasrat untuk berunding
dengan negara anggota pada ketika itu.
Seperti ramai rakyat Malaysia, tidak banyak yang diketahui
mengenai TPPA hingga timbullah berita bahawa rundingan kali ke-18 kini sedang
berlangsung di halaman negara kita, di Kota Kinabalu dengan penyertaan oleh 12
buah negara. Yang lebih memeranjatkan
adalah pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai
kesan dan implikasi jika TPPA dilaksanakan.
Ironinya, rundingan mengenai TPPA dan intipati rundingan juga
tidak didedahkan kepada umum atau rakyat mana-mana negara yang
menyertainya. Malah maklumat yang
diperolehi setakat ini mengenai TPPA ini hanyalah maklumat yang tiris dan
bukannya maklumat rasmi dan sahih.
Apakah motif sebenarnya pelaksanaan TPPA jika segala
kandungan rundingannya dan perbincangan mengenainya tidak didedahkan untuk
manfaat rakyat dan orang awam? Antara yang menjadi intipati rundingan khabarnya
adalah isu mengenai harta intelek. Jika
mendengar amaran Tun Dr. Mahathir, kelihatannya TPPA seperti ‘budak nakal’ yang harus kita jauhi. Menurutnya lagi, TPPA akan berubah menjadi
bentuk jajahan yang baru secara tidak langsung.
Isu harta intelek adalah antara yang turut menjadi intipati
pelaksanaan TPPA, namun apa yang lebih menakutkan adalah implikasi langsung dan
tidak langsung akibat pelaksanaan TPPA. Kerajaan
Malaysia seperti ‘melacurkan’ masa depan generasi muda negara ini dengan
menyertai perjanjian yang bakal ‘mengikat’ tangan kita?
Bayangkan sebanyak 18 pusingan rundingan mengenai TPPA ini
telah berlangsung dan setiap satunya tidak pasti berapa lamanya, namun
rundingan yang kali ke-18 ini sedang berlangsung selama lebh 10 hari di Kota
Kinabalu, dan tidak ramai daripada kita atau rakyat biasa negara ini yang
mengetahui perihal TPPA ini.
Jika mahu dilihat daripada perspektif yang lebih mudah,
melaksanakan TPPA sama seperti menghapuskan Raja-Raja Melayu dan kuasa Raja
Berpelembagaan yang menjadi tunjang dan keutuhan serta keamanan negara
kita. Kita sepatutnya membentuk negara kita mengikut acuan dan
kemahuan kita dan bukannya mendengar ‘polis dunia’ seperti Amerika Syarikat
yang menentukan hala tuju negara kita.
Cakap-cakap ‘polis dunia’ Amerika Syarikat mengenai kelebihan
dan kebaikan TPPA hanyalah umpan yang dicipta bagi memperbodohkan negara-negara
yang menyertai dengan harapan untuk menyediakan ‘lubuk-lubuk’ baru bagi mengaut
kekayaan negara lain serta menyaingi negara China yang dilihat sedang bergerak
untuk menjadi kuasa besar ekonomi dunia.
Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah dan Kerajaan
memberikan kefahaman dan penjelasan yang yang terperinci supaya rakyat tidak
menjadi mangsa daripada kebebalan politikus yang terus menjadi ‘pak turut’
dalam bilik berhawa dingin!
Cukuplah kita dijajah sekali dulu, nampaknya kita tidak
perlu dengan pelbagai istilah muluk yang disogokkan oleh ‘polis dunia’ atas
nama liberal dan pelbagai istilah yang dicipta untuk mengabui niat mereka yang
sebenarnya.
Ulasan